November 17, 2025

Kembara Scratch Merdeka 2025 serlah kreativiti digital pelajar sekolah rendah

JOHOR BAHRU, 27 Ogos — Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama strategik Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Skudai telah menganjurkan Pertandingan Kembara Scratch Merdeka 2025, sebuah program kreatif berasaskan perisian Scratch yang mengetengahkan tema kemerdekaan Malaysia.

Program sehari itu berjaya menarik penyertaan 100 murid sekolah rendah dan 20 guru pembimbing daripada empat daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Pasir Gudang. Acara berlangsung meriah di SK Sri Skudai itu disertai dengan pelbagai aktiviti yang menguji daya cipta dan kemahiran teknologi pelajar.

Para peserta merakam kenangan bersama pada majlis penutup Kembara Scratch Merdeka 2025 di SK Sri Skudai

Majlis penutup turut diserikan dengan kehadiran Prof. Dr. Siti Zaiton Mohd Hashim, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Komputeran UTM, yang menyampaikan ucapan inspirasi mengenai kepentingan kemahiran pengaturcaraan dalam ekosistem pendidikan digital masa kini.

Turut hadir Prof. Madya Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin, Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sri Skudai, yang menzahirkan komitmen untuk meneruskan kolaborasi strategik bersama Fakulti Komputeran bagi membentuk komuniti celik teknologi seawal peringkat sekolah rendah.

Seorang peserta menerangkan hasil aplikasi Scratch yang dibangunkan kepada juri

Program ini bertujuan memperkenalkan asas pengaturcaraan kepada murid melalui pembinaan permainan komputer menggunakan Scratch, di samping memupuk semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara. Penganjuran ini juga merupakan kesinambungan daripada siri program terdahulu seperti Bengkel Aplikasi Scratch 1.0 (Ogos 2023) yang memberi manfaat kepada 236 murid di Johor Bahru, Program Kembara Scratch 1.0 (Jun 2024), serta Bengkel Aplikasi Scratch 2.0 (September 2024).

Dr. Pang Yee Yong menilai hasil tugasan peserta bagi kategori permainan bertema kemerdekaan

Menariknya, pendekatan pengajaran yang digunakan berasaskan kaedah rakan sebaya, di mana murid terlatih membimbing rakan lain dalam menyelesaikan tugasan pengaturcaraan. Program ini merangkumi dua komponen utama, iaitu Misi Hands-On Scratch, di mana lima kumpulan dari setiap sekolah bergilir menyiapkan tugasan menggunakan Scratch, serta Pameran Scratch Merdeka, yang menampilkan hasil permainan digital bertemakan kemerdekaan.

Penganjuran turut mendapat bimbingan tenaga pakar daripada Fakulti Komputeran UTM termasuk Prof. Ts. Dr. Md. Asri Ngadi, Prof. Madya Ts. Dr. Ismail Fauzi Isnin, Prof. Madya Dr. Mohd Murtadha Mohamad, Dr. Aryati Bakri, Dr. Norhidayah Zakaria, Ts. Dr. Maheyzah Sirat @ Md Siraj, Dr. Alif Ridzuan Khairuddin, Ts. Dr. Johan Mohamad Sharif, Ts. Dr. Nur Haliza Abdul Wahab dan Firoz Yusuf Patel Dawoodi.

Kumpulan peserta menunjukkan demonstrasi permainan bertemakan kemerdekaan menggunakan perisian Scratch

Sebagai sokongan tambahan, Aminuddin Sahrom, guru SK Sri Skudai, turut menyediakan video bimbingan penyelesaian tugasan pengaturcaraan yang boleh diakses melalui saluran YouTube beliau bagi membantu murid memahami konsep dengan lebih mendalam.

Sebanyak lapan ahli akademik Fakulti Komputeran dilantik sebagai panel juri bagi memastikan pemarkahan telus dan profesional, termasuk Prof. Madya Dr. Azurah A. Samah, Dr. Mohd Kufaisal Mohd Sidik, Ts. Dr. Sarina Sulaiman, Dr. Zuraini Ali Shah, Ahmad Fariz Ali, Dr. Muhammad Khatibsyarbini, Dr. Pang Yee Yong dan Dr. Fazliaty Edora Fadzli.

Prof. Dr. Siti Zaiton Mohd Hashim menyampaikan ucapan penutup sambil menggalakkan penguasaan kemahiran digital di peringkat sekolah rendah

Keputusan akhir menyaksikan SK Sri Pulai Perdana (Kulai) muncul juara dengan 486 mata, diikuti SK Taman Molek (Pasir Gudang) di tempat kedua, manakala SK Sri Skudai (Johor Bahru) meraih tempat ketiga dengan perbezaan mata yang ketara daripada SK Pekan Nenas (Pontian).

Kejayaan ini membuktikan keberkesanan inisiatif Kembara Scratch Merdeka dalam memperkasa kemahiran digital dan pemikiran komputasional dalam kalangan murid, selaras dengan aspirasi Dasar Pendidikan Digital Negara 2023.

Penyelaras program, Dr. Farkhana Muchtar, berkata pendekatan santai tetapi bermakna ini berjaya mencetuskan minat pelajar terhadap dunia pengaturcaraan dan teknologi.

Sementara itu, Aini Rabiatul Adawiyah Nasir, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Seri Kenanga, turut memuji usaha Fakulti Komputeran dalam memperluas pendedahan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar luar bandar.

Dengan sambutan yang memberangsangkan serta penyertaan aktif pelajar dan guru, Kembara Scratch Merdeka 2025 menzahirkan potensi besar generasi muda dalam meneroka dunia teknologi dan inovasi. Diharapkan inisiatif sebegini terus diperluas ke lebih banyak sekolah agar usaha membina generasi celik digital dan berjiwa patriotik dapat direalisasikan secara menyeluruh.

Explore More

UTM Open Day