November 16, 2025

UTM komited mantapkan keusahawanan pelancongan desa menerusi Program Kampung Angkat MADANI

GERIK, 20 Sept. – Dewan Orang Ramai Lama Kampung Plang, Gerik, Perak menjadi tumpuan apabila berlangsung Bengkel Pemantapan Keusahawanan Pelancongan Desa Siri 2 yang menghimpunkan seramai 20 usahawan desa dari Kampung Plang dan kawasan sekitarnya.

Bengkel ini merupakan kesinambungan daripada Bengkel Pendedahan Keusahawanan Pelancongan Desa Siri 1 yang telah berjaya dilaksanakan pada 2 hingga 3 Ogos lalu. Penganjurannya bukan sahaja memperkukuh ilmu yang diperoleh peserta sebelum ini, malah menjadi platform penting bagi merangka strategi dan amalan terbaik dalam membangunkan produk serta perkhidmatan pelancongan desa yang lebih berdaya saing.

Sambutan para peserta bengkel yang amat positif terhadap bengkel pemantapan keusahawanan pelancongan desa yang digerakkan oleh UTM

Penganjuran bengkel siri kedua ini diterajui oleh pasukan fasilitator dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), diketuai oleh Dr. Mohamad Fadhli Rashid dengan sokongan Dr. Mohd Alif Mohd Puzi dan Dr. Khairul Hisyam Kamarudin. Sepanjang sesi, para peserta diberi pendedahan melalui ceramah mengenai contoh amalan terbaik pelancongan desa, diikuti dengan pelaksanaan modul latihan pemantapan produk dan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan komuniti setempat.

Sesi peserta bersama penceramah

Bengkel ini disambut dengan penuh komitmen oleh peserta, yang kemudiannya diberi ruang hampir dua jam untuk membuat pembentangan individu. Setiap usahawan berpeluang menjelaskan bentuk produk dan perkhidmatan yang mereka tawarkan, sama ada secara dalam talian atau fizikal, serta bagaimana ia dapat ditambah baik berdasarkan hasil latihan yang diterima. Pendekatan ini membolehkan peserta menghayati secara lebih jelas kesinambungan antara pendedahan dalam Siri 1 dan pemantapan dalam Siri 2, sekali gus menzahirkan matlamat bengkel sebagai latihan berstruktur yang berupaya meningkatkan kapasiti keusahawanan pelancongan desa.

Para peserta begitu komited mengikuti kesemua modul latihan pemantapan keusahawanan pelancongan desa yang diberikan

Program hari kedua pula diteruskan dengan sesi lawatan dan kaji selidik ke premis perniagaan peserta yang hadir pada hari pertama. Antara premis yang dilawati termasuk Perusahaan Tanjak Reman, D RISA Impiana Resort, Kilang Kerepek, bengkel kereta, dusun buah-buahan serta beberapa kedai makan di Kampung Plang, Kampung Jong dan Kampung Lalang. Lawatan ini bertujuan merekodkan kegiatan semasa para usahawan, sesi fotografi produk dan perkhidmatan, serta menilai keadaan premis perniagaan. Maklumat yang diperoleh akan digunakan untuk menghasilkan brosur dan roll-up bunting yang direka bentuk serta dicetak bagi memudahkan peserta mempromosikan pelancongan desa secara lebih profesional.

Secara keseluruhannya, kejayaan penganjuran Bengkel Pemantapan Keusahawanan Pelancongan Desa Siri 2 beserta lawatan lapangan ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam menginovasi penyelesaian lestari menerusi Program Kampung Angkat MADANI @Plang, Gerik. Tumpuan kepada pembangunan ekonomi tempatan dan kapasiti usahawan pelancongan desa diyakini dapat menyokong aspirasi memperkasakan komuniti luar bandar agar lebih berdaya tahan, berdaya maju dan berdaya saing pada masa hadapan.

Sesi bergambar semasa Majlis Penutup Bengkel Pemantapan Keusahawanan Pelancongan Desa Siri 2 Kampung Angkat MADANI

Oleh Dr. Mohamad Fadhli Rashid, Dr. Mohd Alif Mohd Puzi dan Dr. Khairul Hisyam Kamarudin

Explore More

UTM Open Day