UTM dan Jabatan Pertanian teroka teknologi AI untuk subsektor tanaman agromakanan

SDGSDG2SDG8SDG9SDG12

📝 Ringkasan

UTM dan Jabatan Pertanian telah menjalinkan kerjasama strategik untuk meneroka dan membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong kemajuan subsektor tanaman agromakanan. Kerjasama ini akan membantu mengenal pasti keperluan sebenar subsektor tanaman dan memastikan teknologi AI yang dibangunkan lebih praktikal, relevan dan berpotensi untuk diterapkan dalam operasi pertanian.

SERDANG, 2 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Institut Antarabangsa Teknologi Malaysia-Jepun (MJIIT) menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Pertanian (DOA) bagi meneroka dan membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong kemajuan subsektor tanaman agromakanan.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Projek Rintis Kecerdasan Buatan untuk Subsektor Tanaman, yang pertukaran dokumennya berlangsung di pentas utama Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Majlis pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak. Jabatan Pertanian diwakili Ketua Pengarah Pertanian, Dato’ Nor Sam Alwi, manakala UTM diwakili Ketua Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad.

Dato’ Nor Sam Alwi (kiri) dan Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad pada majlis pertukaran dokumen MoU antara DOA dengan UTM di MAEPS, Serdang

Menerusi kerjasama selama dua tahun itu, UTM akan menyumbangkan kepakaran penyelidikan dan teknologi AI, manakala DOA menyediakan pengalaman serta data lapangan bagi membantu mengenal pasti keperluan sebenar subsektor tanaman. Usaha penyelidikan UTM diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Zool Hilmi Ismail bersama-sama penyelidik MJIIT dan Pusat Kecerdasan Buatan (CAIRO) UTM.

Gabungan kepakaran penyelidikan dengan pengalaman lapangan itu membolehkan teknologi AI diteroka dan dinilai berdasarkan keperluan sektor pertanian. Pendekatan berkenaan juga dapat membantu memastikan teknologi yang dibangunkan lebih praktikal, relevan dan berpotensi untuk diterapkan dalam operasi pertanian.

Menurut Dato’ Nor Sam, skop kerjasama itu merangkumi pemerhatian dan pengujian teknologi AI bagi subsektor tanaman, pembangunan serta latihan modal insan, selain perkongsian maklumat, kemudahan, teknologi dan kepakaran. Usaha tersebut bertujuan mengenal pasti teknologi AI yang bersesuaian serta menilai keberkesanannya dalam sektor pertanian.

Wakil UTM dan DOA bersama-sama penyelidik yang terlibat dalam kerjasama penerokaan teknologi AI untuk subsektor tanaman

Antara inisiatif yang diketengahkan ialah penambahbaikan platform digital PaddyChat, iaitu platform interaktif berasaskan AI yang bertujuan membantu pesawah mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat berkaitan pengurusan tanaman.

Menurut Dato’ Nor Sam, penggunaan AI berpotensi mempercepat penyampaian maklumat dan pemindahan teknologi pertanian kepada petani melalui pendekatan yang lebih cekap dan berasaskan data. Melalui PaddyChat, pesawah boleh mendapatkan khidmat nasihat secara masa nyata, mengenal pasti kemungkinan serangan perosak dan penyakit tanaman serta menerima cadangan pengurusan tanaman melalui peranti mudah alih.

Beliau berkata, penggunaan platform itu berpotensi membantu pesawah membuat keputusan pengurusan tanaman dengan lebih bermaklumat, di samping menyokong usaha meningkatkan hasil dan mengurangkan kos operasi.

Menurut beliau, PaddyChat telah dimanfaatkan oleh kira-kira 1,300 pengguna setakat ini. Beliau turut menggalakkan lebih ramai pesawah memanfaatkan platform berkenaan bagi mendapatkan maklumat berkaitan pengurusan tanaman.

Kerjasama DOA dan UTM ini dijangka turut menyokong pembangunan modal insan menerusi aktiviti penyelidikan, perkongsian ilmu dan pemindahan teknologi antara institusi akademik dengan agensi kerajaan. Pada masa yang sama, inisiatif itu membuka ruang kepada penilaian teknologi AI berdasarkan keperluan sebenar komuniti pertanian.

Dengan menggabungkan kepakaran AI dan penyelidikan UTM serta pengalaman dan jaringan DOA bersama komuniti pertanian, kerjasama ini berpotensi memperluas pembangunan dan penggunaan teknologi pintar dalam subsektor tanaman, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kecekapan pengurusan pertanian dan kesejahteraan komuniti petani.

Explore More

UTM Open Day