📝 Ringkasan
Seramai 25 usahawan mikro dan kecil dari pelbagai sektor meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pemasaran perkhidmatan menerusi Trek 4: AI untuk Pemasaran Servis. Program ini membantu peserta memahami pelanggan, masalah yang ingin diselesaikan dan nilai yang ditawarkan sebelum menghasilkan kandungan pemasaran. Mereka juga diperkenalkan kepada ChatGPT, GPT Storyboard dan Google Flow bagi menjana idea, membina jalan cerita dan menghasilkan papan cerita serta membangunkan bahan visual dan video pemasaran.
KUALA LUMPUR, 1 Okt. – Seramai 25 usahawan mikro dan kecil daripada pelbagai sektor meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pemasaran perkhidmatan menerusi Trek 4: AI untuk Pemasaran Servis, di bawah Program Pemantapan Kemahiran AI dalam Kalangan Usahawan Mikro dan Kecil.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada Dana Program Pemindahan Ilmu – Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG) 2026 yang diketuai oleh Ts. Dr. Noorlizawati Abd Rahim dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Bagi Trek 4, Dr. Noraindah Abdullah Fahim dari Fakulti Pengurusan, UTM bertindak sebagai Ketua Projek dengan memberi tumpuan kepada pengaplikasian AI dalam pemasaran bidang perkhidmatan. Peserta terdiri daripada usahawan dalam bidang pendidikan dan latihan, pembuatan, penyewaan ruang kerja bersama, jahitan dan ubah suai pakaian, makanan dan minuman, pembinaan, hartanah serta perkhidmatan profesional.
Pendekatan pembelajaran dimulakan dengan pemahaman terhadap pasaran, sasaran pelanggan dan Unique Selling Proposition (USP) sebelum peserta dibimbing menggunakan AI untuk membangunkan kandungan pemasaran. Mereka turut dibimbing menambah baik logo dan penulisan kandungan pemasaran berdasarkan identiti serta kedudukan perniagaan masing-masing.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Coach Asz daripada Rich & Rich Consultancy Services Sdn. Bhd.

Menurut Dr. Noraindah, pemasaran perkhidmatan perlu bermula dengan memahami pelanggan, masalah yang ingin diselesaikan dan nilai yang ditawarkan sebelum kandungan pemasaran dihasilkan.
“Apabila asas ini jelas, AI boleh membantu usahawan menghasilkan idea, mesej dan kandungan pemasaran yang lebih tepat serta konsisten. AI bukan menggantikan pemikiran usahawan, sebaliknya menjadi alat untuk mempercepatkan proses menghasilkan kandungan yang relevan,” katanya.
Dalam sesi tersebut, peserta turut diperkenalkan kepada ChatGPT, GPT Storyboard dan Google Flow bagi menjana idea, membina jalan cerita, menghasilkan papan cerita serta membangunkan bahan visual dan video pemasaran.
Pendekatan secara amali membolehkan peserta menggunakan maklumat perniagaan sebenar sepanjang proses pembelajaran, bermula daripada mengenal pasti USP dan sasaran pelanggan sehingga menghasilkan kandungan pemasaran yang bersesuaian dengan perniagaan masing-masing.
Hasilnya, setiap peserta menghasilkan video pemasaran berdasarkan USP, identiti perniagaan dan sasaran pelanggan masing-masing. Dalam aktiviti transformasi logo, Jefry Fadzil dari Pusat Pendidikan Hasanah dan Vinod Kumar Retnam dari Dazzling Delights Bakehouse dipilih sebagai pemenang, manakala Noridahwatty Mohammad Nawi dari Aynuf Enterprise dinobatkan sebagai pemenang bagi video pemasaran AI.



Bagi peserta, pendekatan yang digunakan turut membantu mereka melihat pemasaran daripada sudut yang lebih tersusun. Norazlina daripada Azlynn Rich Legacy berkata program berkenaan membantu beliau memahami pemasaran secara lebih strategik, khususnya berkaitan pelanggan, kedudukan dan nilai perniagaan sebelum menghasilkan kandungan.
Sementara itu, Mohammad Luqman daripada Sanusiahglobal Resources menyifatkan program berkenaan sebagai pengalaman pembelajaran yang bermanfaat kerana peserta bukan sahaja mendapat pendedahan kepada AI, malah dibimbing menyusun idea, membina papan cerita dan menghasilkan kandungan pemasaran berdasarkan perniagaan sebenar.

Menurut Dr. Noraindah, keberkesanan program tidak hanya dilihat melalui penghasilan sebuah video semasa bengkel, sebaliknya turut bergantung pada keupayaan peserta mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari secara berterusan dalam operasi pemasaran perniagaan.
“Kita mahu mereka pulang dengan satu sistem pemikiran dan kemahiran yang boleh digunakan berulang kali untuk menghasilkan kandungan pemasaran berdasarkan keperluan perniagaan mereka,” ujarnya.
Program berkenaan turut mendapat sokongan Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), IEEE Technology and Engineering Management Society (Malaysia Chapter), IEEE Kuala Lumpur Subsection, KB Beyond Creative, InnovNation serta Rich & Rich Consultancy Services Sdn. Bhd.
Inisiatif berkenaan memperlihatkan usaha berterusan dalam membantu usahawan mikro dan kecil menyesuaikan penggunaan teknologi dengan keperluan sebenar perniagaan. Pendedahan kepada AI melalui pendekatan amali diharap dapat memberi ruang kepada peserta meneruskan penerokaan teknologi tersebut dalam aspek pemasaran dan pengurusan kandungan secara lebih terancang mengikut perkembangan perniagaan masing-masing.