JOHOR BAHRU, 6 Dis – Majlis Penutup Sekolah Agama Lestari Perintis Hijau & Seminar Jalinan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Uurs) berlangsung dengan lancar dan bermakna bertempat di Dewan Kuliah 6, Bangunan P19, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini menghimpunkan pelajar sekolah agama, guru, pegawai pendidikan serta tetamu jemputan dalam satu platform pendidikan berteraskan kelestarian bagi memupuk kesedaran alam sekitar, nilai tadbir urus dan tanggungjawab sosial selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Program dimulakan dengan sesi penyampaian hadiah bagi pertandingan Dai Hijau dan SDG Snapshot yang melibatkan penyertaan pelajar dari 13 buah sekolah agama di sekitar Johor Bahru. Bagi pertandingan Dai Hijau, para pelajar diuji keupayaan kreativiti dan kefahaman terhadap nilai kelestarian melalui penghasilan komik bertemakan alam sekitar, yang menekankan elemen penceritaan visual, mesej hijau dan nilai murni. Sementara itu, pertandingan SDG Snapshot mencabar pelajar menghasilkan video ringkas berdurasi 60 saat yang mengetengahkan isu dan mesej berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan secara padat, kreatif dan berimpak tinggi.
Penyampaian hadiah ini bertujuan mengiktiraf usaha pelajar dalam menyampaikan mesej kelestarian secara inovatif serta memperlihatkan peranan pendidikan sekolah agama dalam menyokong agenda pembangunan mampan di peringkat komuniti. Majlis ini dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Aede Hatib Musta’mal, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan), Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM; Abu Sani Kalam, Pegawai Pendidikan Islam Daerah Johor Bahru daripada Bahagian Pendidikan Islam; serta Sutina Ramli selaku wakil rasmi Yayasan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ).



Sesi seterusnya diteruskan dengan Seminar Jalinan ESG bertajuk Guarantee Money Pengkisahan Dari Tirai Besi yang disampaikan oleh Md Sharizal Che Dan. Seminar ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek tadbir urus, integriti serta amalan profesional dalam konteks kelestarian dan pengurusan risiko. Sesi ini turut membuka ruang dialog melalui sesi soal jawab yang interaktif, melibatkan pelajar pendidikan tahun pertama sebagai sebahagian daripada usaha membina pemikiran kritikal dan kesedaran awal terhadap nilai ESG.


Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperkasa pendidikan berteraskan kelestarian, kreativiti dan pemikiran kritikal selari dengan aspirasi ESG serta Matlamat Pembangunan Mampan. Inisiatif sebegini diharapkan dapat melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berdaya saing, beretika dan prihatin terhadap kelestarian masa depan.