📝 Ringkasan
Program HIDROVERSE di Kampung Sungai Kembong Hilir telah berjaya membina fasiliti hidroponik berkuasa solar untuk komuniti. Program ini melibatkan kerjasama antara UTM, UNITEN dan YCU serta komuniti setempat. Fasiliti hidroponik yang dibangunkan dapat menjana tenaga bagi projek hidroponik dan sistem penuaian air hujan. Kejayaan program ini membuktikan bahawa kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, industri dan komuniti mampu mencipta impak sosial yang mendalam serta menjana penyelesaian inovatif terhadap cabaran makanan dan tenaga.
BERANANG, 7 Feb – Kampung Sungai Kembong Hilir telah menjadi tuan rumah kepada program pemindahan ilmu dan teknologi iaitu ‘HIDROVERSE: Perkebunan Hidroponik dan Penuaian Air Hujan Berkuasa Solar untuk Komuniti Lestari’. Program sehari ini menghimpunkan pakar universiti, sukarelawan dan komuniti setempat bagi membangunkan model pertanian moden yang mampan, sekali gus menjanjikan masa depan yang lebih hijau dan berdikari untuk penduduk kampung.
Program yang dianjurkan secara bersama oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Yayasan Canseleri UNITEN (YCU) ini turut mendapat kerjasama erat Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Kembong Hilir, Uniten Sustainability and Safety Department (SSD), Kelab Kilat Unity serta Han Agro Enterprise. Kehadiran 26 orang penduduk kampung dan orang awam, disokong oleh 14 tenaga mahir dari UTM, 18 sukarelawan serta lima tenaga mahir dari UNITEN, mencorakkan suasana gotong royong dan pembelajaran yang meriah sepanjang program berlangsung.


Majlis pembukaan diserikan dengan kehadiran barisan tetamu kehormat. UTM diwakili oleh Ts. Mohd Hazri Ishak dari Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM Cawangan Kuala Lumpur serta Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip dari Pejabat Pelestarian Kampus, UTM Cawangan Kuala Lumpur. UNITEN pula diwakili oleh Ir. Ts. Dr. Daud Mohamad selaku Ketua Projek Uniten YCU Grant, Mokhtaruddin Shublee Mohamad dari SSD, Zulhafiza Zulkifle dari Unity dan Zarina Alias dari CCRD. Komuniti setempat diwakili oleh Ketua Kampung Sungai Kembong Hilir, Jumad Omar; Setiausaha JPKK, Hairee Mohamad serta Penghulu Mukim Beranang, Mohammad Samsudin Hj. Satar. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen tinggi semua pihak dalam memacu pembangunan lestari berasaskan komuniti.

Program HIDROVERSE dirangka dengan empat objektif utama iaitu memberi pendedahan dan latihan praktikal teknologi hidroponik, meningkatkan kemahiran penduduk untuk pengeluaran makanan sendiri, mewujudkan model ladang komuniti sebagai pusat pembelajaran serta menggalakkan semangat keusahawanan hijau. Objektif ini diterjemahkan melalui siri aktiviti padat yang melibatkan peserta secara langsung.

Sepanjang program, peserta mengikuti taklimat kesedaran mengenai kepentingan pertanian moden sebelum terlibat dalam bengkel pembinaan struktur asas sistem hidroponik yang diketuai oleh Noor Aniza Ghzali @ Ghazali selaku ketua pasukan infrastruktur hidroponik. Aktiviti praktikal diteruskan dengan pemasangan sistem dan komponen, demonstrasi penanaman serta penjagaan tanaman hidroponik, dan sesi khusus mengenai pengurusan nutrien serta kawalan perosak. Sesi perbincangan kelompok turut diadakan bagi membincangkan potensi komersial dan peluang pengembangan projek pada masa hadapan. Pada masa yang sama, pasukan solar yang diketuai oleh Ahmad Fadhli Mohd Suhaimi memastikan pemasangan sistem kuasa solar bagi menjana tenaga untuk projek hidroponik dan sistem penuaian air hujan berjalan lancar.
Program mencapai kemuncaknya dengan majlis penutup dan penyerahan fasiliti hidroponik yang telah siap dibina kepada komuniti. Majlis dimulakan dengan ucapan wakil UTM dan UNITEN yang merakamkan penghargaan atas komitmen semua pihak. Ketua Kampung, Jumad Omar, turut melahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas pemindahan ilmu yang sangat bernilai kepada penduduk kampung. Acara simbolik pemotongan reben menandakan bermulanya fasa baharu kehidupan lestari untuk Kampung Sungai Kembong Hilir.

Kejayaan program HIDROVERSE ini bukan sahaja diukur melalui fasiliti fizikal yang terhasil, malah melalui pengetahuan dan keyakinan baharu yang terbina dalam kalangan peserta. Ia membuktikan bahawa kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, industri dan komuniti mampu mencipta impak sosial yang mendalam serta menjana penyelesaian inovatif terhadap cabaran makanan dan tenaga. Model kejayaan ini diharap dapat diperluaskan ke kampung lain, seterusnya menyumbang ke arah pembangunan mampan negara.