October 7, 2025

Profesor UTM dilantik Konsultan Antarabangsa perkukuh jaringan global melalui Kembara Tamadun Islam di Turki

ANKARA, 21 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh jaringan kerjasama global melalui penglibatan aktif Prof. Dr. Badlihisham Mohd Nasir dalam program Kembara Tamadun Islam di Turki, baru-baru ini.

Beliau dilantik sebagai Penceramah dan Konsultan Pengantarabangsaan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama (KUSeS) dalam lawatan berkenaan. Ini merupakan kali kedua beliau menerima kepercayaan tersebut selepas kejayaan program serupa yang dianjurkan bersama KUSeS di India pada tahun lalu.

Program ini dirangka khusus bagi memanfaatkan cuti persekolahan dengan pengisian bermakna, apabila para guru berpeluang menimba ilmu mengenai tamadun Islam Turki, di samping melawat lokasi bersejarah yang sarat dengan nilai akademik. Lawatan tersebut turut diadakan atas undangan Dr. Hakan Koni, pensyarah Sains Politik di Bilim Universitesi, Ankara, yang menyampaikan taklimat mengenai sejarah Islam di Turki. Beliau juga sudi menemani rombongan ke Muzium Kebangsaan Turki serta memberikan penerangan ringkas mengenai Bapa Turki, Mustafa Kamal.

Selain itu, Dr. Hakan dan Prof. Dr. Badlihisham mengambil kesempatan membincangkan isu-isu politik semasa dalam kerangka akademik, sekali gus membuka ruang kerjasama ilmiah antara UTM dan Bilim Universitesi. Kedua-duanya menyatakan komitmen untuk mengadakan perbincangan susulan secara maya selepas lawatan selesai.

Kuliah ringkas Dr. Hakan Koni mengenai tamadun Islam di Turki membuka ruang ilmu yang bermanfaat kepada peserta

Lawatan ke tempat bersejarah diteruskan ke Cappadocia, Bursa dan Pamukkale. Di lokasi ini, peserta berpeluang menelusuri sejarah penempatan awal Kristian di gua batu kapur, tinggalan bangsa Rom di Ephesus Ancient City serta Hierapolis. Kesemua pengalaman tersebut memperlihatkan kesinambungan peradaban yang membentuk kepelbagaian bangsa Turki moden hari ini.

Rombongan turut berkunjung ke Konya untuk mengenali lebih dekat warisan kesufian melalui lawatan ke Muzium Mevlana Rumi. Prof. Dr. Badlihisham memberikan penerangan mengenai kaitan antara kesufian, tamadun dan kesenian, di samping menjelaskan bagaimana tokoh agung Rumi menggabungkan secara harmoni sehingga diwarisi hingga ke hari ini.

Perjalanan ke Istanbul pula menjadi kemuncak program apabila peserta berpeluang menjejak pusat kegemilangan Islam di bawah empayar Turki Uthmaniyah. Selain menelusuri tinggalan kota Konstantinople, mereka turut melawat Masjid Biru, Muzium Topkapi dan Hagia Sophia yang menjadi saksi kepada kehebatan strategi Sultan Mehmet Al-Fateh menawan kota bersejarah itu pada tahun 1453.

Menariknya, dalam sela masa lawatan, Prof. Dr. Badlihisham turut berkongsi foto dan penerangan mengenai seni Islam seperti kaligrafi, seni bina dan hasil seramik menerusi kumpulan WhatsApp bersama pelajarnya yang sedang mengikuti kursus Falsafah Kesenian Islam di UTM. Pendekatan ini memberi peluang kepada pelajar mengikuti lawatan secara maya, sekali gus memperkayakan kefahaman mereka di luar bilik kuliah.

Program ini mendapat sambutan hangat apabila para peserta turut menyerahkan plak penghargaan kepada Dr. Hakan Koni sebagai tanda terima kasih atas kerjasama dan bimbingan sepanjang program.

Cikgu Mohd Faisal Mohd Isa, Guru Penolong Kanan Petang KUSeS, dan diiringi Prof. Dr. Badlihisham Mohd Nasir menyerahkan plak penghargaan kepada Dr. Hakan Koni sebagai tanda penghargaan dan terima kasih

Ringkasnya, lawatan ini bukan sekadar memperkukuh pengantarabangsaan KUSeS dan UTM, malah merintis hubungan akademik antara Malaysia dan Turki. Ia sekali gus membuktikan keyakinan institusi luar negara terhadap keupayaan UTM untuk terus menerajui kerjasama antarabangsa dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan tamadun.

Peserta lawatan mengabadikan momen berharga dengan bergambar di hadapan Universiti Bilim, Ankara
Momen bersejarah dirakam apabila rombongan bergambar di depan Hagia Sophia, mercu tanda agung tamadun dunia

Oleh Prof. Dr. Badlihisham Mohd Nasir, Exco Majlis Profesor UTM

Explore More