October 3, 2025

JOHOR BAHRU, 27 Sept. – Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian sekali lagi membuktikan komitmen dalam memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui penganjuran Project Ideation Experience (PIE) 2025, sebuah program yang memberi ruang kepada pelajar sekolah menengah meneroka ilmu serta kemahiran abad ke-21, terutamanya pembelajaran berasaskan projek.

PIE 2025 merupakan kesinambungan daripada kejayaan edisi-edisi terdahulu yang terus mendapat sambutan menggalakkan. Tahun ini, program diketuai oleh Dr. Nur Najahatul Huda Saris dengan tema “IoT untuk Karbon Sifar”. Fokus utama adalah untuk menghubungkan pendidikan STEM dengan agenda global melalui lima Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Sekuriti Makanan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Tenaga Bersih dan Mampu Milik, Inovasi dan Infrastruktur Industri, serta Bandar dan Komuniti Mampan.

Seramai 100 pelajar Tingkatan Dua dan Tiga dari lima daerah iaitu Pontian, Pasir Gudang, Kulai, Johor Bahru dan Kota Tinggi telah mengambil bahagian. Mereka turut dibimbing oleh 25 guru pengiring serta lima Penyelaras STEM daerah. Keseluruhan peserta mendapat sokongan tenaga fasilitator daripada mahasiswa dan pensyarah FKE UTM yang berperanan sebagai mentor, sekali gus memastikan ilmu serta kemahiran dapat dipindahkan secara sistematik kepada komuniti sekolah.

Program ini dilaksanakan dalam tiga fasa. Fasa pertama memberi tumpuan kepada latihan intensif untuk guru pembimbing dan pelajar UTM sebelum berlangsungnya Kem PIE selama dua hari di UTM Johor Bahru pada 29 hingga 30 Julai. Fasa kedua menekankan pembangunan prototaip berasaskan Internet of Things (IoT) yang dipantau secara berkala oleh jawatankuasa program, manakala kemuncaknya adalah Pertandingan PIE yang berlangsung pada 27 September di UTM. Pada tarikh sama turut diadakan Majlis Penutupan Rasmi PIE 2025 sebagai penghargaan kepada semua peserta. Fasa ketiga pula akan menekankan pemerkasaan kelab STEM di sekolah agar kesinambungan ilmu terus dipraktikkan di peringkat akar umbi.

Penolong Naib Canselor (Strategi dan Kesohoran Global) UTM, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain menyatakan bahawa kejayaan program ini menjadi bukti kolaborasi erat antara universiti, sekolah dan industri. Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem pendidikan, malah membuka jalan kepada pelajar untuk mengenal pasti potensi diri dalam bidang kejuruteraan dan teknologi yang semakin penting dalam era Revolusi Industri 4.0.

Objektif utama PIE 2025 adalah untuk melatih pelajar dan guru dalam pengendalian teknologi IoT, memperkukuh pendidikan STEM, mempromosikan kepakaran UTM di peringkat komuniti serta mengasah daya kreatif pelajar melalui pertandingan inovasi. Dengan penglibatan rakan strategik seperti IEEE Malaysia ComSoc/VTS Joint Chapter, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Inovasi dan Penyelidikan) UTM serta sokongan pelbagai agensi industri, PIE 2025 menjadi jambatan ilmu yang menghubungkan sekolah, universiti dan komuniti.

Lebih menarik, pertandingan yang dijalankan telah menampilkan pelbagai idea segar. Antara projek yang dipersembahkan termasuk “Automatic Insulated Cooler” oleh SMK Tunku Abdul Rahman Putra, “Sistem Pemantauan Ternakan Pintar” oleh SMK Bandar Uda Utama, “S.M.A.R.T Compost” oleh SMK Taman Molek, dan “Smart Pest Control System” oleh SMK Tan Sri Jaafar Albar. Semua projek ini membuktikan pelajar mampu mencipta solusi praktikal berasaskan teknologi IoT yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Pelajar SMK Tunku Abdul Rahman Putra bersama guru pembimbing mempersembahkan prototaip inovasi “Automatic Insulated Cooler”
Pelajar SMK Bandar Uda Utama mempersembahkan projek inovasi “Sistem Pemantauan Ternakan Pintar”
Pelajar SMK Taman Molek mempersembahkan projek inovasi “S.M.A.R.T Compost”, solusi pintar pengurusan sisa organik berasaskan IoT
Pelajar SMK Tan Sri Jaafar Albar mempersembahkan projek inovasi “Smart Pest Control System”, solusi pintar kawalan perosak secara automatik

PIE 2025 bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi platform bersepadu yang melahirkan bakat muda celik teknologi, kreatif dan berdaya saing. Dengan sokongan berterusan daripada pihak universiti, sekolah dan industri, program ini diyakini mampu memberi impak jangka panjang bukan sahaja kepada pelajar, malah kepada guru, fasilitator serta komuniti setempat. Ia juga selari dengan komitmen UTM dalam mendukung agenda Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Barisan juri berpengalaman dari sektor industri

Explore More