“Maroon Network” jadi aspirasi baharu perkasa jaringan alumni UTM sempena sambutan Alumni Back to Campus 2026

SDGSDG4SDG17

📝 Ringkasan

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyuarakan aspirasi untuk membangunkan “Maroon Network” sebagai jaringan strategik yang mampu menghubungkan kepakaran, pengalaman dan potensi lebih 257,000 alumni UTM dalam menyokong kecemerlangan universiti. Aspirasi tersebut dikongsikan sempena Karnival Mini UTM Alumni Back to Campus 2026 yang menghimpunkan sekitar 300 pengunjung di Rumah Alumni UTM, Johor Bahru. Program ini turut mengetengahkan kepentingan penglibatan alumni dalam pembangunan bakat, pementoran, kebajikan pelajar dan kerjasama industri, selain memperkukuh peranan Rumah Alumni sebagai pusat pertemuan dan jaringan komuniti graduan UTM.

JOHOR BAHRU, 10 Okt – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyuarakan aspirasi untuk membangunkan “Maroon Network”, sebuah jaringan alumni yang lebih bersepadu dan strategik bagi menghubungkan kepakaran, pengalaman serta potensi lebih 257,000 alumni UTM dalam menyokong pembangunan dan kecemerlangan universiti.

Aspirasi tersebut dikongsikan beliau ketika menyempurnakan perasmian Karnival Mini “UTM Alumni Back to Campus 2026” di Rumah Alumni UTM, Johor Bahru, hari ini, yang menghimpunkan sekitar 300 pengunjung terdiri daripada alumni, pelajar dan warga universiti.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan bahawa hubungan antara universiti dengan komuniti alumni perlu terus diperkukuh melalui pendekatan yang lebih tersusun dan berorientasikan impak, khususnya dalam memanfaatkan kepakaran, pengalaman industri dan jaringan profesional yang dimiliki oleh graduan UTM.

Beliau turut berkongsi model “MRN – Mentorship, Relationship and Nurture”, yang memberi penekanan kepada tiga elemen utama, iaitu pementoran, pembinaan hubungan profesional dan pembangunan bakat secara berterusan.

Model tersebut diharap dapat menjadi asas kepada pembangunan “Maroon Network” pada masa hadapan, dengan hasrat untuk menjadikan alumni bukan sekadar penyokong universiti, tetapi juga rakan strategik dalam pembangunan modal insan, inovasi, kerjasama industri serta pengembangan peluang kepada generasi graduan seterusnya.

Naib Canselor turut menyatakan hasrat untuk melihat Rumah Alumni UTM berperanan sebagai pusat pertemuan dan pengukuhan jaringan yang lebih aktif, sekali gus menjadi ruang yang menghubungkan alumni merentas generasi, bidang kepakaran dan latar belakang profesional.

“Rumah Alumni perlu menjadi tempat alumni kembali, bertemu dan membina hubungan yang memberikan manfaat bersama. Kita mahu hubungan ini berkembang menjadi satu kekuatan yang dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan universiti,” menurut beliau.

Dalam memperkukuh hubungan berterusan dengan alumni, beliau turut menekankan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan graduan UTM kekal berdaya saing seiring perubahan teknologi dan keperluan pasaran pekerjaan.

Sehubungan itu, UTM menawarkan pelbagai program pembangunan profesional dan peningkatan kompetensi, termasuk menerusi pendekatan Hyperflex yang menggabungkan pembelajaran hibrid, diperibadikan dan fleksibel bagi memenuhi keperluan golongan profesional.

Menurut beliau, hubungan alumni dengan universiti tidak seharusnya terhenti selepas tamat pengajian, sebaliknya perlu terus berkembang melalui peluang meningkatkan ilmu, membina jaringan serta menyumbang kembali kepada institusi.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Canselor turut berkongsi pencapaian dana endowmen UTM yang telah mencecah RM180 juta, selain merakamkan penghargaan terhadap sumbangan alumni dalam menyokong kebajikan dan kesejahteraan pelajar.

Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk penyediaan pek makanan kepada 500 pelajar setiap hari hasil sumbangan alumni, yang mencerminkan keprihatinan komuniti graduan terhadap keperluan pelajar sepanjang tempoh pengajian.

Sumbangan tersebut amat signifikan memandangkan sekitar 60 peratus pelajar UTM terdiri daripada golongan B40, sekali gus memperlihatkan kepentingan sokongan berterusan daripada alumni dan rakan strategik universiti dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.

“Dalam usaha kita mengejar kecemerlangan universiti, kebajikan pelajar tidak boleh diketepikan. Sumbangan alumni, sama ada dalam bentuk kewangan, kepakaran atau pementoran, amat bermakna dalam membantu pelajar membina masa depan yang lebih baik,” ujar beliau.

Selain aspek kebajikan, beliau turut menyentuh potensi penglibatan alumni dalam memperkukuh ekosistem inovasi dan keusahawanan universiti, termasuk hasrat melibatkan alumni dalam pembangunan Tech Park, kerjasama industri dan pemindahan teknologi.

