Komuniti Perca+ perkasa wanita B40 menerusi seni Kinusaiga

SDGSDG8SDG10SDG12SDG17

📝 Ringkasan

Program Komuniti Perca+ di PPR Seri Semarak telah dilaksanakan dengan memperkenalkan seni tekstil Jepun, Kinusaiga, kepada 20 wanita B40. Seni ini melibatkan penghasilan karya melalui susunan cebisan fabrik yang diselitkan ke dalam alur tanpa menggunakan jahitan. Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran kreatif dan potensi ekonomi komuniti dengan memanfaatkan bahan perca.

KUALA LUMPUR, 3 Okt. – Program Komuniti Perca+: Memperkasakan Wanita B40 Bandar di PPR Seri Semarak melalui Inovasi Ekonomi Kitaran Kain Batik kembali dilaksanakan di Blok E, Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak hari ini, dengan memperkenalkan seni tekstil Jepun, Kinusaiga, sebagai pendekatan baharu dalam mengembangkan kemahiran kreatif dan potensi ekonomi komuniti.

Program berkenaan menghimpunkan semula peserta komuniti yang sama di lokasi yang sama, sekali gus meneruskan usaha membina kemahiran, hubungan dan keyakinan komuniti secara berperingkat.

Kali ini, peserta diperkenalkan kepada Kinusaiga, iaitu seni tekstil Jepun yang menghasilkan karya melalui susunan cebisan fabrik yang diselitkan dengan teliti ke dalam alur pada permukaan tanpa menggunakan jahitan.

Kinusaiga diperkenalkan oleh Setsu Maeno pada 1987 berasaskan inspirasi daripada tradisi Kimekomi. Jika Kimekomi menggunakan fabrik yang diselitkan ke dalam alur untuk menghias anak patung, Kinusaiga mengembangkan teknik berkenaan kepada penghasilan karya dua dimensi yang menggunakan cebisan kain sebagai medium utama.

Menariknya, seni tersebut turut berkait dengan usaha memberikan nilai baharu kepada fabrik yang tidak lagi digunakan, termasuk fabrik kimono. Cebisan fabrik dipilih, dipadankan dan disusun sebelum diselitkan mengikut corak bagi menghasilkan karya baharu.

Pendekatan itu selari dengan konsep Komuniti Perca+ yang mengetengahkan pemanfaatan bahan perca melalui kreativiti dan kemahiran. Menerusi aktiviti berkenaan, peserta bukan sahaja didedahkan kepada teknik menghasilkan karya, malah berpeluang memahami bagaimana bahan yang berbaki atau tidak lagi digunakan boleh dimanfaatkan semula untuk menghasilkan sesuatu yang mempunyai nilai.

Peserta Program Komuniti Perca+ tekun menghasilkan karya kreatif menggunakan bahan perca

Bengkel Kinusaiga dikendalikan Siti Nooraini Abdullah daripada Jafiqa Enterprise yang turut menjadi penyumbang dalam bentuk barangan kepada projek berkenaan. Beliau memberikan tunjuk ajar secara langsung kepada peserta, bermula daripada penyediaan corak dan pemilihan fabrik sehingga proses menampal dan menyelit kain mengikut corak.

Siti Nooraini Abdullah daripada Jafiqa Enterprise memberikan tunjuk ajar kepada peserta Komuniti Perca+ dalam menghasilkan karya Kinusaiga

Proses menghasilkan karya Kinusaiga memerlukan ketelitian dalam pemilihan warna, penyusunan fabrik dan kemasan bahagian tepi mengikut corak. Aktiviti itu turut memberi ruang kepada peserta mengembangkan kesabaran, koordinasi, kreativiti, ketelitian dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Seiring dengan peningkatan kemahiran, penghasilan karya berasaskan bahan perca juga berpotensi dikembangkan kepada produk kreatif yang mempunyai nilai ekonomi, sekali gus membuka ruang kepada usaha penjanaan pendapatan dalam kalangan komuniti.

Dalam pada itu, program berkenaan turut menerima kunjungan Presiden Women in Corporate Aviation Asia (WCAA), Aida Ismail, yang berpeluang menyertai aktiviti dan melihat sendiri pelaksanaan Komuniti Perca+. Kehadiran beliau turut membuka ruang untuk meneroka kemungkinan kerjasama antara WCAA, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan komuniti PPR Seri Semarak.

Pertemuan secara langsung antara pihak industri dengan komuniti membolehkan keupayaan dan keperluan peserta difahami berdasarkan pengalaman sebenar di lapangan. Keadaan itu berpotensi memperluas Komuniti Perca+ daripada inisiatif pemindahan ilmu kepada platform kerjasama universiti, industri dan komuniti yang menghubungkan kemahiran peserta dengan jaringan, idea serta peluang baharu.

Pada masa sama, pengenalan Kinusaiga memberikan dimensi tersendiri kepada penglibatan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), UTM. Kerjasama Malaysia-Jepun bukan sahaja dapat diterapkan melalui teknologi, penyelidikan dan hubungan industri, malah nilai seperti ketelitian, kreativiti, penghargaan terhadap bahan serta usaha memanfaatkan semula bahan sedia ada turut boleh diterapkan dalam aktiviti bersama masyarakat.

Pelaksanaan aktiviti itu di PPR Seri Semarak memperlihatkan bagaimana ilmu dan pendekatan yang diperkenalkan melalui institusi pendidikan dapat diterjemahkan dalam konteks kehidupan komuniti. Melalui pendekatan tersebut, kreativiti masyarakat tempatan dapat digabungkan dengan pengetahuan dan jaringan universiti serta industri bagi meneroka peluang pembangunan komuniti yang lebih luas.

Peserta Komuniti Perca+ mempamerkan karya Kinusaiga yang dihasilkan menggunakan bahan perca

Seramai 20 wanita B40 dari PPR Seri Semarak menyertai aktiviti berkenaan. Selain mempelajari teknik menghasilkan karya Kinusaiga, penglibatan mereka dalam program itu memberi peluang untuk membangunkan kemahiran kreatif dan meneroka potensi pemanfaatan bahan perca sebagai produk bernilai tambah.

Komuniti Perca+ terus membawa pendekatan bahawa usaha pemerkasaan masyarakat boleh dimulakan melalui perkongsian kemahiran dan pemanfaatan sumber sedia ada. Melalui kesinambungan program, inisiatif berkenaan berpotensi memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti, di samping membuka ruang kepada penglibatan industri dalam menyokong pembangunan kemahiran serta peluang ekonomi setempat.

Explore More

UTM Open Day