COUNSELQUEST UTM raih Anugerah Perak di IUCEL 2026

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

COUNSELQUEST, inovasi pembelajaran digital Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah meraih Anugerah Perak dalam pertandingan Invention, Innovation & Design on E-Learning (IIDEL) sempena International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2026. Inovasi ini dibangunkan sebagai pembelajaran berpusatkan insan bagi kursus Bimbingan dan Kaunseling dan menggunakan pendekatan gamifikasi digital dan konvensional. COUNSELQUEST telah menunjukkan keberkesanan dalam meningkatkan penglibatan aktif, kerjasama dan refleksi dalam kalangan pelajar.

KUALA LUMPUR, 9 Okt. – Inovasi pembelajaran digital COUNSELQUEST: Human-Centred Guidance and Counselling Learning Innovation Through a Gamified Approach meraih Anugerah Perak dalam pertandingan Invention, Innovation & Design on E-Learning (IIDEL) sempena International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2026.

Pengiktirafan itu diraih oleh pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai Dr. Nur Azmina Paslan, bersama-sama Prof. Madya Dr. Mastura Mahfar, Dr. Fauziah Zaiden dan Prof. Madya Dr. Tan Joo Siang dari Jabatan Pengajian Pendidikan dan Sains Tingkah Laku, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST).

Pameran inovasi pembelajaran digital COUNSELQUEST

COUNSELQUEST dibangunkan sebagai inovasi pembelajaran berpusatkan insan bagi kursus Bimbingan dan Kaunseling. Berteraskan prinsip cybergogy, pendekatan ini menggabungkan dimensi kognitif, emosi dan sosial untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran yang aktif, kolaboratif dan reflektif. Dalam pelaksanaannya, pensyarah bertindak sebagai fasilitator, manakala pelajar meneroka, membina dan mengaplikasikan pengetahuan secara aktif.

Bagi menyokong pendekatan tersebut, COUNSELQUEST menggabungkan gamifikasi digital dan konvensional melalui misi pembelajaran, cabaran, kuiz interaktif, permainan, aktiviti penyelesaian masalah serta tugasan kolaboratif. Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar menghubungkan konsep yang dipelajari dengan situasi autentik, di samping membina kemahiran kerja berpasukan, pemikiran kritis dan kompetensi profesional sebagai bakal guru pembimbing.

Pendekatan gamifikasi yang diterapkan bukan sekadar bertujuan menjadikan pembelajaran lebih menarik, malah berfungsi sebagai strategi pedagogi untuk menggalakkan penglibatan aktif, kerjasama dan refleksi dalam kalangan pelajar. Penggunaan aplikasi digital yang mudah diakses dan berkos rendah juga membolehkan pendekatan ini dilaksanakan secara fleksibel serta berpotensi disesuaikan dengan keperluan kursus dan disiplin lain.

Majlis penutup IUCEL 2026

Dalam konteks pendidikan semasa, pembelajaran Bimbingan dan Kaunseling turut memainkan peranan penting dalam melengkapkan bakal guru pembimbing dengan pengetahuan dan kemahiran asas untuk memahami keperluan murid, khususnya berkaitan kesejahteraan emosi dan kesihatan mental.

Melalui pendedahan yang bersesuaian, bakal guru pembimbing dapat meningkatkan keupayaan mengenal pasti tanda awal kesukaran emosi, mendekati murid dengan empati dan memberikan sokongan awal mengikut batas peranan mereka. Kefahaman tentang saluran rujukan profesional juga penting bagi memastikan murid yang memerlukan bantuan lanjut dapat dirujuk kepada pihak yang berkelayakan.

Ucapan Naib Canselor Universiti Malaya pada IUCEL 2026

Penyertaan dalam IUCEL 2026 turut membuka peluang kepada pensyarah bidang Bimbingan dan Kaunseling untuk mengetengahkan inovasi pengajaran, bertukar pandangan dengan komuniti akademik serta mengikuti perkembangan e-pembelajaran dan pedagogi digital.

Platform itu juga membolehkan ahli akademik menilai amalan pengajaran sedia ada dan meneroka pendekatan yang lebih interaktif, inklusif serta berpusatkan pelajar. Perkongsian ilmu dan jaringan profesional yang terjalin berpotensi memperkaya pengalaman pembelajaran serta menyokong usaha memperkukuh kompetensi bakal guru pembimbing.

Ucapan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi pada IUCEL 2026

IUCEL 2026 berlangsung pada 8 hingga 9 Oktober di Kuala Lumpur dengan tema “Redefining Cybergogy Beyond Algorithms”, yang mengetengahkan kepentingan pembelajaran digital yang bermakna dan berpusatkan insan.

Pencapaian COUNSELQUEST dalam pertandingan IIDEL turut bertepatan dengan sambutan Hari Akademia 2026 yang menghargai sumbangan warga akademia dalam memperkasa pendidikan tinggi menerusi ilmu, teknologi dan inovasi.

Pengiktirafan itu memperlihatkan usaha ahli akademik UTM dalam meneroka pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan pendidikan semasa. Inisiatif seperti COUNSELQUEST diharap dapat terus dikembangkan bagi memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar serta menyokong pembangunan kompetensi profesional dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling.

Explore More

UTM Open Day