📝 Ringkasan
UTM dan UKM mengadakan sesi perkongsian amalan terbaik pengurusan sisa terjadual di UKM. Sesi itu bertujuan meningkatkan kecekapan tatakelola bahan berbahaya dan menyokong pematuhan terhadap standard alam sekitar kebangsaan. UTM berkongsi amalan pengurusan sisa dari peringkat punca, termasuk 12 langkah pembelian bahan kimia dan pelupusan sisa yang dilaksanakan secara berstruktur. UKM pula berkongsi pengalaman melaksanakan Sistem Maklumat dan Pemantauan Buangan Terjadual Berpusat (ISWIMS) bagi pengurusan dan penjejakan sisa terjadual secara berpusat.
BANGI, 15 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur memperkukuh amalan pengurusan sisa terjadual melalui penganjuran Sesi Perkongsian Amalan Terbaik Sistem Pengurusan Sisa Terjadual bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bilik Mesyuarat Fizik, Bangunan Sains Fizik, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM, hari ini.
Program yang berkonsepkan bengkel kerja itu memberi tumpuan kepada pemindahan ilmu, perkongsian kepakaran dan pertukaran pengalaman secara dua hala antara kedua-dua institusi pengajian tinggi (IPT). Inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan kecekapan tatakelola bahan berbahaya, menyokong pematuhan terhadap standard alam sekitar kebangsaan serta membentuk piawaian pengurusan makmal universiti awam yang lebih mampan.
Sesi berkenaan dimulakan dengan ucapan aluan oleh ChM Dr. Wan Nur Aini Wan Mokhtar, Pengerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Sains Kimia, FST merangkap wakil UKM, sebelum disusuli ucapan balas Ketua Delegasi UTM Kuala Lumpur, Prof. Ir. Dr. Muhamad Ali Muhammad Yuzir, Pengarah Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).
Agenda diteruskan dengan pembentangan amalan terbaik oleh Pegawai Pengurusan Sisa Terjadual UTM Kuala Lumpur, Nur Syazwani Mohd Nasarodin, diikuti pembentangan daripada pihak UKM oleh ChM. Noor Jannah Awang.

Pertukaran maklumat tersebut memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama, antaranya penambahbaikan sistem inventori sedia ada, pengoptimuman amalan pelupusan berdasarkan kepakaran kedua-dua IPT serta pengukuhan ketetapan keselamatan makmal.
Menerusi Unit Pengurusan Bahan Kimia (CMU) Kuala Lumpur, UTM berkongsi amalan pengurusan sisa dari peringkat punca, termasuk 12 langkah pembelian bahan kimia berdasarkan Peraturan USECHH 2000 serta penggunaan Risalah Data Keselamatan (SDS) dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
UTM turut memperincikan 12 langkah pelupusan sisa yang dilaksanakan secara berstruktur, bermula dengan pengenalpastian kod sisa (SW Code) dan pengasingan mengikut ketidakserasian, diikuti pemeriksaan fizikal makmal oleh Pegawai CMU, penimbangan serta pemindahan sisa ke stor berpusat sebelum diangkut keluar oleh kontraktor berlesen.
Dalam usaha menyokong pengurusan yang lebih sistematik, UTM turut memanfaatkan platform digital Google Site CMU dan Paparan Pemuka Buangan Terjadual (Dashboard Scheduled Waste) bagi urusan permohonan dalam talian, penjejakan rekod dan penjadualan pengumpulan secara berkala.
Sebagai sebahagian daripada perkongsian dua hala, pihak UKM pula berkongsi pengalaman melaksanakan Sistem Maklumat dan Pemantauan Buangan Terjadual Berpusat (Integrated Scheduled Waste Information Management System, ISWIMS) bagi pengurusan dan penjejakan sisa terjadual secara berpusat, selaras dengan piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).
ISWIMS memberi tumpuan kepada pembangunan pangkalan data berpusat yang mengintegrasikan pengurusan sisa terjadual di seluruh makmal melalui kawalan capaian pengguna secara berperingkat. Antara ciri utamanya termasuk pengekodan dan pelabelan sisa secara automatik mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2005, penjejakan inventori secara masa nyata bagi membantu mengelakkan pelanggaran had masa atau kuantiti penyimpanan yang ditetapkan JAS, serta automasi aliran kerja permohonan, penimbangan dan penjanaan laporan bagi tujuan pematuhan audit.
Selain sesi pembentangan, program turut diisi dengan sesi soal jawab dan percambahan minda bagi membolehkan kedua-dua pihak bertukar pandangan berkaitan pelaksanaan, cabaran serta penambahbaikan sistem pengurusan sisa terjadual. Delegasi UKM yang terdiri daripada enam orang turut dibantu oleh ChM. Ira Wahadah Md Ghazali, Mohd Syahmi Hafizi Ghani, Maizah Mohamed Yatim dan Farah Suella Asnina Jumaat.
Sementara itu, delegasi UTM Kuala Lumpur yang terdiri daripada sembilan orang dianggotai oleh Ahmad Hazwan Azhari, Dr. Muhammad Aizi Mat Salim, Fadhilal Hazim Fakhruradzi, Jufa Zyha Md Salleh, Ts. Mohd Hazri Ishak, Rohana Sarip serta Mohd Nor Azsuan Mohd Yaacob.

Dalam perkembangan sama, Prof. Ir. Dr. Muhamad Ali menyatakan sokongan terhadap usaha penambahbaikan berterusan dalam pengurusan sisa terjadual dan berharap kerjasama berkenaan dapat menyokong pembudayaan amalan keselamatan serta kelestarian dalam kalangan IPT.
Sebagai langkah susulan, UKM dijadualkan mengadakan lawatan balas ke UTM Kuala Lumpur bagi mendapatkan pendedahan secara lebih dekat terhadap amalan pengendalian sisa terjadual yang dilaksanakan UTM. Kerjasama tersebut turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab serta SDG 17, Rakan Kerjasama untuk Matlamat.