December 9, 2025

Cakna kesihatan mental bukan lagi pilihan tetapi keperluan hidup

Dalam kehidupan harian, kita sering kali berasa bimbang terhadap masalah kesihatan fizikal kita seperti demam, darah tinggi, diabetes, penyakit jantung dan sebagainya. Kebanyakan kita akan mengambil tindakan proaktif untuk mendapatkan rawatan segera serta bersedia melalui pemeriksaan berkala sekiranya diperlukan. Namun begitu, tanpa disedari dalam keutamaan menitikberatkan kesihatan fizikal, kita kadangkala terlepas pandang bahawa penjagaan kesihatan mental turut memainkan peranan yang sama penting dalam memastikan kesejahteraan hidup secara menyeluruh.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan kesihatan sebagai satu keadaan yang merangkumi kesihatan fizikal, mental dan sosial, dan bukan sekadar ketiadaan penyakit. Secara khusus, kesihatan mental merujuk kepada keadaan sejahtera apabila individu mampu menyedari keupayaan diri, mengendalikan tekanan hidup dengan baik, bekerja secara produktif serta berupaya menyumbang kepada masyarakat.

Kesihatan mental kita boleh diibaratkan seperti akar tunjang yang menyokong kekukuhan sebatang pokok. Akar yang kukuh membolehkan pokok memerlukan nutrien, air dan cahaya yang mencukupi untuk terus hidup subur. Maka, begitu jugalah diri kita. Tanpa penjagaan kesihatan mental, kehidupan kita mudah menjadi rapuh dan terdedah kepada pelbagai risiko tekanan. Tidak kira sama ada kita pekerja, pelajar, ibu bapa, suri rumah atau sebagainya, kita semua memerlukan “bekalan makanan emosi dan mental” bagi memastikan kesejahteraan diri sentiasa terpelihara.

Namun, apa yang membimbangkan ialah dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) tahun 2023 yang melaporkan peningkatan isu kemurungan kepada 4.6%, iaitu hampir sejuta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan, iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding tahun 2019. Lebih menggusarkan, isu kesihatan mental kanak-kanak juga menunjukkan peningkatan ketara. Dapatan ini mencerminkan bahawa masyarakat Malaysia kini berdepan cabaran kesihatan mental yang semakin meruncing.

Dalam sesetengah kes yang lebih serius, individu yang mengalami masalah kesihatan mental berisiko mencederakan diri atau mengambil tindakan drastik seperti membunuh diri sebagai jalan penyelesaian terakhir. Menurut laporan WHO pada tahun 2024, bunuh diri merupakan penyebab kematian ketiga tertinggi bagi individu berusia antara 15 hingga 29 tahun, dengan lebih 720,000 kematian direkodkan setiap tahun di seluruh dunia.

Kenapa terdapat peningkatan isu kesihatan mental masa kini?

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan isu kesihatan mental ini.

Pertama, tekanan hidup moden masa kini yang semakin kompleks. Tuntutan akademik, beban kerja yang tinggi, gaya hidup yang padat serta penggunaan teknologi dan media sosial secara berlebihan boleh menyebabkan individu berada dalam keadaan stres berpanjangan. Tekanan berlapis ini kadangkala menjadikan minda sukar pulih, dan seterusnya meningkatkan risiko kemurungan serta kebimbangan.

Kedua, masih wujud persepsi bahawa “masalah kesihatan mental tidak seteruk masalah kesihatan fizikal”. Tanggapan sebegini boleh menyebabkan sesetengah individu tidak memberikan perhatian dan penjagaan kesihatan mental yang sewajarnya, meskipun gejala isu kesihatan mental semakin bertambah teruk.

Ketiga, peningkatan isu kesihatan mental turut dikaitkan dengan sesetengah individu yang masih mempunyai perasaan malu atau bimbang dianggap sebagai “individu bermasalah” atau “individu lemah” sekiranya mereka berkongsi masalah atau ingin mendapatkan bantuan profesional. Label negatif yang diberikan kepada diri sendiri ini akhirnya menyebabkan tekanan emosi dipendam lebih lama sehingga menjejaskan kesejahteraan diri serta hubungan dengan orang di sekeliling.

