November 29, 2025

PUTRAJAYA, 6 Nov. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat mencemar duli ke Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025, sebuah platform berprestij anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan usahasama semua universiti awam di Malaysia bagi menghimpunkan para sarjana, pembuat dasar dan penggiat industri ke arah memperkasa inovasi serta pembangunan negara berteraskan ilmu. Turut berkenan berangkat adalah Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bergambar bersama tetamu terhormat bagi Majlis Titah Diraja sempena Festival Idea Putrajaya 2025 yang berlangsung di PICC

Baginda berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Idea Putrajaya 2025 menerusi Titah Diraja bertajuk “Adab: Guiding Our Future in a Changing World“.

Bagi majlis Titah Diraja yang menjadi acara kemuncak festival, UTM yang diketuai oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dengan kerjasama KPT memainkan peranan utama dalam penyelarasan keseluruhan pelaksanaan majlis berkenaan. UTM turut menggembleng tenaga akademik, pasukan pengurusan universiti serta sukarelawan mahasiswa dalam memastikan majlis titah diraja berjalan lancar dan berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh imej institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan ilmu dan nilai.

Dalam majlis tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan mengikuti syarahan perdana yang disampaikan oleh Prof. Dr. Hisham A. Hellyer dari Royal United Services Institute for Defence, United Kingdom dan Prof. Madya Dr. Khairudin Aljunied dari National University of Singapore (NUS) yang berkolaborasi dengan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC-IUM).

(Dari kiri) Prof. Dr. Hisham A. Hellyer dan Prof. Madya Dr. Khairudin Aljunied menerima cenderahati daripada Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, yang diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus

Prof. Dr. Hisham membentangkan tajuk “Adab as Moral Compass: From Principle to Practice in Our Troubled World”, manakala Dr. Khairudin menyampaikan topik “The Future of Muslim Scholar-Activism in Southeast Asia.”

Kedua-dua syarahan menyoroti kepentingan adab, nilai moral dan integriti dalam pendidikan Islam serta peranan cendekiawan dalam membentuk hala tuju masyarakat di rantau ini.

Kerjasama erat antara KPT dan UTM dalam penganjuran majlis titah diraja sempena FOI 2025 ini mencerminkan komitmen bersama untuk memartabatkan tradisi keintelektualan, memperkukuh budaya ilmu serta memperkasa pembangunan insan yang berteraskan nilai dan akhlak mulia menuju Malaysia MADANI.

Explore More

UTM Open Day