27 Tahun Berlalu, Alumni Integrasi Sains Komputer Kembali ke UTM Mengimbau Kenangan

JOHOR BAHRU, 10 Okt – Masa boleh berlalu, bangunan boleh berubah, namun kenangan dan persahabatan yang terbina sepanjang bergelar mahasiswa tetap terpahat dalam ingatan.

Selepas 27 tahun menamatkan pengajian, kira-kira 25 alumni program Integrasi Sains Komputer (ISK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) graduan tahun 1999 kembali menjejakkan kaki ke kampus Johor Bahru menerusi program Alumni Back to Campus , sekali gus menghidupkan kembali nostalgia zaman pengajian dan mengeratkan hubungan yang telah terjalin sejak hampir tiga dekad lalu.

Pertemuan penuh bermakna itu dimulakan dengan sesi mesra mesra di kediaman rasmi Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, yang juga merupakan alumni daripada kumpulan graduan berkenaan.

Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyampaikan ucapan alu-aluan kepada alumni Integrasi Sains Komputer (ISK) UTM, graduan tahun 1999, sempena program Alumni Back to Campus.

Dalam suasana santai dan penuh kemesraan, para alumni mengambil peluang bertanya khabar, berkongsi perkembangan kerjaya dan keluarga serta mengimbau pelbagai pengalaman yang pernah dilalui bersama ketika menuntut di UTM. Pertemuan tersebut turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, yang juga merupakan alumni ISK daripada kumpulan graduan tahun 1999.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar berkongsi perkembangan dan transformasi UTM sepanjang 27 tahun sejak kumpulan alumni berkenaan menamatkan pengajian.

Kehadiran kedua-dua pemimpin universiti itu bukan sahaja memeriahkan pertemuan, malah menggambarkan hubungan erat antara UTM dengan komuniti alumninya yang terus dipelihara merentasi generasi.

Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry menyarungkan muffler UTMAlumni kepada ketua rombongan alumni ISK 1999, En. Mashar Mokhtar, sebagai simbol penghargaan dan ikatan berterusan antara alumni dengan universiti.

Tidak sekadar berkumpul, rombongan alumni yang diketuai oleh En. Mashar Mokhtar turut mengambil peluang menelusuri kembali lokasi-lokasi yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka sebagai pelajar. Antara lokasi yang dilawati ialah Kolej Rahman Putra (KRP) yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Pelajar Meranti, khususnya Blok G9, G10 dan G11, yang pernah menjadi tempat tinggal sebahagian daripada kumpulan alumni berkenaan semasa tempoh pengajian.

Alumni ISK 1999 mengimbau nostalgia kehidupan kampus ketika mengunjungi Blok G9, G10 dan G11, Kolej Rahman Putra (KRP) yang pernah menjadi kediaman mereka sepanjang pengajian di UTM.

Lawatan kemudian diteruskan ke Balai Cerap UTM serta Blok D07, yang kini menempatkan Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital, namun suatu ketika dahulu merupakan lokasi fakulti tempat mereka mengikuti pengajian iaitu Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat.

Alumni ISK 1999 meneruskan lawatan nostalgia ke Balai Cerap UTM

Setiap lokasi yang dikunjungi membawa kembali pelbagai kenangan, daripada rutin kehidupan di kolej kediaman, persahabatan yang terbina, sehinggalah pengalaman menimba ilmu yang menjadi asas kepada perjalanan kerjaya masing-masing.

Mengulas mengenai pertemuan tersebut, Naib Canselor UTM menyambut baik program penganjuran yang bukan sahaja mempertemukan kembali sahabat lama, malah mengukuhkan hubungan berterusan antara universiti dengan para alumninya.

“Program seperti ini sangat baik kerana bukan sahaja mengeratkan silaturahim sesama alumni, malah memperkukuh hubungan alumni dengan universiti. Walaupun sudah lama meninggalkan kampus, alumni tetap merupakan sebahagian daripada keluarga besar UTM” katanya.

Alumni ISK 1999 kembali menjejakkan kaki ke Blok D07 yang dahulunya menempatkan Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat, lokasi mereka menimba ilmu lebih dua dekad lalu.

Beliau turut mencadangkan agar pertemuan seumpama ini dijadikan acara tahunan mengikut fakulti bagi memastikan hubungan persahabatan dan jaringan alumni terus berkembang, selain membuka lebih banyak ruang untuk alumni menyumbang kepada universiti.

Pertemuan ini menjadi bukti bahawa hubungan antara UTM dengan alumninya tidak terhenti selepas tamat pengajian. Sebaliknya, ikatan tersebut terus berkembang melalui persahabatan, jaringan profesional, perkongsian pengalaman dan rasa kebersamaan terhadap universiti yang pernah menjadi tempat mereka membina masa depan.

Kerana bagi alumni ISK 1999, UTM bukan sekadar tempat mereka pernah menuntut ilmu, tetapi tempat bermulanya sebuah persahabatan yang kekal hingga hari ini.

Explore More

UTM Open Day