December 4, 2025

UTM raih tempat ketiga Pertandingan Jom Hijau MBIP 2025

JOHOR BAHRU, 22 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai dan meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Jom Hijau MBIP 2025. Pertandingan landskap ini dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk menilai keindahan sesuatu kawasan berdasarkan kriteria nilai estetika, kondusif, reka bentuk mampan serta penyelenggaraan dan pemeliharaan alam sekitar yang beridentiti. Pertandingan ini terbuka kepada individu dan organisasi di bawah pentadbiran MBIP, dengan kategori termasuk landskap rumah kediaman persendirian, landskap bangunan kerajaan, pelan induk landskap, dan kebun komuniti.

Semasa hari penjurian di Tasik Ilmu

Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JNTCP) melalui Seksyen Kelestarian dan Keindahan Kampus, Bahagian Pengurusan Aset, mengambil bahagian dengan mempertaruhkan Taman Tropika UTM di kategori Taman Rekreasi. Pertandingan memerlukan peserta menghantar dokumen mengenai tapak yang dipertandingkan beserta persembahan kreatif mereka.

Kerja-kerja dokumentasi termasuk mengambil gambar di tapak, menyelidik sejarah pembangunan dan evolusi Taman Tropika UTM sejak perasmian, serta mempersembahkan elemen menarik telah dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Penyertaan dihantar kepada urusetia pada penghujung September, dan Taman Tropika UTM terpilih ke peringkat penjurian akhir di tapak pada 29 Oktober 2025. Penjurian dijalankan oleh panel pakar landskap dari pelbagai agensi. Sesi penjurian dikendalikan oleh Nur Syuhada Farhany, yang menerangkan latar belakang Taman Tropika UTM, sejarah perasmian, elemen tersedia, kerja menaiktaraf, dan tarikan lain seperti Rumah Tropika, Jeti Tasik Ilmu, dan Jambatan Magenta. Panel juga diberi penerangan tentang keunikan Taman Tropika, pemilihan tanaman, penggunaan QR kod bagi maklumat pokok, serta dibawa melihat kawasan-kawasan menarik yang sering menjadi tumpuan.

Penerangan diberikan kepada juri yang hadir

Majlis penyampaian hadiah dan anugerah sempena Karnival Iskandar Puteri diadakan pada 22 November 2025 di Dewan Auditorium MBIP. Majlis turut meraikan organisasi yang berjaya menerima anugerah kelestarian Local Agenda 21 (LA21). Pada majlis ini, UTM diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga bagi kategori Taman Rekreasi dalam Pertandingan Jom Hijau MBIP 2025. Hadiah disampaikan oleh Setiausaha MBIP, Tambi Omar Latip.

Ketika menerima hadiah kemenangan

Anugerah ini merupakan pengiktirafan oleh pihak berkuasa tempatan terhadap kemudahan dan fasiliti di UTM. Pencapaian ini diharapkan menjadi pendorong kepada semua warga untuk terus memelihara landskap dan persekitaran kampus agar lebih baik dan terurus, supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh warga kampus dan komuniti setempat.

Pencapaian ini juga menggambarkan usaha berterusan UTM dalam memupuk budaya kelestarian dan penghargaan terhadap alam sekitar di kalangan warga kampus. Dengan kejayaan ini, UTM bukan sahaja menunjukkan komitmen terhadap landskap dan keindahan kampus, malah turut menggalakkan pelajar, staf, dan komuniti untuk lebih mengambil berat terhadap pemuliharaan alam sekitar secara bersepadu dan berterusan.

Oleh Qamaruzaman Mohd Noor dan Nur Syuhada Farhany Mohd Yahaya

Explore More

UTM Open Day