UTM-KWSP jalin kolaborasi strategik perkasa masa depan kewangan pelajar dan staf

SDGSDG8

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengadakan perbincangan kolaborasi strategik untuk memperkasa literasi kewangan dan meningkatkan persediaan kerjaya mahasiswa. Perbincangan ini membincangkan jalinan kerjasama dua hala yang dijangka memberi manfaat besar kepada ekosistem mahasiswa dan warga kerja UTM. KWSP juga menyatakan kesediaan untuk menjadi panel penasihat bagi beberapa kursus akademik berkaitan kewangan di UTM dan menawarkan program My Protege untuk melengkapkan graduan dengan kemahiran kebolehpasaran yang relevan.

JOHOR BAHRU, 11 Jun – Dalam usaha memperkasa literasi kewangan dan meningkatkan persediaan kerjaya mahasiswa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan sesi perbincangan kolaborasi strategik bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Bangunan KWSP Johor Bahru.

Perbincangan tersebut memfokuskan kepada jalinan kerjasama dua hala yang dijangka memberi manfaat besar kepada ekosistem mahasiswa dan warga kerja UTM. Ketua Cawangan KWSP Johor Bahru, Jaafar Edan bersama pasukan pengurusan hubungan dan rangkaian meluangkan hampir dua jam berbincang bersama wakil UTM yang diketuai oleh Dzulhelmi Mohd Razali dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), selain dua wakil Jabatan Bendahari, Muhammed Souffee Omar dan Sharifah Fazlinatul Akmal.

Penasihat Kewangan KWSP, Hafidzathul Akmal Mohd. Ali (atas kanan), memberikan penerangan mengenai peranan KWSP dalam membantu masyarakat merancang dan mengurus kewangan secara berkesan

Sebagai permulaan, inisiatif kerjasama ini tercetus hasil pelawaan daripada Kursus Cerdik Kewangan untuk menjadikan KWSP sebagai rakan industri bagi memenuhi keperluan pengalaman pembelajaran yang diwajibkan kepada semua pelajar UTM di bawah kursus kokurikulum tersebut.

Kursus Cerdik Kewangan yang dikendalikan oleh pengajar sambilan, Dzulhelmi Mohd Razali, melibatkan seramai 40 pelajar pada setiap semester dan dijangka mampu membantu KWSP memperluas jaringan komuniti mereka. Penglibatan KWSP sebagai rakan industri juga diyakini dapat mengukuhkan kematangan dalam membuat keputusan kewangan dalam kalangan golongan muda sekali gus memastikan rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang mencukupi menjelang persaraan.

Selain itu, KWSP turut memperkenalkan program My Protege yang ditawarkan kepada pelajar daripada pelbagai bidang pengajian sebagai platform memulakan kerjaya bersama organisasi tersebut. Program ini disasarkan untuk melengkapkan graduan dengan kemahiran kebolehpasaran yang relevan dan memenuhi keperluan industri semasa.

Dalam perbincangan yang sama, kedua-dua pihak turut membincangkan penyelarasan silibus serta pelaksanaan program literasi kewangan pada masa hadapan. KWSP juga menyatakan kesediaan untuk menjadi panel penasihat bagi beberapa kursus akademik berkaitan kewangan di UTM. Beberapa modul pengurusan kewangan sedia ada akan ditambah baik dan diintegrasikan secara langsung ke dalam kursus umum kokurikulum yang ditawarkan kepada pelajar. Langkah ini dijangka dapat memberikan pendedahan yang lebih menyeluruh dan praktikal mengenai perancangan kewangan sejak di universiti.

Ketua Cawangan KWSP Johor Bahru, Jaafar Edan (kiri), menerangkan kemudahan dan fasiliti terkini yang disediakan bagi menampung keperluan lebih 800 pelanggan setiap hari

Bukan sekadar tertumpu kepada mahasiswa, perbincangan ini turut merangkumi manfaat kepada warga kerja UTM. KWSP melihat platform kerjasama ini sebagai ruang terbaik untuk menyantuni dan mengeratkan hubungan dengan kira-kira 1,200 staf UTM yang merupakan pencarum aktif.

Melalui pelbagai program libat urus yang bakal dirangka, KWSP komited meningkatkan kesedaran mengenai perancangan persaraan secara holistik. Pada masa sama, usaha ini turut menyasarkan peningkatan penyertaan dalam skim simpanan sukarela bagi membantu warga universiti menikmati kehidupan persaraan yang lebih terjamin.

KWSP turut membangkitkan beberapa isu semasa, antaranya berkaitan Caruman Tanpa Maklumat Lengkap (CTML) yang memerlukan tindakan segera daripada pencarum untuk mengemas kini maklumat mereka. Berdasarkan data semasa, lebih 50 peratus pencarum daripada UTM masih berdepan isu CTML dan kolaborasi ini dijangka dapat membantu menyelesaikan perkara tersebut dalam masa terdekat.

Selain itu, hanya 49 peratus pencarum telah mencapai tahap simpanan asas mengikut kategori umur masing-masing. Data ini amat penting bagi memastikan pencarum berupaya mencapai sasaran simpanan minimum sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun. Walaupun jumlah tersebut dijangka berubah mengikut keadaan ekonomi semasa, sasaran simpanan asas kekal menjadi penanda aras penting dalam menjamin persaraan yang selesa serta sebagai persediaan menghadapi kesan inflasi.

Secara keseluruhannya, perbincangan awal ini telah membuka ruang sinergi yang lebih luas antara institusi pendidikan tinggi dan agensi berkanun dalam memperkukuh literasi kewangan masyarakat. Jalinan kerjasama erat antara UTM dan KWSP dijangka dimeterai secara rasmi dalam masa terdekat, sekali gus menjadi pemangkin kepada kesejahteraan kewangan mahasiswa dan seluruh warga kampus.

Explore More

UTM Open Day