UTM bimbing usahawan mikro teroka aliran kerja AI atasi tugasan berulang

SDGSDG8SDG9SDG17

📝 Ringkasan

FAI UTM menerusi KTP Research Innovation Grant (KTP-RIG) 2026 membimbing 25 usahawan mikro dan kecil membangunkan aliran kerja AI bagi meningkatkan produktiviti perniagaan, dengan 96 peratus peserta melaporkan tugasan dapat dilakukan dengan lebih cepat.

KUALA LUMPUR, 30 Sept. – Seramai 25 usahawan mikro dan kecil meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti operasi menerusi program pemindahan ilmu AI untuk Produktiviti Perniagaan di Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Menerusi program itu, peserta dibimbing mengenal pasti tugasan yang mengambil masa dan berulang, sebelum membangunkan aliran kerja berasaskan AI mengikut keperluan perniagaan masing-masing, termasuk menjawab pertanyaan pelanggan, menghasilkan kandungan, menyediakan laporan teknikal dan mengurus tempahan.

Penilaian pascaprogram menunjukkan 96 peratus peserta mendapati tugasan dapat dilakukan dengan lebih cepat, manakala 92 peratus menyatakan hasrat untuk mengaplikasikan aliran kerja yang dibangunkan dalam operasi sebenar.

Peserta Program AI untuk Produktiviti Perniagaan mengikuti sesi interaktif bagi mengenal pasti tugasan berulang dan peluang penggunaan AI dalam operasi perniagaan

Program berkenaan merupakan trek ketiga di bawah Program Pemantapan Kemahiran AI dalam Kalangan Usahawan Mikro dan Kecil yang dilaksanakan menerusi Dana Program Pemindahan Ilmu – Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG) 2026 dan diketuai Ts. Dr. Noorlizawati Abd Rahim dari FAI UTM.

Beliau turut mengendalikan sesi berkenaan bersama perunding perniagaan digital dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KB Beyond Creative, Kamarul Bahareen Kamarudin.

Ts. Dr. Noorlizawati Abd Rahim dan Kamarul Bahareen Kamarudin berkongsi panduan automasi AI menerusi toolkit Automasi AI Bisnes Mikro

Berbeza daripada latihan yang hanya memperkenalkan penggunaan aplikasi tertentu, peserta program bermula dengan mengenal pasti masalah sebenar dalam operasi perniagaan sebelum membangunkan aliran kerja berdasarkan tiga pola penggunaan AI, iaitu Generate, Respond dan Analyse.

Pendekatan itu membolehkan peserta memahami penggunaan AI berdasarkan fungsi yang diperlukan dalam perniagaan, merangkumi penjanaan kandungan dan dokumen, respons kepada pelanggan serta analisis maklumat dan maklum balas.

Peserta mengenal pasti proses kerja sedia ada sebelum membangunkan aliran kerja AI mengikut keperluan perniagaan masing-masing

Hasilnya, peserta membangunkan pelbagai aplikasi dan aliran kerja mengikut keperluan perniagaan masing-masing. Antaranya termasuk aplikasi laporan juruteknik, sistem respons pertanyaan pelanggan, pengurusan tempahan dan rekod pelanggan, borang tempahan perkhidmatan fotografi, penghasilan kandungan media sosial, penyediaan prosedur operasi standard (SOP), pengurusan resit serta analisis maklum balas pelanggan.

Menurut Ts. Dr. Noorlizawati, matlamat program bukan sekadar memperkenalkan lebih banyak aplikasi AI kepada usahawan, sebaliknya membantu mereka mengenal pasti cara teknologi itu boleh digunakan bagi menangani masalah sebenar dalam operasi perniagaan.

“Bagi usahawan mikro dan kecil, masa dan sumber adalah terhad. Nilai AI bukan pada berapa banyak alat yang mereka tahu gunakan, tetapi sejauh mana AI dapat membantu mengurangkan kerja berulang, mempercepatkan proses dan memberi mereka lebih banyak masa untuk memberi tumpuan kepada aktiviti yang mencipta nilai kepada perniagaan,” katanya.

Pengalaman peserta turut memperlihatkan bagaimana pendekatan berasaskan masalah membolehkan penggunaan AI disesuaikan dengan keperluan bidang masing-masing.

Peserta, Ts. Mohd Khairul Hafiz Rusli dari EkonXpert Rawang, KHAF Group, misalnya, melihat potensi AI untuk membantu operasi perniagaan sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) dilaksanakan dengan lebih sistematik. Antara hasil yang dibangunkan sepanjang sesi ialah aplikasi laporan juruteknik.

Sementara itu, peserta dari Lintas Travel, Fazli Haris Ibrahim, menyatakan hasrat untuk meneroka kerjasama susulan bersama UTM dalam penggunaan AI bagi projek berkaitan acara dan pelancongan pada masa hadapan, termasuk aktiviti promosi berkaitan Visit Malaysia 2026 dan 2027.

Peserta lain pula meneroka penggunaan AI bagi proses yang melangkaui penghasilan kandungan, termasuk aliran kerja yang menghubungkan pertanyaan melalui WhatsApp, pengambilan pesanan, penghantaran kerja, penyediaan laporan kepada pelanggan dan tindakan susulan. Sistem tempahan, rekod pelanggan serta analisis maklum balas turut antara penyelesaian yang diterokai.

Binoor Wahiduzaman dari Dhuha Therapy & Herbs menerima penghargaan atas pencapaian terbaik dalam aktiviti interaktif Automasi AI Bisnes Mikro

Bagi memastikan pemindahan ilmu dapat diteruskan selepas latihan, program ini turut merangkumi pemantauan pascaprogram selama enam bulan. Lima peserta akan dipilih bagi menilai penerapan kemahiran AI yang diperoleh dalam operasi sebenar serta perubahan dari segi produktiviti, kualiti dan kecekapan perniagaan.

Peserta mengikuti sesi AI untuk Produktiviti Perniagaan di Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM Kuala Lumpur

Program Pemantapan Kemahiran AI dalam Kalangan Usahawan Mikro dan Kecil dilaksanakan menerusi empat trek pembelajaran, iaitu AI untuk Strategi Perniagaan, AI untuk Penjenamaan Produk, AI untuk Produktiviti Perniagaan dan AI untuk Pemasaran Servis.

Program itu ditaja sepenuhnya oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM dengan sokongan serta kerjasama Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), IEEE Technology and Engineering Management Society (Malaysia Chapter), IEEE Kuala Lumpur Subsection, KB Beyond Creative dan InnovNation.

Kerjasama antara universiti, persatuan profesional, industri dan komuniti usahawan itu menyokong usaha memperluas penggunaan AI secara praktikal dalam kalangan usahawan mikro dan kecil, khususnya dalam mengenal pasti tugasan yang boleh dipermudah melalui teknologi serta mengaplikasikannya dalam operasi perniagaan harian.

Explore More

UTM Open Day