📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengucapkan tahniah kepada semua calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 yang menerima keputusan peperiksaan mereka. Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, kejayaan ini merupakan titik permulaan kepada perjalanan yang lebih besar dalam membina masa depan dan menyumbang kepada pembangunan negara. UTM juga menawarkan pelbagai program pengajian berkualiti tinggi dan menyediakan biasiswa kepada pelajar cemerlang STPM.
JOHOR BAHRU, 18 Jun 2026 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan dua biasiswa kepada pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 yang memilih untuk melanjutkan pengajian di UTM dalam bidang kejuruteraan serta sains dan teknologi.
Biasiswa tersebut, sebagaimana diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan, merupakan usaha mengiktiraf kecemerlangan akademik serta menarik bakat terbaik negara ke bidang strategik yang akan memacu pembangunan Malaysia pada masa hadapan.
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen UTM dalam membangunkan bakat masa depan yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara melalui ilmu, penyelidikan, inovasi dan teknologi.
“UTM berbesar hati menawarkan biasiswa ini kepada pelajar terbaik STPM dalam bidang kejuruteraan serta sains dan teknologi. Kami mahu memastikan bakat terbaik negara mendapat peluang untuk merealisasikan potensi mereka sepenuhnya dalam persekitaran akademik bertaraf dunia serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Sebagai universiti yang berada dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik dunia dengan kedudukan ke-158 dunia dalam QS World University Rankings 2027, UTM komited untuk terus membangunkan dan memperkasakan bakat terbaik negara melalui pendidikan bertaraf dunia, penyelidikan berimpak tinggi dan jaringan global yang strategik,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon STPM 2025 atas pencapaian yang diperoleh.
“Kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih pelajar, sokongan ibu bapa serta dedikasi para pendidik yang sentiasa membimbing mereka ke arah kecemerlangan. Semoga pencapaian ini menjadi asas kepada masa depan yang lebih cemerlang serta membuka peluang untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Selain mengiktiraf kecemerlangan akademik melalui biasiswa ini, UTM turut memastikan akses kepada pendidikan tinggi berkualiti melalui pelbagai bentuk bantuan kewangan dan sokongan pendidikan kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang. Antaranya termasuk Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG), Biasiswa Endowmen dan pelbagai inisiatif bantuan pelajar berasaskan keperluan.
Prof. Dr. Shafry turut menggalakkan para pelajar untuk memilih program pengajian berdasarkan minat, kebolehan dan aspirasi kerjaya masing-masing, khususnya dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan, teknologi digital, kejuruteraan maju, tenaga lestari, sains data dan ekonomi digital yang semakin penting dalam landskap pembangunan negara.
UTM turut merakamkan penghargaan kepada para pendidik dan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam membimbing serta menyokong pelajar sehingga berjaya mencapai tahap ini.
Bagi calon yang tidak memperoleh keputusan seperti yang diharapkan, UTM menggalakkan mereka untuk terus berusaha dan meneroka pelbagai laluan pendidikan yang tersedia kerana setiap individu mempunyai potensi dan peluang untuk berjaya mengikut keupayaan masing-masing.
Sekali lagi, Universiti Teknologi Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon STPM 2025 dan mendoakan agar mereka terus melakar kecemerlangan demi masa depan diri, masyarakat dan negara.