February 15, 2026

Kelab Belia Penyayang Iskandar Puteri UTM perkasa mahasiswa dan belia tempatan melalui TVET Mikro

📝 Ringkasan

ISKANDAR PUTERI, 3 Januari 2026 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melalui Kelab Belia Penyayang Iskandar Puteri dengan kerjasama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri telah berjaya menganjurkan Kursus Asas Pembuatan Coklat yang menghimpunkan seramai 35 peserta terdiri daripada mahasiswa UTM serta belia tempatan dari kawasan Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI, 3 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kelab Belia Penyayang Iskandar Puteri dengan kerjasama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri telah berjaya menganjurkan Kursus Asas Pembuatan Coklat yang menghimpunkan seramai 35 peserta terdiri daripada mahasiswa UTM serta belia tempatan sekitar Iskandar Puteri.

Program latihan kemahiran ini telah dilaksanakan di Dewan Seminar, Yayasan Penyayang Iskandar Puteri dan diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali selaku Penasihat Kelab dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM. Kursus ini memberi penekanan kepada penguasaan teknik asas pembuatan coklat, kreativiti dalam dekorasi produk, pembungkusan, serta pendedahan awal kepada strategi pemasaran mikro yang bersesuaian untuk golongan belia.

Menurut Dr. Dayana, pendekatan latihan ini dirangka khusus untuk mendekatkan generasi muda kepada peluang keusahawanan makanan yang praktikal, mudah diakses dan berpotensi menjadi sumber pendapatan segera.

“Latihan seperti ini membuka ruang kepada belia, khususnya mereka yang masih belajar atau baru menamatkan pengajian, untuk menguasai kemahiran bernilai tambah yang boleh diterjemahkan kepada produk komersial. Pendekatan ini selari dengan misi kami untuk membina kapasiti komuniti dari peringkat akar umbi melalui pelaksanaan TVET mikro,” katanya.

Peserta menjalani sesi amali sambil mendengar penerangan daripada penceramah
Peserta bersama penceramah dan fasilitator program

Program ini menawarkan pengalaman pembelajaran berasaskan amali sepenuhnya apabila peserta diberi peluang mengendalikan sendiri keseluruhan proses pembuatan coklat, bermula daripada penyediaan bahan, hiasan, pembungkusan, sehinggalah kepada pembentangan produk secara berkumpulan. Selain aspek teknikal, elemen etika pengendalian makanan dan asas perancangan harga produk turut diperkenalkan secara ringkas bagi melengkapkan kefahaman peserta.

Latihan ini bersifat inklusif dan dirangka agar sesuai untuk peserta tanpa latar belakang teknikal. Pada masa yang sama, ia turut menggalakkan pembinaan kemahiran insaniah seperti kerjasama, kepimpinan dan komunikasi melalui aktiviti berkumpulan yang tersusun dan interaktif.

Program ini menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peserta dan berjaya menghimpunkan belia pelbagai kaum. Interaksi serta pembelajaran lintas budaya yang berlaku sepanjang program secara tidak langsung menyokong aspirasi perpaduan nasional dalam suasana pembelajaran yang harmoni. Hal ini membuktikan bahawa program kemahiran bukan sahaja berfungsi sebagai medium pendidikan, malah berperanan membina jaringan sosial yang kukuh dalam komuniti majmuk.

Sebahagian peserta yang menyertai kursus
Peserta terlibat aktif dalam sesi amali pembuatan coklat

Kursus seperti ini bukan sekadar memenuhi keperluan latihan kemahiran jangka pendek, malah menyumbang secara langsung kepada aspirasi negara dalam melahirkan belia yang berkemahiran, inovatif dan berdaya saing. Usaha ini selari dengan hala tuju Pelan Tindakan TVET Negara, Rancangan Malaysia Ke-12 serta Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang menekankan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

Di peringkat negeri Johor, inisiatif ini turut menyokong agenda Kerajaan Negeri Johor yang memberi penekanan kepada pembangunan belia dalam bidang kemahiran dan keusahawanan, khususnya dalam konteks pengukuhan ekonomi domestik dan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Dalam konteks tempatan, penganjuran program ini mengukuhkan usaha merealisasikan visi Pelan Iskandar Puteri Maju yang menitikberatkan pembinaan komuniti berdaya saing, kreatif dan inklusif melalui pembangunan sumber manusia di peringkat akar umbi.

Peserta menunjukkan hasil coklat yang dihasilkan

Kejayaan penganjuran program TVET mikro ini membuktikan bahawa latihan berskala kecil namun berfokus mampu memberi impak besar kepada pemerkasaan komuniti. Selain meningkatkan kemahiran praktikal, program ini turut menyuntik semangat keusahawanan dalam kalangan belia, iaitu satu kumpulan strategik yang menjadi penentu hala tuju masa depan negara.

Pihak Yayasan Penyayang Iskandar Puteri selaku penaja program berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dan diperluas dalam pelbagai bidang kemahiran yang berkait rapat dengan potensi pendapatan isi rumah serta pembangunan industri berasaskan komuniti. Melalui pendekatan libat sama dan kolaboratif, Iskandar Puteri berpotensi menjadi model bandar latihan komuniti yang progresif dan lestari.

Explore More

UTM Open Day