Keempat, stigma masyarakat terhadap individu yang sedang mengalami gangguan mental yang serius seperti gangguan stres pasca trauma (PTSD), bipolar, skizofrenia dan penyakit mental yang lain boleh menyebabkan individu terbabit “berdiam diri” dan enggan mendapatkan bantuan. Lebih menyedihkan, masih terdapat segelintir masyarakat yang menggunakan istilah yang tidak sensitif seperti “kurang siuman”, “tidak waras” atau “gila”, seolah-olah tiada harapan langsung untuk pulih. Persepsi sebegini bukan sahaja menyakitkan, malah menjadi penghalang besar bagi individu mendapatkan bantuan.

Kelima, pemikiran seperti “Saya boleh uruskan tekanan sendiri, tak mahu susahkan sesiapa, termasuk ahli keluarga” boleh menyumbang kepada keadaan yang lebih buruk. Kajian-kajian dalam dan luar negara menunjukkan bahawa tekanan berlebihan yang tidak ditangani awal boleh menyebabkan isu kesihatan mental yang lebih serius seperti lesu upaya (burnout), gangguan kemurungan (depressive disorder) dan gangguan kebimbangan (anxiety disorder). Bagi pekerja, keadaan ini boleh menjejaskan prestasi kerja, manakala pelajar pula mengalami kemerosotan pencapaian akademik.

Bagaimana kita boleh cakna terhadap kesihatan mental?

Melihat kepada situasi semasa, sudah tiba masanya kita lebih peka dan bertanggungjawab terhadap kesihatan mental masing-masing. Penjagaan kendiri (self-care) bukan bererti kita bersikap mementingkan diri sendiri, tetapi merupakan satu keperluan asas untuk memastikan kita terus berfungsi secara optimum.

Antara langkah awal yang penting ialah mengamalkan kesedaran diri (self-awareness) terhadap emosi dan tekanan. Luangkan masa untuk mengenal pasti tanda-tanda awal tekanan seperti perubahan mood, gangguan tidur, keletihan melampau, hilang minat atau kebimbangan berlebihan. Semakin awal perubahan ini disedari, semakin mudah tindakan dapat diambil sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Selepas menyedari tekanan yang dialami, langkah penting berikutnya ialah mengakui bahawa diri kita sedang berdepan masalah. Sikap menafikan atau mengabaikan masalah bukan sahaja boleh menjadikan masalah kesihatan mental semakin parah, malah menjadikan keadaan lebih sukar untuk diuruskan kelak. Setelah menerima realiti tersebut, fikiran kita boleh beralih daripada “penafian” kepada “penyelesaian masalah”. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Apa yang penting, kita memilih untuk bertindak, bukan berdiam diri.

Sesetengah individu mengambil langkah berkongsi masalah dengan ahli keluarga, rakan-rakan terdekat atau individu yang dipercayai. Tidak dinafikan bahawa rangkaian sokongan sosial terbukti membantu mengurangkan stres. Namun begitu, bagi isu yang lebih kompleks, rangkaian sosial sahaja tidak mencukupi kerana mereka mungkin tidak mempunyai pengetahuan atau kemahiran untuk membantu, khususnya dalam situasi yang melibatkan risiko mencederakan diri atau gangguan mental yang serius.

Justeru, amat penting untuk mendapatkan bantuan profesional, khususnya daripada kaunselor terlatih dan bertauliah. Peranan kaunselor bukan sahaja menyediakan ruang selamat untuk  meluahkan perasaan, bahkan membantu membina semula ketahanan diri dan membimbing individu mencari jalan penyelesaian yang sesuai.

Kesimpulannya, jangan biarkan isu kesihatan mental berlarutan tanpa sebarang tindakan. Seiring pepatah, “Cegah sebelum parah”, setiap daripada kita berhak dan bertanggungjawab menjaga kesejahteraan mental sendiri. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 286 bahawa, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. Ini menunjukkan bahawa setiap ujian hadir bersama kemampuan dan ruang untuk kita menghadapinya.

Apabila kesihatan mental terpelihara, kita bukan sahaja mampu meningkatkan potensi diri, tetapi juga dapat berfungsi secara produktif, menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara serta menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Explore More

UTM Open Day