📝 Ringkasan
Bengkel Asas Penternakan Lebah Kelulut diadakan di Kampung Orang Asli Simpang Arang, Johor bagi memberi pendedahan teori dan praktikal mengenai penternakan lebah kelulut kepada komuniti. Bengkel itu memberi peluang kepada peserta mengenali kelulut dengan lebih dekat menerusi penerangan, demonstrasi dan aktiviti amali berkaitan struktur sarang, pengurusan koloni, pembiakan, pemindahan koloni serta pengendalian madu kelulut.
ISKANDAR PUTERI, 15 Ogos – Komuniti Orang Asli Kampung Simpang Arang, Iskandar Puteri diberi pendedahan teori dan praktikal mengenai asas penternakan lebah kelulut menerusi Bengkel Asas Penternakan Lebah Kelulut yang berlangsung di Kampung Orang Asli Simpang Arang, Johor.
Bengkel berkenaan memberi peluang kepada peserta mengenali kelulut dengan lebih dekat menerusi penerangan, demonstrasi dan aktiviti amali berkaitan struktur sarang, pengurusan koloni, pembiakan, pemindahan koloni serta pengendalian madu kelulut.

Dikendalikan oleh Abd Samad Samiran bersama rakan-rakan daripada Daily Fresh Farm Enterprise, bengkel memberi penekanan kepada pembelajaran secara amali apabila peserta berpeluang meneliti struktur dalaman sarang, mengenal pasti binaan koloni dan mempelajari kaedah pengendalian sarang dengan bimbingan tenaga pengajar.
Peserta turut mengikuti demonstrasi berkaitan pembiakan dan pemindahan koloni serta pengendalian sarang, sekali gus memberikan gambaran secara langsung mengenai kaedah penternakan kelulut yang boleh dilaksanakan dalam persekitaran komuniti.
Bengkel berkenaan merupakan sebahagian daripada program Kelulut Bakau: Keusahawanan Hijau dan Pendigitalan Komuniti Orang Asli yang menggabungkan pembangunan kemahiran penternakan kelulut dengan pemanfaatan sumber semula jadi dan pembangunan keusahawanan komuniti.


Menurut Ketua Projek, Dr Noraindah Abdullah Fahim, yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pendedahan asas kepada penternakan kelulut penting bagi membina keyakinan komuniti untuk meneroka aktiviti ekonomi yang boleh dikembangkan secara berperingkat.
“Bengkel ini merupakan satu langkah awal untuk membantu komuniti mengenali dan menguasai asas penternakan kelulut yang boleh dikembangkan sebagai sumber ekonomi tambahan. Kita mahu ilmu yang diperoleh bukan sekadar berhenti pada peringkat bengkel, tetapi dapat digunakan oleh komuniti untuk membangunkan aktiviti penternakan secara berterusan dan membuka peluang ekonomi baharu untuk komuniti pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan turut memanfaatkan sumber semula jadi yang terdapat di sekitar Kampung Simpang Arang, khususnya lebihan kayu bakau dan buluh, sebagai bahan bagi penyediaan rumah koloni kelulut.
“Keistimewaan projek ini ialah kita cuba menghubungkan sumber yang memang sudah ada di persekitaran komuniti dengan kemahiran yang boleh menjana nilai ekonomi. Kayu bakau yang sebelum ini kurang dimanfaatkan boleh digunakan sebagai rumah koloni, manakala ekosistem bakau pula mempunyai potensi untuk menyokong penternakan kelulut secara lebih semula jadi,” jelas beliau.


Pendekatan berkenaan selari dengan konsep projek yang berusaha mengubah sumber yang kurang dimanfaatkan kepada aset produktif komuniti. Lebihan kayu bakau daripada operasi pembuatan arang dan buluh yang tumbuh di sekitar kampung dirancang untuk digunakan sebagai bahan penyediaan log hive dan sarang kelulut.
Penggunaan bahan tempatan itu turut mengambil kira habitat semula jadi kelulut yang lazimnya bersarang dalam batang pokok dan ruas buluh. Melalui pendekatan tersebut, sistem penternakan diperkenalkan dalam bentuk yang lebih dekat dengan persekitaran semula jadi serta boleh dipantau secara berkala oleh komuniti.
Selain kemahiran penternakan, projek berkenaan akan diteruskan dengan latihan berkaitan pemprosesan madu, pembungkusan, pelabelan, penjenamaan dan pemasaran digital. Latihan itu bertujuan membantu komuniti menyediakan produk serta membina saluran pemasaran apabila madu mencapai tahap kematangan dan kualiti yang sesuai.
Pada masa sama, komuniti akan dibimbing untuk menguruskan log hive dan memantau perkembangan koloni secara berkala dengan sokongan mentor serta pasukan penyelidik UTM. Pendekatan ini diharapkan dapat membina keupayaan komuniti supaya aktiviti penternakan dapat diteruskan secara lebih berdikari selepas tempoh latihan.
Program Kelulut Bakau dilaksanakan oleh UTM menerusi Fakulti Pengurusan dan Akademi Bahasa, UTM, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Daily Fresh Farm Enterprise. Projek berkenaan menerima pembiayaan melalui Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 6.0 yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Program berkenaan dirangka berdasarkan keperluan komuniti yang berdepan dengan pendapatan tidak stabil, di samping mengambil kira potensi sumber alam sekitar yang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Melalui penternakan kelulut, projek ini berusaha memperkenalkan aktiviti yang boleh diteruskan oleh komuniti, selain membangunkan kemahiran keusahawanan dan pemasaran digital.
Dalam jangka panjang, projek tersebut diharapkan dapat membantu komuniti membangunkan sumber ekonomi tambahan berasaskan potensi tempatan, meningkatkan kemahiran serta membina keupayaan untuk menguruskan aktiviti penternakan secara lebih berdikari.
“Harapan kami ialah apabila projek ini berkembang, komuniti bukan sahaja mempunyai pengetahuan tentang kelulut, tetapi juga mempunyai keyakinan dan kemahiran untuk mengusahakannya sendiri. Kita mahu mereka melihat bahawa sumber yang ada di sekeliling mereka boleh dimanfaatkan secara produktif melalui ilmu, kemahiran dan pengurusan yang betul,” katanya.
Kerjasama antara MBIP, UTM, JAKOA dan rakan industri memperlihatkan usaha bersama dalam membawa kepakaran, latihan dan peluang pembangunan ekonomi lebih dekat kepada komuniti. Inisiatif ini turut menggabungkan elemen keusahawanan hijau, pemindahan ilmu, pemanfaatan sumber tempatan dan pendigitalan dalam satu pendekatan pembangunan komuniti.
Pelaksanaan projek Kelulut Bakau diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada pembangunan pendekatan penternakan kelulut berasaskan sumber semula jadi yang boleh dikembangkan di Kampung Simpang Arang, selain berpotensi diperluas kepada komuniti Orang Asli lain dalam kawasan pentadbiran MBIP.