📝 Ringkasan
Bengkel Affiliate TikTok yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menarik 30 peserta dari komuniti Flat Larkin dan Flat Temenggong. Bengkel tersebut merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Bangsa Johor Bahagia 3.0 (BJB 3.0) yang bertujuan memperkasa komuniti melalui penguasaan kemahiran digital dan keusahawanan. Peserta telah didedahkan kepada kaedah menggunakan TikTok untuk tujuan keusahawanan, termasuk memilih produk yang sesuai, strategi membina pengikut, dan menghasilkan kandungan yang menarik.
JOHOR BAHRU, 12 Sept. – Seramai 30 peserta daripada komuniti Flat Larkin dan Flat Temenggong menyertai Bengkel Affiliate TikTok yang berlangsung di Hyflex Room, Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), baru-baru ini.
Bengkel berkenaan merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Bangsa Johor Bahagia 3.0 (BJB 3.0), Kluster Komuniti Digital Beretika yang diterajui oleh Dr. Nazmona Mat Ali. Kluster tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa komuniti melalui penguasaan kemahiran digital, literasi teknologi dan keusahawanan berasaskan teknologi bagi membantu komuniti meneroka peluang dalam ekonomi digital.
Bagi pelaksanaan Bengkel Affiliate TikTok, program berkenaan diketuai oleh Dr. Halina Mohamed Dahlan dengan sokongan dan penglibatan penyelidik daripada Kumpulan Penyelidikan Inovasi Sistem Maklumat dan Perkhidmatan (ISSIRG). Penganjurannya menjadi antara usaha untuk memberikan pendedahan kepada komuniti mengenai penggunaan platform digital secara produktif, khususnya dalam meneroka peluang keusahawanan dan menjana pendapatan sampingan.
Bengkel tersebut dikendalikan oleh Abdul Rahman Mohd Jamadi, atau lebih dikenali sebagai Aman Jamadi, seorang pempengaruh media sosial serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas AJ Geeks Sdn. Bhd. Beliau juga merupakan alumni Sarjana Keusahawanan Teknologi Maklumat UTM.
Pengalaman beliau dalam bidang media sosial dan keusahawanan digital memberikan pendedahan yang lebih praktikal kepada peserta, khususnya berkaitan penggunaan TikTok sebagai platform untuk meneroka peluang dalam ekonomi digital.

Antara fokus utama bengkel ialah memberikan pendedahan mengenai asas Affiliate TikTok, termasuk cara memilih produk yang sesuai untuk dipromosikan, strategi membina dan mendapatkan pengikut (followers), menghasilkan kandungan yang menarik serta kaedah menghasilkan dan berkongsi pautan afiliasi.
Peserta turut didedahkan kepada kaedah memanfaatkan TikTok secara lebih strategik bagi menarik perhatian pengguna dan meningkatkan potensi jualan. Pendekatan bengkel yang bersifat praktikal dan interaktif membolehkan peserta memahami dengan lebih jelas proses menjalankan aktiviti afiliasi.
Selain penerangan teori, peserta berpeluang mempelajari kemahiran yang boleh dipraktikkan secara langsung menggunakan akaun dan peranti masing-masing, termasuk melalui aktiviti penghasilan kandungan.

Menurut Puan Yusni Ali dari Flat Temenggong, bengkel berkenaan memberikan pengetahuan baharu tentang penggunaan TikTok untuk tujuan keusahawanan. Beliau berkata peserta diajar cara memilih barangan yang sesuai untuk dipromosikan serta kaedah mendapatkan pengikut bagi membina kehadiran di platform TikTok.
“Saya belajar bagaimana hendak memilih barang yang sesuai untuk dijual dan bagaimana mendapatkan pengikut. Sebelum ini saya kurang mengetahui tentang cara menggunakan TikTok untuk tujuan afiliasi. Bengkel ini memberikan saya pengetahuan dan keyakinan untuk mencuba,” katanya.

Selain kemahiran teknikal, pelaksanaan bengkel turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi secara beretika, bertanggungjawab dan berhemah. Peserta digalakkan menghasilkan kandungan yang kreatif, di samping memanfaatkan platform digital secara lebih terancang dalam meneroka peluang keusahawanan.
Sehubungan itu, pelaksanaan bengkel berkenaan diharapkan dapat membuka ruang kepada komuniti untuk meneroka peluang keusahawanan digital, di samping meningkatkan keyakinan dan kemahiran dalam menggunakan teknologi bagi tujuan yang produktif.

Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen UTM menerusi Program Bangsa Johor Bahagia 3.0 dalam memperkasa komuniti melalui literasi digital, kemahiran teknologi dan keusahawanan. Usaha berkenaan diharapkan dapat menyokong pembentukan komuniti yang lebih berdaya tahan dan berkemahiran serta berupaya memanfaatkan teknologi secara positif bagi meningkatkan peluang ekonomi dan kesejahteraan komuniti.