February 7, 2026

UTM serahkan dokumen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kepada LPNM

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) telah menyerahkan dokumen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang lengkap kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM). Dokumen ini dihasilkan oleh lebih 150 pelajar tahun empat FKT melalui kursus OSH di Industri sebagai projek berasaskan komuniti. Kerjasama ini bertujuan membantu LPNM membangunkan sistem KKP yang mematuhi perundangan semasa, terutamanya di fasiliti pemprosesan sisa nanas di Pekan Nenas, Johor.

JOHOR BAHRU, 13 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) telah melaksanakan majlis penyerahan dokumen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang lengkap kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bertempat di Auditorium IBD, UTM Johor Bahru.

Kerjasama strategik ini dijalinkan melalui Projek Service Learning bagi kursus OSH di Industri (SETK 3552), yang mewajibkan pelajar melaksanakan projek berasaskan komuniti luar universiti. Bagi pelaksanaan tahun ini, LPNM telah dipilih sebagai komuniti sasaran dengan tumpuan kepada fasiliti pemprosesan sisa nanas di Pekan Nenas, Johor, yang dipilih berikutan lokasinya yang lebih dekat dan mudah diakses oleh pelajar.

Lawatan pelajar ke fasiliti LPNM di Pekan Nenas bagi melaksanakan penaksiran risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan

Kursus ini melibatkan lebih 150 pelajar tahun empat FKT UTM daripada empat seksyen. Objektif utama projek ini adalah untuk menghasilkan dokumen OSH Workplace Assessment (OSHWA) yang lengkap dan komprehensif bagi membantu LPNM membangunkan sistem KKP yang mematuhi keperluan perundangan semasa.

Memandangkan sebelum ini LPNM belum mempunyai manual dan prosedur KKP yang formal, pasukan pensyarah kursus yang terdiri daripada Dr. Hamidah Kamarden, Dr. Nurul Huda Baharuddin dan Dr. Syed Anuar Faua’ad Syed Muhammad, di bawah penyelarasan Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim selaku Penyelaras Kursus, telah menyediakan senarai keperluan dokumentasi KKP yang selaras dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Pelajar menjalankan pengukuran bunyi bising yang dihasilkan oleh mesin di fasiliti pemprosesan

Setiap seksyen pelajar diberikan tugasan khusus merangkumi penyediaan pelan susun atur loji dan carta alir proses, pembangunan polisi KKP, pelaksanaan Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC) serta Machinery Risk Assessment (MRA), pembangunan Prosedur Operasi Selamat (SOP) bagi semua mesin yang digunakan, dan pengukuran bunyi bising serta penghasilan peta bunyi bagi memberikan panduan jarak selamat kepada pekerja dalam mengurangkan risiko pendedahan bunyi bising berbahaya.

Kesemua hasil kerja ini digabungkan bagi menghasilkan dokumen OSH Workplace Assessment yang lengkap untuk kegunaan pihak pengurusan LPNM. Sebelum penyerahan kepada pihak industri, pelajar terlebih dahulu membentangkan hasil projek kepada dua penilai pakar dalam bidang KKP sebagai sebahagian daripada proses jaminan kualiti dan ketepatan kandungan dokumentasi.

Pelan susun atur loji yang dihasilkan pelajar berdasarkan lawatan fizikal ke fasiliti LPNM

Dalam majlis tersebut, dua salinan fizikal laporan dokumentasi KKP yang lengkap, dua salinan laporan HIRARC bersaiz A3 serta salinan digital dalam bentuk pemacu USB telah diserahkan secara rasmi kepada pihak LPNM oleh Dekan FKT, Prof. Dr. Mat Uzir Wahit. Majlis ini turut diserikan dengan penyerahan sijil penghargaan sebagai tanda terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh LPNM.

Dalam ucapan rumusan, wakil LPNM iaitu Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Produk dan Bioteknologi menyatakan rasa kagum terhadap kualiti dan ketelitian hasil kerja menyeluruh yang dibentangkan. Menyedari keperluan pematuhan terhadap peruntukan terkini Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, pihak LPNM turut memaklumkan bahawa peruntukan khusus telah disediakan bermula tahun ini bagi membangunkan sistem KKP di fasiliti mereka. Dokumen KKP yang dihasilkan melalui projek service learning ini disifatkan sebagai sangat relevan dan menepati keperluan sebenar organisasi.

Sesi penyerahan dokumentasi KKP yang lengkap kepada pihak LPNM

Menurut Prof. Dr. Mat Uzir Wahit, keputusan LPNM untuk bekerjasama dengan UTM merupakan langkah yang tepat kerana pensyarah yang terlibat mempunyai pengalaman luas dalam bidang KKP, manakala pelajar FKT pula sentiasa menunjukkan tahap komitmen dan profesionalisme yang tinggi, khususnya dalam pelaksanaan projek bersama pihak luar universiti.

Kerjasama strategik antara UTM dan LPNM ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan kerana pendekatan service learning bukan sahaja memperkasa pembelajaran berimpak tinggi dalam kalangan pelajar, malah memberikan manfaat besar kepada industri, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (SME), dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Sesi bergambar wakil LPNM bersama Dekan, pensyarah dan pelajar kursus OSH di Industri 

Penulis bersama: Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim dan Siti Rahmah Suradi

Explore More

UTM Open Day