JOHOR BAHRU, 18 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited memperkukuh ekosistem inovasi dan keusahawanan melalui penyediaan fasiliti Inkubator ICCubeX yang kondusif bagi menyokong penyelidik dan pelajar di kampus UTM Johor Bahru.
Fasiliti ini diuruskan oleh Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) UTM dan merangkumi empat ruang utama, iaitu CubeX Catalyst, CubeX Nucleation, CubeX Ideaforge dan CubeX Ideation yang terletak di Bangunan Pusat Industri, Technovation Park, UTM.
Sebanyak tujuh unit kubikel kerja disediakan, melibatkan lima unit di CubeX Catalyst dan dua unit di CubeX Nucleation. Setiap unit dilengkapi dua ruang kerja lengkap yang sesuai untuk kegunaan individu mahupun kerja berkumpulan. Direka bentuk dalam suasana fleksibel, terbuka dan mesra pengguna, inkubator ini turut dilengkapi perabot pejabat asas, kemudahan internet berkelajuan tinggi, ruang santai yang selesa serta bilik mesyuarat. Unit kubikel ini ditawarkan secara percuma atau bersubsidi kepada penerima dana pra-pengkomersialan ICC, syarikat hiliran UTM serta syarikat pemula pelajar UTM bagi tempoh enam bulan hingga maksimum setahun.
CubeX Ideaforge pula menyediakan beberapa premis tambahan bagi menampung kapasiti penghuni CubeX Catalyst dan CubeX Nucleation yang telah melepasi tempoh maksimum penggunaan fasiliti secara percuma atau bersubsidi. Kadar sewa istimewa yang ditawarkan, termasuk subsidi penuh bagi caj utiliti, menjadikan fasiliti ini pilihan yang ekonomik dan mampan bagi menyokong kesinambungan operasi syarikat.
Sehingga November 2025, seramai 18 penghuni telah memanfaatkan fasiliti Inkubator ICCubeX. Daripada jumlah tersebut, 11 merupakan penerima dana pra-pengkomersialan ICC, empat terdiri daripada syarikat hiliran UTM, manakala tiga lagi ialah syarikat pemula pelajar UTM.

Keberkesanan fasiliti Inkubator ICCubeX turut dizahirkan melalui maklum balas positif para penghuninya. Dr. Mohd Hazmil Syahidy Abdol Azis, penerima dana pra-pengkomersialan ICC, memaklumkan bahawa inkubator ini memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan perisian hidrodinamik berasaskan CFD melalui penyediaan prasarana kritikal, interaksi berterusan dengan pihak industri dan akademia, serta akses mudah kepada khidmat nasihat teknikal dan pentadbiran. Sokongan menyeluruh ini sekali gus membantu meningkatkan tahap kesediaan teknologi ke arah pengkomersialan.
Dari perspektif syarikat pemula pelajar, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Dispar Technologies, Sri Prasaad Srighanesan, menyatakan bahawa pengalaman berada di Inkubator ICCubeX memberi impak signifikan terhadap pembangunan projek serta kemahiran keusahawanan. Akses kepada kemudahan fizikal, ekosistem yang kondusif dan peluang kolaborasi telah membantu memperkukuh pemikiran inovatif serta keyakinan diri dalam membangunkan perniagaan berasaskan teknologi.
Sementara itu, bagi syarikat hiliran UTM, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pure Aims Technologies Sdn. Bhd., Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah, menjelaskan bahawa penyertaan dalam Inkubator ICCubeX telah memperkukuh asas perniagaan syarikat melalui bimbingan strategik, kemudahan berteknologi tinggi dan sokongan pakar industri. Selain itu, akses kepada rangkaian industri dan pelabur yang relevan turut membantu mempercepatkan pembangunan serta pengkomersialan inovasi syarikat.
Sepanjang tempoh 2024 hingga November 2025, Inkubator ICCubeX telah menunjukkan impak yang konsisten dalam menyokong ekosistem inovasi UTM. Sebanyak 76 sesi perbincangan strategik antara penyelidik dan pihak industri telah dilaksanakan di fasiliti ini, selain 18 sesi lawatan rasmi oleh wakil industri dan 14 kunjungan komuniti termasuk delegasi dalam dan luar negara. Dalam tempoh yang sama, tujuh kerjasama strategik berjaya dimeterai, 15 kejayaan pengkomersialan direkodkan, 10 penyertaan pertandingan dan anugerah disertai, serta empat program komuniti berjaya dianjurkan. Keseluruhan pencapaian ini menggambarkan peranan signifikan Inkubator ICCubeX dalam memperkukuh jaringan strategik, mendorong hasil inovasi dan memberi nilai tambah kepada penyelidik, syarikat hiliran serta syarikat pemula pelajar UTM.
Penyediaan fasiliti Inkubator ICCubeX ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam membangunkan ekosistem inovasi yang mampan dan menyokong usaha pengkomersialan hasil penyelidikan universiti, selaras dengan aspirasi negara ke arah pembentukan ekonomi berasaskan pengetahuan.





Penulis bersama Nadia Hartini Mohd Adzmi, Pegawai Technovation Park, ICC UTM dan Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Razin Zainal Abidin, Pengurus Technovation Park, ICC UTM