December 7, 2025

UTM Games 2025 serlah semangat sukan dan kepimpinan mahasiswa

JOHOR BAHRU, 9 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan UTM Games 2025, sebuah kejohanan sukan tahunan yang menjadi wahana utama dalam menyemarakkan budaya kesukanan, perpaduan dan jati diri dalam kalangan mahasiswa. Penganjuran sepanjang 1 hingga 9 November 2025 di Kampus UTM Johor Bahru ini melibatkan 11 jenis sukan dengan penyertaan daripada 10 kolej kediaman, termasuk penglibatan mahasiswa dari Kampus UTM Kuala Lumpur, sekali gus menggambarkan komitmen universiti untuk memperluas penyertaan dan memperkukuh semangat kekitaan.

Kejohanan ini dikendalikan oleh Pusat Kecemerlangan Sukan di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pelajar) dengan kerjasama Majlis Sukan Atlet Mahasiswa (SASC). Ia bukan sahaja berperanan sebagai pentas pertandingan, malah menjadi platform pembangunan atlet universiti serta ruang pengalaman sebenar buat mahasiswa mengasah bakat kepimpinan, pengurusan acara dan pengurusan risiko dalam penganjuran sukan berskala besar.

Pengarah Pusat Kecemerlangan Sukan UTM, Rizam Rahmat, menegaskan bahawa penganjuran kali ini bukan sekadar medan persaingan, tetapi juga satu peluang pembelajaran bagi pelajar.

“UTM Games merupakan manifestasi komitmen universiti dalam membangunkan pelajar yang seimbang dari sudut akademik, jasmani dan sahsiah. Ia menjadi landasan untuk mencungkil bakat baharu yang berpotensi mewakili UTM di pentas lebih tinggi,” ujar beliau.

Sebanyak 11 acara sukan dipertandingkan pada edisi kali ini, merangkumi futsal, bola tampar, bola baling, bola jaring, badminton, ping pong, woodball, bola keranjang tiga lawan tiga, frisbee, petanque dan e-sukan seperti Mobile Legends serta PUBG. Kepelbagaian acara ini memberi peluang kepada pelajar daripada pelbagai minat dan kemahiran untuk menyerlahkan potensi masing-masing.

Majlis perasmian yang berlangsung penuh meriah di Stadium Azman Hashim turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan gaya hidup sihat dan budaya sukan sebagai elemen penting pembinaan karakter mahasiswa.

Prof. Ts. Dr. Ali Selamat ketika menyampaikan ucapan perasmian

Saingan sengit sepanjang sembilan hari menyaksikan Kolej Tuanku Canselor (KTC) muncul sebagai juara keseluruhan kategori lelaki selepas mengumpul 10 pingat yang terdiri daripada 5 emas, 4 perak dan 1 gangsa. Kolej Rahman Putra (KRP) pula menamatkan saingan di tempat kedua dengan meraih 3 emas, 2 perak dan 3 gangsa, manakala Kolej Datin Seri Endon (KDSE) turut mencipta impak tersendiri apabila berada di kedudukan ketiga dengan kutipan 3 emas dan 4 perak.

Bagi kategori wanita, Kolej Tun Fatimah (KTF) terus mengukuhkan reputasi sebagai antara kolej paling dominan dalam arena sukan apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan pungutan 14 pingat, merangkumi 5 emas, 5 perak dan 4 gangsa. Kolej 9 & 10 (K9K10) turut mengekalkan momentum kecemerlangan apabila meraih tempat kedua dengan 4 emas, 2 perak dan 3 gangsa, diikuti KDSE yang menamatkan saingan di tempat ketiga menerusi pencapaian 2 emas, 1 perak dan 2 gangsa.

Pencapaian hebat KTF pada tahun ini menyerlahkan komitmen luar biasa mahasiswinya terhadap sukan dan kepimpinan, selari dengan reputasi kolej tersebut sebagai institusi yang aktif dan kompetitif.

Pengetua KTC bersama atlet meraikan kejuaraan pasukan
Kontinjen KTF ketika diumumkan sebagai juara keseluruhan wanita

Di sebalik kejohanan yang berlangsung sengit, UTM Games 2025 turut menjadi medan latihan realiti buat ahli SASC mengoperasikan keseluruhan struktur penganjuran. Para pelajar berperanan sebagai jawatankuasa pelaksana dalam semua aspek termasuk protokol, teknikal, keselamatan, liputan media dan pengurusan tempat, di bawah pemantauan pegawai Pusat Kecemerlangan Sukan. Pengalaman ini memberi nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan sahsiah dan kemahiran mereka.

Dari segi keselamatan, penganjur memastikan setiap pertandingan mematuhi Kod Sukan Selamat Kementerian Belia dan Sukan. Penyediaan pasukan perubatan serta unit ambulans di setiap tempat membolehkan pertandingan berjalan lancar dan teratur tanpa insiden yang tidak diingini.

Majlis penutup UTM Games 2025 diadakan pada 9 November di Sports Hall 1. Suasana dipenuhi sorakan para penyokong yang hadir menyaksikan penyerahan piala dan pingat kepada semua pemenang. Piala Juara Keseluruhan disampaikan kepada KTC bagi kategori lelaki dan KTF bagi kategori wanita, disaksikan oleh ratusan pelajar yang turut meraikan detik penuh bermakna itu. Kejohanan tahun ini sekali lagi membuktikan bahawa UTM bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah komited melahirkan pelajar yang seimbang, berdaya saing dan berjiwa sukan.

Explore More

UTM Open Day