Beliau turut menghargai sumbangan alumni yang terlibat dalam pelbagai program akademik, kokurikulum dan pementoran, yang membantu merapatkan hubungan antara pembelajaran di universiti dengan keperluan sebenar industri.

Menurut beliau, penggemblengan kepakaran akademik, pengalaman industri dan kekuatan jaringan alumni merupakan antara elemen penting dalam menyokong aspirasi UTM untuk berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia, selaras dengan hala tuju strategik universiti menerusi UTM ASCEND 2030.

Sementara itu, Karnival Mini  UTM Alumni Back to Campus 2026 berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti yang menggalakkan interaksi, kesejahteraan dan gaya hidup sihat dalam kalangan pengunjung.

Walaupun acara MADANI UTM Alumni Fun Run 2026 terpaksa dibatalkan susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang tinggi, pengisian program diteruskan menerusi aktiviti alternatif di ruang tertutup, termasuk senamrobik serta Mini CrossFit & Fun Games Challenge.

Keputusan pembatalan acara larian dibuat dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan peserta, selaras dengan ketetapan universiti berhubung pelaksanaan aktiviti luar ketika keadaan jerebu.

Penganjuran karnival ini mendapat sokongan Decathlon dan Majlis Keselamatan Negara sebagai penaja, manakala Pusat Kecemerlangan Sukan UTM dan Pusat Kesihatan UTM bertindak sebagai rakan strategik dalam menjayakan pengisian program.

Para hadirin turut mengikuti siaran lintas langsung ke Universiti Malaya (UM) bagi menyaksikan perasmian program Alumni Back to Campus peringkat kebangsaan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Dalam majlis perasmian peringkat kebangsaan yang berlangsung di UM, Presiden Persatuan Alumni UTM, Dato’ Ir. Hj. Mohamad Khairi Ambran, turut hadir mewakili komuniti alumni UTM sebagai Rakan Alumni, sekali gus memperlihatkan komitmen alumni UTM dalam menyokong agenda pemerkasaan jaringan alumni universiti awam di peringkat kebangsaan.

Program Alumni Back to Campus merupakan inisiatif yang diketengahkan oleh Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) bagi memperkukuh hubungan universiti awam dengan komuniti alumninya, selaras dengan Tujahan Keenam Menteri Pendidikan Tinggi Tahun 2026 yang memberi penekanan kepada pemerkasaan jaringan alumni.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2026, lebih 1,000 alumni UTM telah terlibat dalam pelbagai program dan aktiviti bersama universiti, merangkumi jaringan profesional, pembangunan kerjaya, pementoran, perkongsian kepakaran, kebajikan serta program libat sama di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Penglibatan ini memperlihatkan potensi besar komuniti alumni UTM yang boleh terus diperkasakan menerusi aspirasi “Maroon Network” yang diketengahkan oleh Naib Canselor, khususnya dalam membina jaringan yang mampu menghubungkan alumni dengan universiti secara lebih strategik dan berterusan.

Penganjuran Karnival Mini UTM Alumni Back to Campus 2026 turut menjadi usaha merancakkan semula peranan Rumah Alumni UTM sebagai pusat pertemuan, jaringan profesional dan aktiviti komuniti, selaras dengan hasrat universiti untuk menjadikannya ruang yang lebih aktif, inklusif dan relevan kepada seluruh generasi graduan UTM.

Turut hadir ke majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, dan Pengarah UTMAlumni, Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid Mamat.

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Karnival Mini  UTM Alumni Back to Campus 2026

 

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyampaikan ucapan perasmian Karnival Mini UTM Alumni Back to Campus 2026 di Rumah Alumni UTM, Johor Bahru

 

Naib Canselor UTM merasmikan program disaksikan barisan pengurusan universiti, alumni, pelajar dan peserta sempena Karnival Mini UTM Alumni Back to Campus 2026

 

Para peserta menyertai aktiviti senamrobik yang diadakan di ruang tertutup sebagai antara pengisian alternatif susulan pembatalan acara MADANI UTM Alumni Fun Run 2026 akibat keadaan jerebu

 

Antara alumni UTM yang menyahut cabaran Mini CrossFit & Fun Games Challenge menerusi aktiviti rowing sempena Karnival Mini UTM Alumni Back to Campus 2026

 

Warga UTM mengikuti siaran lintas langsung program Alumni Back to Campus 2026 peringkat kebangsaan yang berlangsung di Universiti Malaya (UM), melibatkan penyertaan universiti awam seluruh negara

 

Siaran lintas langsung program Alumni Back to Campus 2026 peringkat kebangsaan memaparkan dua puluh universiti awam seluruh Malaysia

 

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bersama barisan pengurusan universiti menyempurnakan penyampaian hadiah utama kepada peserta bertuah

 

Naib Canselor UTM bersama barisan pengurusan universiti, alumni, pelajar dan peserta merakamkan kenangan sempena Karnival Mini UTM Alumni Back to Campus 2026

Explore More

UTM Open Day