📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Bambusoideae Technology Sdn Bhd untuk meningkatkan inovasi gentian semula jadi yang mampan. Kerjasama ini bertujuan untuk membangunkan teknologi ozon bagi rawatan gentian semula jadi, khususnya serat daun nanas, bagi aplikasi dalam industri benang dan tekstil berasaskan bio. Projek ini akan dipantau melalui laporan kemajuan berkala dan penilaian akhir untuk memastikan objektif dapat dicapai dengan berkesan.
JOHOR BAHRU, 11 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Bambusoideae Technology Sdn. Bhd., sebuah syarikat peneraju dalam kepakaran dan penyelesaian teknologi bagi pembuatan serta pemprosesan dalam rantaian bekalan industri gentian dan tekstil, dengan tumpuan khusus kepada buluh dan gentian semula jadi yang lain.
Majlis penandatanganan MoA ini menandakan permulaan kerjasama strategik antara institusi akademik dan pihak industri, khususnya dalam bidang teknologi dan penyelidikan yang relevan serta berimpak tinggi kepada masyarakat dan negara.

Majlis penandatanganan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias, dan Pengarah Urusan Bambusoideae Technology Sdn Bhd., Prof. Madya Dr. Mohd Nazrul Roslan.
Pemeteraian itu turut disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Prof. Madya Ts. Dr. Ramesh K S @ Mohd Zaidi Abd Rozan, selaku Pemangku Pengarah bagi pihak UTM, dan Pengarah Bambusoideae Technology Sdn. Bhd., Dr. Muhammad Farid Shaari, bagi pihak syarikat.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), Prof. Dr. Mat Uzir Wahit, serta Timbalan Pengarah ICC, Dr. Ma Kalthum Ishak.

Delegasi UTM yang hadir diiringi oleh Ketua Kumpulan Penyelidik Kejuruteraan Tindak Balas Kimia (CREG), FKT, Dr. Mohd Asmadi Mohammed Yussuf, bersama Setiausaha, Dr. Amnani Shamjuddin; serta Pegawai Penyelidik, Muhammad Arif Harun; dan Nur Atiqah Abdul Rahman dari ICC.
Turut serta mewakili Bambusoideae Technology Sdn. Bhd. ialah Dr. Khairu Kamarudin selaku Pengarah, Nurul Izzanti Nor Azian dan Nur Azliatul Akmal Mohamad Azmin selaku Pembantu Penyelidik.
Menurut Prof. Dr. Rosli, pemeteraian MoA ini menandakan satu peristiwa penting kerana ia mewujudkan kerjasama strategik antara industri dan akademia.
“Kerjasama ini selaras dengan Pelan Strategik UTM ASCEND 2030 yang menyasarkan pengukuhan hubungan industri melalui empat teras utama, iaitu Lonjakan Kebitaraan, Bakat Global, Kemampanan dan Kelestarian, serta Kemanusiaan dan Kesejahteraan. Aspirasi UTM di bawah Lonjakan Kebitaraan adalah untuk memperkukuh hubungan dengan sektor perindustrian, khususnya dalam bidang penyelidikan dan teknologi yang memberi impak bermakna kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau.
Pemeteraian MoA ini menandakan persetujuan Bambusoideae Technology Sdn. Bhd. untuk menjadi rakan kolaborasi dalam pelaksanaan dana SME Innovation Technology Accelerator (SME InTech), iaitu salah satu inisiatif di bawah seliaan ICC UTM.

Projek SME InTech ini diketuai oleh Dr. Mohd Asmadi Mohammed Yussuf dari FKT, UTM, yang memainkan peranan penting dalam menerajui usaha penyelidikan dan inovasi. Fokus utama projek adalah pembangunan inovasi mampan berasaskan rawatan gentian semula jadi, khususnya serat daun nanas, bagi aplikasi dalam industri benang dan tekstil berasaskan bio.
Melalui teknologi ozon yang dibangunkan oleh kumpulan penyelidik CREG, gentian semula jadi dapat dirawat bagi meningkatkan sifatnya agar lebih tahan lama, lebih halus dan lebih kuat, sekali gus menjadikannya sesuai untuk kegunaan industri dalam penghasilan benang dan tekstil.
Dr. Mohd Asmadi dan pasukannya telah menerima dana berjumlah RM50,000 dengan padanan dana Penyelidikan Kontrak daripada Bambusoideae Technology Sdn. Bhd. kepada UTM sebanyak lima peratus. Ahli pasukan penyelidik utama projek ini terdiri daripada Dr. Amnani Shamjuddin dari UTM, Prof. Madya Dr. Mohd Nazrul Roslan dari Bambusoideae Technology Sdn. Bhd., dan Prof. Ir. Dr. Nor Aishah Saidina Amin dari King Fahd University of Petroleum and Minerals, Arab Saudi.
Usaha penyelidikan ini turut disokong oleh Dr. Zhahidah Husna Hassan dari UTM, serta Nurul Izzanti Nor Azian dan Nur Azliatul Akmal Mohamad Azmin dari Bambusoideae Technology Sdn. Bhd. selaku pembantu penyelidik. Selain itu, Nurul Alya Nabilah Azni selaku pelajar simbiosis turut dilantik bagi membantu kerja penyelidikan dan pra-pengkomersialan dalam mencapai output projek ini.
Prof. Madya Dr. Mohd Nazrul turut menekankan bahawa inisiatif ini selaras dengan misi Bambusoideae Technology Sdn Bhd untuk menyediakan produk mesra alam berkualiti tinggi yang menggalakkan gaya hidup mampan melalui penggunaan sumber semula jadi secara bertanggungjawab.

Beliau berkata bahawa MoA ini membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi yang bertumpu kepada peningkatan proses rawatan ozon bagi pembuatan gentian panjang.
Kerjasama ini mencerminkan keyakinan industri terhadap keupayaan penyelidikan universiti dalam menyokong kemajuan inovasi berasaskan bio yang mampan dalam industri tekstil, sekali gus berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ilmu, teknologi berimpak tinggi serta pemupukan modal insan berkualiti dalam persekitaran global masa kini.

Perjanjian ini turut bermatlamat mencapai manfaat jangka panjang, termasuk menggalakkan pengkomersialan melalui pembelian atau pelesenan produk dan proses baharu berasaskan harta intelek (IP) yang dihasilkan. Ia juga merangkumi kerjasama teknikal pelbagai peringkat bagi menyokong penyelesaian kepada cabaran industri kecil dan sederhana (PKS) serta keperluan masyarakat, di samping membuka ruang kepada bidang kerjasama baharu yang akan dikenal pasti pada masa hadapan. Projek ini akan dipantau melalui laporan kemajuan berkala serta penilaian akhir bagi memastikan semua objektif dapat dicapai dengan berkesan.
Kerjasama ini mencerminkan perkongsian strategik universiti-industri yang mampu memupuk inovasi serta mengukuhkan kedudukan UTM sebagai peneraju dalam penyelidikan rawatan ozon bagi gentian semula jadi yang mampan. Inisiatif ini juga menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan penyelesaian serat berasaskan bio yang premium dan mesra alam, sekali gus memperkukuh hubungan antara akademia dan industri ke arah ekosistem inovasi yang lebih lestari.
Oleh Dr. Mohd Asmadi Mohammed Yussuf dan Dr. Amnani Shamjuddin, Kumpulan Penyelidik Kejuruteraan Tindak Balas Kimia (CREG), Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, UTM