RoboXplore 2026 perkasa penguasaan STEM dan robotik pelajar

SDGSDG4SDG8SDG9

📝 Ringkasan

Program RoboXplore 2026 diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur bagi memperkenalkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pengaturcaraan serta teknologi robotik kepada pelajar sekolah. Program dua hari itu melibatkan 30 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas dan menyediakan pendedahan kepada fasiliti penyelidikan UTM Kuala Lumpur, sesi pengaturcaraan asas dan pertandingan STEM dan robotik.

KUALA LUMPUR, 12 Sep. – Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Hindu (PMH) UTM Kuala Lumpur menganjurkan program pemindahan ilmu RoboXplore 2026 bagi memperkenalkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pengaturcaraan serta teknologi robotik kepada generasi muda.

Program yang berlangsung selama dua hari, pada 11 dan 12 September itu membabitkan 30 pelajar bersama tiga guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas.

Pelajar dan guru pengiring SMK Sungai Kertas bergambar selepas lawatan sekitar kampus UTM Kuala Lumpur

Hari pertama program dimulakan di Bilik Ilmuan 3 dengan sesi pendaftaran, sarapan pagi dan aktiviti suai kenal bagi memupuk semangat berpasukan serta kerjasama dalam kalangan peserta.

Seterusnya, peserta dibawa meneroka beberapa fasiliti penyelidikan di UTM Kuala Lumpur, antaranya Makmal Robotik Pusat Pengurusan Fasiliti Penyelidikan (PPMU), Pusat Kecerdasan Buatan dan Robotik (CAIRO), Perpustakaan UTM Kuala Lumpur serta Makmal Sistem Terbenam dan Robotik di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT).

Pendedahan tersebut diteruskan dengan Sesi Pengaturcaraan Asas di Makmal Komputer Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI). Dalam sesi berkenaan, peserta didedahkan kepada kemahiran pengaturcaraan secara praktikal dengan bimbingan fasilitator mahasiswa UTM Kuala Lumpur.

Pada sebelah malam, pengisian program diteruskan dengan aktiviti kerohanian di Surau Kolej Siswa Jaya (KSJ), diikuti sesi perkongsian santai bersama Pengetua KSJ.

Pelajar mengikuti sesi pembelajaran asas pengaturcaraan
Pelajar menyediakan skrip kawalan automasi robotik

Memasuki hari kedua, peserta mengikuti Bengkel Amali Robotik yang memberi tumpuan kepada pengenalan perkakasan robot pintar Yahboom serta aplikasi pengaturcaraan berasaskan blok. Dengan bimbingan fasilitator, peserta berpeluang membina skrip kawalan automatik dan meneroka fungsi pengesanan laluan (line-following).

Kemahiran yang dipelajari kemudiannya diaplikasikan menerusi Pertandingan STEM dan Robotik. Pertandingan tersebut memberi peluang kepada peserta menguji keupayaan menyelesaikan tugasan cabaran litar secara kritis dan kreatif berdasarkan pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh sepanjang bengkel.

Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutup RoboXplore 2026

Kemuncak program ialah Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah. Majlis tersebut turut dihadiri wakil Pejabat Menteri Besar Selangor, pegawai Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), serta wakil pengurusan SMK Sungai Kertas dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta serta medal kepada pemenang Pertandingan RoboXplore 2026 sebagai pengiktirafan terhadap penyertaan dan pencapaian mereka sepanjang program.

Penyampaian medal kepada johan Pertandingan RoboXplore 2026

Penganjuran RoboXplore 2026 menyediakan ruang kepada pelajar sekolah untuk mendapatkan pendedahan secara langsung kepada persekitaran universiti, bidang STEM, pengaturcaraan dan teknologi robotik. Pada masa yang sama, program berkenaan menjadi wadah pemindahan ilmu dan perkongsian kepakaran UTM Kuala Lumpur dengan komuniti sekolah, khususnya dalam memperkenalkan aplikasi teknologi melalui pengalaman pembelajaran secara teori dan amali.

Explore More

UTM Open Day