November 19, 2025

130 Graduan SPACE UTM Dirai Pada Majlis Anugerah Dekan dan Hadiah Akademik

JOHOR BAHRU, 16 Nov 2025 – Majlis Penyampaian Anugerah Dekan dan Hadiah Akademik SPACE sempena Majlis Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berlangsung dengan penuh penghargaan di Dewan Kencanapuri, Pulai Springs Resort, Johor. Seramai 130 graduan Program Sarjana Muda Pengajian Sepenuh Masa dan Separuh Masa diraikan atas kecemerlangan akademik yang dicapai sepanjang pengajian mereka.

Majlis disempurnakan oleh Yang Berusaha Profesor Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar, Dekan SPACE UTM. Dalam ucapan beliau, Profesor Dr. Shahrizal merakamkan tahniah kepada para graduan atas kejayaan yang lahir daripada kerja keras, komitmen dan pengorbanan mereka sepanjang bergelar mahasiswa UTM.

“Kejayaan para graduan pada Konvokesyen UTM ke-69 ini selaras dengan aspirasi negara dalam melahirkan modal insan kreatif, inovatif dan berimpak kepada masyarakat,” ujar beliau.

Beliau turut berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Antara penerima utama pada majlis ini ialah Zul Karami bin Jamel, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik dengan Kepujian (Pengajian Separuh Masa), yang menerima Anugerah Naib Canselor dengan PNGK 3.95. Beliau juga turut meraih Hadiah Akademik sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan dan dedikasi luar biasanya dalam bidang akademik.

SPACE UTM turut meraikan Siti Hajar binti Tumeran, yang dipilih sebagai penerima Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Dekan bagi program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) dengan Kepujian. Beliau menamatkan pengajian dengan pencapaian membanggakan, memperoleh PNGK 3.84.

Sebagai tambahan, SPACE UTM turut menganugerahkan Hadiah Khas kepada 10 graduan kategori Suami Isteri, dua graduan kategori Adik-Beradik, serta dua graduan kategori Veteran sebagai pengiktirafan terhadap usaha, komitmen dan kejayaan akademik mereka.

UTM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah dan graduan yang diraikan, serta berharap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada sumbangan lebih besar kepada masyarakat dan negara.

Oleh : Ungku Amirah binti Ungku Mohamad, Bahagian Pembangunan Bisnes, Sekolah Pendidikan Profesional & Pendidikan Berterusan (UTMSPACE)

Penerima Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Dekan, Zul Karami bin Jamel

 

Penerima Anugerah Naib Canselor, Siti Hajar binti Tumeran

 

10 orang graduan dalam kategori suami isteri menerima Anugerah Hadiah Khas

 

Sesi bergambar bersama barisan pengurusan tertinggi SPACE UTM

 

Sesi bergambar bersama barisan pengurusan tertinggi SPACE UTM

Explore More

UTM Open Day