📝 Ringkasan
Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan majlis ceramah Maulidur Rasul untuk meningkatkan kesedaran rohani masyarakat menghadapi cabaran akhir zaman. Ustaz Hj. Hanafiah Abdul Razak, seorang tokoh agama dan ilmuwan, telah berucap sebagai penceramah utama. Beliau telah menjelaskan bahawa kelahiran Nabi Muhammad SAW membawa cahaya kebenaran kepada manusia selepas sekian lama berdepan dengan kejahilan dan kemerosotan nilai kehidupan. Beliau juga menyeru umat Islam untuk mengambil iktibar daripada perjalanan sejarah manusia dan menghayati sambutan Maulidur Rasul sebagai suatu peristiwa tahunan.
JOHOR BAHRU, 18 Sept. – Pusat Islam mengambil inisiatif proaktif dalam penghayatan ilmu agama menerusi penganjuran Majlis Ceramah Perdana bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul sebagai wadah untuk menjiwai sirah perjuangan serta detik kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, di samping mengambil iktibar daripada ajaran dan teladan Baginda untuk diamalkan dalam kehidupan semasa.Majlis ilmu tersebut menampilkan tokoh agama dan ilmuwan tanah air, Ustaz Hj. Hanafiah Abdul Razak, sebagai penceramah utama dan mendapat sambutan daripada para jemaah, termasuk peserta dalam kalangan Muslimat.
Tampil sebagai penceramah jemputan, Ustaz Hj. Hanafiah bukanlah nama asing dalam institusi keagamaan di negara ini. Beliau merupakan mantan Imam Masjid Kota Iskandar, Johor dan mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan hal ehwal Islam ketika berkhidmat dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Kredibiliti beliau turut diiktiraf di peringkat persekutuan menerusi pelantikan sebagai Ahli Panel Pakar Falak bagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Menerusi peranan tersebut, beliau aktif membawa gagasan “Falak Dalam Kehidupan” bagi mendekatkan masyarakat dengan ilmu falak dan hubungannya dengan kehidupan seharian.
Selain kepakaran dalam bidang falak, beliau turut disegani kerana penguasaannya dalam pelbagai cabang ilmu Islam, khususnya yang berkaitan dengan ilmu Fardu Ain berteraskan manhaj kitab turath.


Dalam inti pati ceramahnya, Ustaz Hanafiah membawa para jemaah menelusuri lipatan sejarah sebelum bermulanya detik bersejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW. Beliau menjelaskan secara terperinci bahawa pada era tersebut, tamadun manusia berdepan dengan tiga angkara besar yang menjejaskan kelestarian kehidupan, iaitu malapetaka, marabahaya dan bala bencana.
Menurut beliau, zaman yang sering dilabelkan sebagai era kegelapan itu menyaksikan kejahilan membelenggu umat manusia di pelbagai pelosok dunia, manakala nilai kemanusiaan, keadilan dan akhlak berada pada tahap yang membimbangkan.
Namun begitu, keadaan suram tersebut berubah dengan kehendak Ilahi menerusi kelahiran Rasulullah SAW yang disifatkan sebagai rahmat agung kepada sekalian alam. Beliau menggambarkan kelahiran Baginda sebagai detik penting yang membawa cahaya kebenaran kepada manusia selepas sekian lama berdepan dengan kejahilan dan kemerosotan nilai kehidupan.
Kehadiran utusan terakhir Allah SWT itu membawa mesej keamanan, keberkatan, rahmat serta keadilan kepada seluruh umat manusia. Menurut beliau, kelahiran Nabi Muhammad SAW bukan sekadar satu peristiwa penting dalam sejarah Islam, malah menjadi titik permulaan kepada penyebaran risalah yang membimbing manusia kembali kepada kehidupan yang berlandaskan iman, akhlak dan keadilan.

Dalam pada itu, suasana majlis turut bertukar hening apabila Ustaz Hanafiah memberikan peringatan kepada umat Islam masa kini supaya mengambil iktibar daripada perjalanan sejarah manusia.
Menurut beliau, selepas tempoh yang panjang susulan kewafatan Rasulullah SAW, dunia pada hari ini secara perlahan-lahan memperlihatkan semula sebahagian kepincangan yang pernah berlaku pada zaman silam. Malah, beliau menegaskan bahawa pelbagai keadaan yang berlaku pada masa kini menunjukkan dunia semakin terdedah kepada pengulangan tiga angkara besar tersebut.
Katanya, hakikat berkenaan dapat dilihat menerusi pelbagai krisis moral, konflik dan bencana sosial yang berlaku di sekeliling masyarakat. Keadaan tersebut, menurut beliau, sewajarnya menjadi peringatan kepada umat Islam untuk menilai kembali pegangan, akhlak serta hubungan sesama manusia dalam menghadapi cabaran kehidupan semasa.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar tidak hanya menghayati sambutan Maulidur Rasul sebagai suatu peristiwa tahunan, sebaliknya mengambil pengajaran daripada sirah dan perjuangan Baginda untuk diterapkan dalam kehidupan.

Majlis ceramah tersebut diakhiri dengan pesanan agar seluruh umat Islam kembali berpegang teguh kepada tali Allah SWT, al-Quran, sunnah serta ajaran yang ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Pegangan tersebut penting sebagai panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran dan kerosakan yang semakin kompleks dalam kehidupan duniawi.
Secara keseluruhannya, penganjuran majlis ilmu oleh Pusat Islam bukan sahaja menjadi ruang untuk menyemarakkan rasa cinta dan penghormatan kepada Rasulullah SAW, malah membantu menyuntik kesedaran rohani kepada para hadirin untuk terus bermuhasabah dan memperbaiki diri dalam mendepani pelbagai mehnah serta ujian kehidupan.
Penghayatan terhadap sirah Rasulullah SAW juga diharapkan dapat mendorong umat Islam menjadikan akhlak, ajaran dan perjuangan Baginda sebagai panduan dalam membentuk kehidupan yang lebih baik serta menghadapi cabaran zaman dengan berlandaskan nilai agama.