Ketenangan minda asas kepimpinan berkesan dan organisasi lestari dalam era moden

SDGSDG3

📝 Ringkasan

Ketenangan minda merupakan asas penting dalam membentuk kepimpinan yang berkesan dan mampan. Pemimpin yang tenang dapat berfikir secara rasional, objektif dan strategik, membuat keputusan yang berkualiti dan membina organisasi yang harmoni, produktif dan lestari.

Dalam dunia yang semakin kompleks dan dipenuhi tekanan, isu kesejahteraan mental bukan lagi hanya menjadi perhatian individu biasa, malah turut menjadi cabaran utama kepada para pemimpin organisasi. Pemimpin hari ini berhadapan dengan pelbagai tuntutan seperti pengurusan organisasi, perubahan teknologi, tekanan prestasi, pengurusan sumber manusia dan keperluan membuat keputusan dalam tempoh masa yang singkat. Dalam keadaan sedemikian, ramai pemimpin menjalankan tugas dalam keadaan mental yang penat, terganggu dan kurang fokus. Oleh itu, konsep ketenangan minda semakin mendapat perhatian sebagai elemen penting dalam membentuk kepimpinan yang berkesan dan mampan.

Buku bertajuk How to Calm Your Mind oleh Chris Bailey memberikan perspektif yang sangat relevan mengenai kepentingan mengurus minda dan perhatian dalam kehidupan seharian, khususnya dalam konteks kepimpinan. Buku ini menekankan bahawa ketenangan minda bukan sekadar berkaitan kesejahteraan diri, tetapi menjadi asas penting kepada produktiviti, hubungan interpersonal dan keberkesanan dalam membuat keputusan. Dalam era digital yang dipenuhi pelbagai gangguan seperti media sosial, notifikasi telefon dan budaya multitasking, keupayaan untuk menenangkan minda menjadi satu kemahiran yang sangat bernilai bagi setiap pemimpin.

Dalam konteks kepimpinan, ketenangan minda memainkan peranan besar dalam meningkatkan kejelasan pemikiran dan kualiti keputusan. Pemimpin yang berada dalam keadaan tertekan atau cemas cenderung membuat keputusan secara reaktif dan dipengaruhi emosi semasa, yang boleh menyebabkan kesilapan dalam menentukan strategi organisasi dan menyelesaikan masalah secara berkesan. Sebaliknya, pemimpin yang memiliki minda yang tenang dapat berfikir secara lebih rasional, objektif dan strategik. Mereka dapat mempertimbangkan pelbagai sudut pandangan sebelum membuat keputusan serta bertindak dengan lebih berhati-hati dan profesional.

Dalam bidang pendidikan misalnya, setiap keputusan yang dibuat oleh pemimpin sekolah atau institusi pendidikan memberi kesan langsung kepada guru, pelajar dan keseluruhan budaya organisasi. Pemimpin pendidikan yang tenang dan stabil lebih berupaya mengurus konflik, memahami keperluan warga sekolah dan membina suasana kerja yang positif. Ketenangan minda juga membantu pemimpin bertindak berdasarkan nilai dan pertimbangan profesional, bukannya dipengaruhi tekanan atau emosi yang sementara.

Buku ini turut menekankan kepentingan pengurusan perhatian (attention management). Ramai individu beranggapan bahawa produktiviti diukur melalui tahap kesibukan dan jumlah tugasan yang dilakukan setiap hari. Namun begitu, kesibukan yang melampau sering menyebabkan seseorang kehilangan fokus terhadap perkara yang benar-benar penting. Pemimpin yang gagal mengurus perhatian akan mudah terganggu, kurang fokus dalam mesyuarat dan sukar menetapkan keutamaan kerja. Sebaliknya, pemimpin yang mampu mengawal perhatian mereka dapat memberi tumpuan kepada tugas yang memberikan impak besar kepada organisasi.

Dalam dunia pekerjaan hari ini, kehadiran mental turut menjadi elemen penting dalam kepimpinan berkesan. Kehadiran bukan sekadar berada secara fizikal dalam sesuatu mesyuarat atau perbincangan, tetapi melibatkan keupayaan untuk benar-benar mendengar, memahami dan memberi perhatian sepenuhnya kepada orang lain. Pemimpin yang sentiasa terganggu dengan telefon bimbit atau tekanan kerja lain sering dilihat kurang prihatin terhadap ahli organisasi. Sebaliknya, pemimpin yang hadir sepenuhnya dalam interaksi akan lebih mudah membina hubungan yang baik, meningkatkan kepercayaan dan mewujudkan komunikasi yang lebih bermakna.

Di samping itu, aspek pengurusan tekanan dan kestabilan emosi turut diberi perhatian dalam buku ini. Tekanan kerja yang berpanjangan boleh menjejaskan tingkah laku pemimpin dan memberi kesan negatif kepada organisasi. Pemimpin yang tidak mampu mengawal tekanan cenderung menjadi kurang sabar, mudah marah dan kurang empati terhadap orang lain, yang seterusnya boleh mempengaruhi motivasi pekerja serta mewujudkan suasana kerja yang tidak sihat. Oleh itu, amalan seperti memperlahankan rentak kehidupan, mengurangkan gangguan digital dan mengamalkan kesedaran diri amat penting untuk membantu pemimpin mengekalkan keseimbangan emosi.

Lebih menarik, buku ini mencabar persepsi tradisional bahawa kesibukan merupakan tanda kejayaan. Dalam realiti semasa, ramai pemimpin menganggap jadual yang padat sebagai simbol produktiviti. Namun begitu, produktiviti sebenar bukanlah tentang melakukan sebanyak mungkin tugas, tetapi tentang memberi fokus kepada perkara yang paling penting dan bernilai. Pemimpin yang mempunyai minda yang tenang lebih mampu mengenal pasti keutamaan organisasi, merancang tindakan secara strategik dan membuat keputusan yang memberi impak jangka panjang.

Pemimpin juga berperanan sebagai model kepada budaya organisasi. Tingkah laku dan cara pemimpin mengurus tekanan akan mempengaruhi budaya kerja dalam organisasi tersebut. Jika pemimpin sentiasa berada dalam keadaan tergesa-gesa, tidak fokus dan tertekan, budaya kerja yang sama akan terbentuk dalam kalangan ahli organisasi. Sebaliknya, pemimpin yang menunjukkan ketenangan, fokus dan kestabilan emosi akan membantu membentuk suasana kerja yang lebih sihat, positif dan produktif.

Kesimpulannya, ketenangan minda merupakan elemen penting dalam membentuk kepimpinan yang berkesan pada masa kini. Dalam era yang dipenuhi tekanan, gangguan digital dan tuntutan kerja yang tinggi, pemimpin perlu memberi perhatian kepada kesejahteraan mental dan pengurusan emosi mereka sendiri. Buku How to Calm Your Mind menekankan bahawa keberkesanan kepimpinan bermula daripada keupayaan seseorang pemimpin mengurus minda, perhatian dan tekanan dengan baik. Pemimpin yang tenang bukan sahaja mampu membuat keputusan yang lebih berkualiti, malah berupaya membina organisasi yang lebih harmoni, produktif dan lestari.

 

Penulis bersama Prof. Madya Dr. Hanifah Jambari dan Prof. Madya Dr. Sharifah Osman

Explore More

UTM Open Day