GeoHarta Global Connections UTM perkukuh jaringan akademik antarabangsa di Jepun

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya mengukuhkan jaringan akademik antarabangsa di Jepun melalui Program GeoHarta Global Connections: Japan Academic Visits 2025. Program mobiliti selama 10 hari ini melibatkan 10 mahasiswa dan dua pensyarah yang melawat universiti terkemuka di Tokyo dan Osaka, bertujuan memperluas kerjasama penyelidikan dan pendedahan antarabangsa. Selain pengisian akademik, program ini turut menyelitkan elemen pertukaran budaya Malaysia, memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

TOKYO, 1 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan reputasinya di peringkat antarabangsa apabila seramai 10 mahasiswa bersama dua pensyarah pengiring berjaya menamatkan Program GeoHarta Global Connections: Japan Academic Visits 2025, iaitu program mobiliti akademik yang berlangsung di Tokyo dan Osaka, Jepun.

Program selama 10 hari ini dianjurkan oleh Tropical Resources Mapping (TropicalMap) Research Group dan Centre for Real Estate Studies (CRES), Fakulti Alam Bina dan Ukur, dengan objektif memperluas jaringan kerjasama penyelidikan, meningkatkan pendedahan antarabangsa mahasiswa UTM serta merintis kolaborasi strategik bersama universiti terkemuka di Jepun.

Dua alumni UTM yang kini melanjutkan pengajian di Waseda University dan University of Tsukuba, Tokyo

Menurut Sr Dr. Nurul Hana Adi Maimun selaku penasihat utama program dari Jabatan Harta Tanah, inisiatif ini merupakan program berimpak tinggi yang menyokong agenda pengantarabangsaan UTM. Lawatan gabungan jabatan di Fakulti Alam Bina dan Ukur ini turut disertai oleh Prof. Madya Gs. Sr Dr. Nurul Hazrina Idris dari Jabatan Geoinformasi.

Beliau berkata, program ini memberi pendedahan langsung kepada mahasiswa terhadap ekosistem akademik dan penyelidikan di Jepun, khususnya dalam bidang hartanah, perancangan bandar dan remote sensing. Selain itu, program ini turut membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan jangka panjang serta pertukaran ilmu antara institusi.

Delegasi UTM memulakan lawatan akademik ke Waseda University, Tokyo, yang diselaraskan oleh saudara Kamis, alumni UTM yang kini melanjutkan pengajian Doktor Falsafah di universiti berkenaan. Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi UTM memahami persekitaran akademik universiti berprestij tersebut di samping membina jaringan awal dengan komuniti penyelidik tempatan.

Lawatan akademik delegasi UTM ke Waseda University bersama alumni UTM

Program diteruskan dengan lawatan ke Hitotsubashi University, sebuah institusi tersohor dalam bidang pengurusan hartanah dan dasar perbandaran. Lawatan tersebut dimulakan dengan sesi kolokium dan perbincangan akademik bersama barisan profesor serta penyelidik universiti berkenaan yang berkongsi amalan penyelidikan semasa dan cabaran pembangunan bandar di Jepun.

Sesi kolokium yang diadakan di Center for Urban and Real Estate Studies (CURES) memberi peluang kepada mahasiswa UTM membentangkan hasil penyelidikan masing-masing serta menerima maklum balas profesional daripada pensyarah tuan rumah, termasuk Profesor Dr. Chihiro Shimizu yang mengetuai sesi tersebut.

Sesi bergambar selepas kolokium di Hitotsubashi University

Lawatan akademik seterusnya ke Chiba University melibatkan penyertaan dalam bengkel teknologi remote sensing di Josaphat Microwave Remote Sensing Laboratory (JMRSL), Center for Environmental Remote Sensing (CEReS), yang diterajui oleh Profesor Dr. Josaphat Tetuko Sri Sumantyo. Sesi kolokium bersama mahasiswa Chiba University turut membuka potensi kerjasama penyelidikan dalam bidang penderiaan jauh dan pemetaan sumber pada masa hadapan.

Lawatan akademik delegasi UTM ke Chiba University

Selain pengisian akademik, program ini turut menekankan elemen pertukaran budaya melalui pengenalan sejarah serta demonstrasi motif pemakaian batik dan kain pelikat sebagai simbol warisan Melayu. Inisiatif ini berperanan memperkenalkan identiti budaya Malaysia kepada rakan akademik Jepun serta memperkukuh hubungan antarabangsa melalui pendekatan diplomasi budaya.

Sesi pertukaran budaya bersama pelajar universiti di Jepun

Delegasi UTM turut mengadakan lawatan ilmiah ke Osaka dan Kyoto bagi meneliti pendekatan perancangan bandar, pengurusan ruang awam serta pemeliharaan warisan budaya. Pendedahan ini membantu peserta memahami keseimbangan antara pembangunan bandar moden dan pemeliharaan identiti budaya setempat.

Salah seorang peserta program, Aida Julia Aminuddin, menyifatkan penyertaan dalam program ini sebagai antara pengalaman paling bermakna sepanjang pengajiannya di UTM. Beliau berkata, program ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman akademik, malah membina keyakinan untuk berinteraksi dan berkolaborasi di peringkat antarabangsa.

Secara keseluruhan, Program GeoHarta Global Connections Japan Academic Visits 2025 berjaya memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dan Jepun, meningkatkan pendedahan global warga UTM serta menyokong aspirasi universiti ke arah menjadi institusi bertaraf dunia melalui mobiliti akademik, penyelidikan dan pertukaran budaya antarabangsa.

Oleh Aida Julia Aminuddin dan Syaza Soraya Sauli

Explore More

UTM Open Day