JOHOR BAHRU, 3 Nov – Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru telah menganjurkan Program MasteryMind: Empowering Educators in Science and Mathematics yang menghimpunkan seramai 33 orang guru Biologi dari sekolah menengah sekitar daerah Johor Bahru.
Program ini dianjurkan dengan objektif memperkasa guru-guru Biologi melalui penerapan pendekatan pedagogi yang lebih menarik dan interaktif. Usaha yang digerakkan oleh para pensyarah dari Jabatan Biosains, Fakulti Sains ini turut bertujuan membantu guru meningkatkan kefahaman pelajar terhadap topik-topik Biologi yang sering dianggap mencabar, sekali gus menyokong pembangunan tenaga pengajar berkualiti tinggi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah menengah.
Antara topik utama yang diberi tumpuan ialah Pembiakan Seksual Tumbuhan, Pembiakan Seks, Perkembangan dan Pertumbuhan Manusia, Homeostasis dan Sistem Urinari Manusia serta Pewarisan. Topik-topik ini dikenal pasti sebagai antara cabaran utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana melibatkan konsep biologi yang kompleks dan bersifat abstrak.
Melalui sesi bengkel interaktif dan aktiviti hands-on, para peserta didedahkan kepada pelbagai strategi pengajaran inovatif termasuk penggunaan alat bantu visual dan model interaktif bagi memperkukuh pemahaman konsep serta meningkatkan minat pelajar. Kesemua aktiviti turut dilaksanakan di Makmal Pengajaran Mikrobiologi, Jabatan Biosains, yang membolehkan peserta melihat secara langsung kaedah eksperimen mudah yang boleh diaplikasikan dalam bilik darjah bagi meningkatkan pembelajaran berasaskan inkuiri. Aktiviti-aktiviti ini direka bentuk untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan, berpusatkan pelajar dan berasaskan penerokaan.

Program ini turut menekankan penerapan konsep pembelajaran penguasaan atau mastery learning yang memberi fokus kepada kefahaman mendalam sebelum pelajar beralih kepada topik baharu. Pendekatan ini membolehkan guru menilai tahap penguasaan pelajar secara berperingkat, di samping menggalakkan penglibatan aktif serta pemikiran kritikal dalam bilik darjah.
Sesi perkongsian idea dan amalan terbaik antara peserta dan tenaga akademik UTM turut membuka ruang kepada penghasilan bahan pengajaran yang lebih kreatif, relevan dan mudah disesuaikan dengan konteks pengajaran di sekolah.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan ialah demonstrasi model eksperimen “Rahim dalam Cawan” bagi menerangkan konsep kitaran haid manusia menggunakan bahan mudah didapati. Pendekatan ini membantu peserta memahami proses biologi secara visual dan interaktif, selain memberi peluang kepada mereka terlibat secara aktif dalam perbincangan serta menilai semula kaedah pengajaran topik fisiologi manusia secara lebih kreatif dan berkesan.

Penganjuran Program MasteryMind yang memasuki siri keempat bagi tahun ini mencerminkan komitmen berterusan Fakulti Sains UTM dalam memperkukuh jalinan strategik antara UTM, PPD Johor Bahru dan sekolah-sekolah. Siri pertama, kedua dan ketiga sebelum ini telah melibatkan kepakaran pensyarah dari Jabatan Fizik, Jabatan Sains Matematik dan Jabatan Kimia. Di bawah penyelarasan Pengarah Program, Dr. Nor Ain Husein, bersama pasukan pelaksana, Program MasteryMind diteruskan dengan semangat kolaboratif dan sokongan padu daripada semua jabatan terlibat.
Inisiatif ini kekal menjadi platform berimpak tinggi bagi pemindahan ilmu dan kepakaran universiti kepada komuniti pendidikan, selain memperkukuh peranan guru sebagai ejen utama dalam membentuk generasi pelajar yang celik sains dan berfikiran kritikal.

Selain itu, program ini turut membuka ruang kepada kolaborasi penyelidikan pendidikan antara pensyarah universiti dan guru sekolah dalam meneroka keberkesanan pendekatan pengajaran inovatif bagi topik-topik Biologi yang mencabar. Hasil perkongsian ini diharap dapat melahirkan lebih banyak bahan bantu mengajar kreatif serta modul latihan berasaskan amalan terbaik, sekali gus menyokong usaha Kementerian Pendidikan dalam memperkukuh pedagogi Sains di peringkat sekolah menengah.

Dalam ucapan penutup, Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir menzahirkan penghargaan kepada Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) PPD Johor Bahru di bawah penyelarasan Dr. Norlly Mohd Isa atas peranan penting mereka dalam menjayakan Program MasteryMind 2025. Beliau menegaskan bahawa kerjasama strategik bersama SISC+ telah memperkukuh pembangunan profesional guru serta memastikan impak program ini dapat diterjemahkan secara berkesan di bilik darjah.
Program ini diharap dapat diperluas ke daerah lain pada masa akan datang bagi memperkukuh lagi kapasiti guru Biologi dan STEM secara keseluruhan di seluruh negeri Johor, sekali gus menyokong agenda nasional dalam memperkasa Pendidikan STEM dan melahirkan pelajar yang berpengetahuan, kreatif serta berdaya saing.
