December 1, 2025

Robot Shopper Competition di AEON semarak minat pelajar dalam robotik

JOHOR BAHRU, 9 Nov – Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Bahagian Keselamatan UTM dan Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) telah menganjurkan AEON–UTM Robot Shopper Competition pada 8 dan 9 November 2025 di AEON Taman Universiti Shopping Centre. Penganjuran julung kali bersama AEON ini bertujuan memupuk minat pelajar sekolah rendah dan menengah terhadap bidang robotik melalui pertandingan berasaskan teknologi dan demonstrasi interaktif. Seramai 58 pelajar daripada 19 pasukan sekolah sekitar Johor Bahru telah menyertai pertandingan tersebut, sekali gus menunjukkan sambutan yang menggalakkan terhadap program pendidikan STEM.

Selain penyertaan pelajar, program ini turut mengukuhkan kerjasama antara Kerajaan, Universiti, Komuniti dan Industri (GUCI). Penglibatan AEON Taman Universiti serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai dan Johor Bahru membuka ruang kepada jalinan strategik dalam penyelidikan terapan, perkongsian kepakaran, program komuniti, perundingan serta peningkatan kebolehpasaran graduan. Dalam masa yang sama, penganjuran ini selari dengan aspirasi UTM sebagai universiti berteraskan teknologi dan inovasi yang komited dalam memperkasa pendidikan STEM di sekolah.

Program ini turut menerima sokongan penting daripada MAXIS, Richeese, AEON dan dana CCIN UTM. AEON selaku rakan penganjur menyediakan ruang pertandingan, bilik persediaan serta menaja hadiah berupa baucar membeli-belah kepada para pemenang. Pihak AEON juga menyediakan keperluan logistik dan fasiliti sepanjang program berlangsung, manakala MAXIS memastikan kelancaran penganjuran dengan menyediakan rangkaian Internet bagi menyokong pertandingan dan pameran teknologi robotik.

Dua komponen utama ditampilkan dalam program ini, iaitu pameran teknologi dan pertandingan robotik. Pengunjung pusat beli-belah berpeluang menyaksikan demonstrasi pelbagai teknologi ciptaan penyelidik UTM, termasuk sistem keselamatan berasaskan drone, teknologi pertanian pintar, teknologi akuakultur pintar, sistem autonomi dan kecerdasan buatan.

Pameran teknologi UTM termasuk drone keselamatan, teknologi pertanian dan akuakultur pintar, sistem autonomi, kecerdasan buatan serta pencetak 3D dari PPD Kulai

PPD Kulai turut mempamerkan teknologi percetakan 3D yang mencuri perhatian ramai. Program dimulakan dengan sesi taklimat dan latihan kepada para peserta sebelum Liga Robot Shopper bermula. Dalam acara ini, robot perlu mengesan laluan, mengelak halangan dan melaksanakan tugasan membeli item simulasi menggunakan kod arahan yang diprogramkan sendiri oleh peserta.

Hari kedua menyaksikan pusingan akhir Robot Shopper diikuti pertandingan Robot Pageant, iaitu pertandingan yang menilai kreativiti reka bentuk robot berdasarkan penampilan, tema dan persembahan visual. Acara penutup merangkumi gimik perasmian, penyampaian hadiah dan cenderahati kepada pemenang serta rakan kolaborasi yang telah menjayakan program ini. Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah CCIN UTM, Prof. Dr. Johari Surif.

Gelagat para peserta ketika pertandingan Robot Shopper berlangsung
Prof. Dr. Johari Surif bersama Mohd Faizal Abd Latib (Pengarah Program) dan Lokman Hakim Amran (Pengurus Kompleks) menyaksikan gimik perasmian
Penyampaian hadiah dan sijil kepada peserta dan pemenang pada majlis penutup

Penganjuran AEON–UTM Robot Shopper Competition membuka lembaran baharu kepada pengukuhan kerjasama strategik antara UTM, industri dan agensi kerajaan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pengkomersialan. Dari aspek komuniti, program ini berjaya memperluas akses pendidikan STEM, menyemarakkan minat pelajar terhadap teknologi serta mengukuhkan sokongan ibu bapa dan guru terhadap aktiviti berasaskan inovasi. Ia turut menzahirkan komitmen UTM terhadap pembangunan mampan melalui penganjuran program teknologi yang berimpak tinggi dan berorientasikan libatsama komuniti.

Explore More

UTM Open Day