Komuniti Perca+ bawa inovasi ekonomi kitaran ke MJIIX 2026

SDGSDG8SDG12SDG17

📝 Ringkasan

Komuniti Perca+ menampilkan inovasi ekonomi kitaran di Ekspo Perindustrian dan Inovasi Malaysia-Jepun 2026 (MJIIX 2026). Projek ini bertujuan untuk memberi nilai baharu kepada kain perca yang biasanya dianggap sebagai lebihan bahan tekstil. Mereka menunjukkan bagaimana kain perca dapat digunakan semula untuk menghasilkan produk baharu, menyokong konsep ekonomi kitaran dan membuka ruang untuk pembangunan kemahiran dan peluang penjanaan pendapatan dalam kalangan komuniti bandar berpendapatan rendah.

KUALA LUMPUR, 28 Sept. – Kain perca yang lazimnya dianggap sebagai lebihan bahan tekstil diberi nilai baharu menerusi penyertaan Komuniti Perca+, sebuah projek pemindahan ilmu Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di Ekspo Perindustrian dan Inovasi Malaysia-Jepun 2026 (MJIIX 2026).

Menerusi reruai interaktif, projek berkenaan mengetengahkan hubungan antara inovasi sosial, ekonomi kitaran, warisan batik, pembelajaran pelajar dan penglibatan komuniti.

Dilaksanakan menerusi Dana Program Pemindahan Ilmu (KTP) Khas UTM Kuala Lumpur, projek bertajuk “Komuniti Perca+: Memperkasakan Wanita B40 Bandar di PPR Seri Semarak melalui Inovasi Ekonomi Kitaran Kain Batik” itu diketuai oleh Prof. Madya EUR. ING. Ts. Ir. Dr. Syuhaida Ismail dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), UTM.

Projek yang dilaksanakan dari 1 April 2026 hingga 31 Mac 2027 itu menerima peruntukan RM15,000, selain sumbangan barangan dan kepakaran bernilai RM10,000 daripada Jafiqa Enterprise yang turut menjadi penyumbang barangan dan kepakaran kepada MJIIX 2026.

Penyertaan Komuniti Perca+ dalam ekspo berkenaan memperluas ruang projek yang sebelum ini dilaksanakan menerusi aktiviti dan latihan bersama komuniti untuk diperkenalkan kepada khalayak yang lebih luas. Pada masa sama, penglibatan pelajar dalam pengendalian dan interaksi di reruai memberi mereka pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah melalui komunikasi dengan pengunjung, penerangan produk, keterlibatan bersama komuniti dan pendedahan kepada inovasi sosial.

Fasilitator Komuniti Perca+ memberikan penerangan kepada pelajar sekolah mengenai penghasilan Batikgami menggunakan kain perca batik

Antara idea yang diketengahkan ialah penggunaan semula sisa tekstil sebagai input kepada penghasilan produk baharu. Perca batik yang mempunyai warna, motif dan identiti budaya boleh dimanfaatkan semula, sekali gus menyokong penerapan konsep ekonomi kitaran serta membuka ruang kepada pembangunan kemahiran dan peluang penjanaan pendapatan dalam kalangan komuniti bandar berpendapatan rendah.

Lebih daripada sekadar mempamerkan hasil kraf tangan, penyertaan Perca+ di MJIIX 2026 turut memperlihatkan bagaimana projek komuniti universiti boleh dihubungkan dengan ekosistem inovasi yang lebih luas. Pengunjung bukan sahaja diperkenalkan kepada produk akhir, malah dapat melihat proses yang menghubungkan bahan lebihan dengan pembangunan kemahiran, penghasilan produk, nilai ekonomi dan potensi pendapatan.

Model Perca+ dibangunkan menerusi kerjasama beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ) UTM, termasuk MJIIT dan Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU), yang memberi tumpuan kepada reka bentuk model, modul dan penilaian impak. Jafiqa Enterprise pula menyumbang kain perca, fasilitator, kepakaran serta akses pasaran, manakala komuniti PPR Seri Semarak menjadi peserta utama dalam proses pembelajaran dan penghasilan produk.

Projek itu turut mendapat sokongan beberapa rakan ekosistem, termasuk Kraftangan Malaysia, Bahagian Teknikal Pengurusan Projek, Institusi Jurutera Malaysia (PMTD IEM), persatuan penduduk dan pengurusan komuniti setempat.

Penglibatan pelajar dalam aktiviti di reruai turut menambah dimensi pembelajaran kepada projek berkenaan. Selain mempelajari konsep kelestarian dan ekonomi kitaran secara teori, mereka berpeluang melihat bagaimana pengetahuan dan kepakaran universiti boleh diterjemahkan kepada pendekatan yang berkaitan dengan keperluan sebenar masyarakat.

Pelajar sekolah menyertai aktiviti amali Batikgami di reruai Komuniti Perca+ sempena MJIIX 2026

Bagi Komuniti Perca+, nilai projek tidak hanya diukur berdasarkan jumlah produk yang dihasilkan, tetapi turut meliputi sejauh mana bahan yang tidak lagi digunakan dapat dimanfaatkan untuk membangunkan kemahiran, keyakinan, peluang dan nilai baharu dalam kalangan komuniti.

Sehubungan itu, penyertaan dalam MJIIX 2026 selari dengan usaha mempertemukan akademia, industri dan komuniti dalam satu ekosistem yang saling melengkapi. Ketika syarikat mengetengahkan teknologi dan penyelidik membentangkan hasil inovasi, Perca+ membawa perspektif bahawa inovasi juga boleh dibangunkan daripada isu di peringkat komuniti melalui pemindahan ilmu yang bersesuaian.

Menerusi pendedahan di MJIIX 2026, Komuniti Perca+ kini berusaha memperluas keterlihatan produk, akses pasaran dan jaringan dengan rakan strategik. Usaha seterusnya turut merangkumi pembangunan Perca+ Hub sebagai model yang berpotensi diperluas kepada komuniti B40 bandar lain, tertakluk kepada kesesuaian dan keperluan setempat.

Daripada perca kepada produk, daripada produk kepada peluang pendapatan dan daripada pemindahan ilmu kepada pemerkasaan komuniti, Komuniti Perca+ memperlihatkan bagaimana inovasi universiti boleh berkembang daripada keperluan masyarakat dan diterjemahkan melalui ilmu, kemahiran serta kerjasama antara pelbagai pihak.

Explore More

UTM Open Day