October 7, 2025

Jubli Emas Kejuruteraan Petroleum UTM pacu jalinan universiti dan industri

KUALA LUMPUR, 6 Sept. – Jabatan Kejuruteraan Petroleum, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraikan pencapaian 50 tahun Program Kejuruteraan Petroleum dengan menganjurkan Majlis Sambutan Jubli Emas Program Kejuruteraan Petroleum 2025 (JEPETROL50) di UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur.

Sambutan tersebut menghimpunkan pengurusan universiti, staf akademik, mantan staf, alumni, wakil industri, pelajar serta ibu bapa bagi mengenang perjalanan gemilang program sejak penubuhannya pada tahun 1975. Penganjuran ini bukan sahaja bertujuan menghargai sumbangan pelbagai pihak, malah memperkukuh silaturahim dalam kalangan warga akademia dan industri, meningkatkan motivasi pelajar serta menyemarakkan aspirasi kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Pada sebelah petang, fokus sambutan beralih kepada pengisian ilmiah melalui forum kerjaya bertajuk “Navigating Your Career after Graduation” yang berlangsung secara hibrid di Grand Petra 1. Forum ini menampilkan barisan panel daripada syarikat ternama termasuk Petronas, EnQuest, ConocoPhillips, Reservoir Link dan Les’ Copaque, khusus untuk memberi pencerahan kepada pelajar tahun akhir tentang realiti dunia pekerjaan dalam industri minyak dan gas. Seramai 80 pelajar hadir secara fizikal manakala yang lain menyertai dalam talian.

Sepanjang forum, para panel berkongsi tentang kepentingan kemahiran profesional, keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan industri, strategi membina kekuatan jati diri, persediaan menghadapi cabaran awal kerjaya serta nilai kepimpinan sebagai persediaan untuk menjadi pengurus masa depan. Kehadiran Datuk Haji Burhanuddin Md Radzi, Pengarah Urusan Les’ Copaque yang terkenal dengan siri animasi Upin & Ipin, turut memberi warna berbeza apabila beliau berkongsi pengalamannya menukar haluan daripada jurutera Petronas dan Ketua Pengarah Eksekutif Dayang Berhad kepada usahawan animasi, sambil menekankan pentingnya nilai-nilai murni sebagai asas kejayaan.

Datuk Hj. Burhanuddin Md Radzi berkongsi pengalaman dan nilai murni kepada pelajar

Kemuncak sambutan berlangsung pada sebelah malam melalui Majlis Makan Malam Jubli Emas di Grand Banquet Hall yang dihadiri lebih 300 tetamu. Majlis berprestij ini menyaksikan kehadiran tokoh-tokoh penting termasuk pengasas Program Kejuruteraan Petroleum, Haji Zohari Shaharoun dan Profesor Emeritus Syed Mohd Famy Syed Mansor, bersama pengurusan fakulti, staf akademik dan teknikal, alumni, wakil industri serta pelajar.

Antara tetamu jemputan khas yang hadir memeriahkan Majlis Jubli Emas JEPETROL50

Ucapan penuh inspirasi turut disampaikan oleh wakil-wakil industri dan alumni seperti Haji Rahimi Abdul Wahab (Petronas), Haji Kamaroll Zaman (wakil alumni), Haji Abdul Aziz Abdul Kadir (wakil industri) serta Profesor Emeritus Syed Mohd Famy Syed Mansor yang mewakili mantan pensyarah. Nasihat dan pengalaman yang dikongsi menjadi motivasi kepada generasi baharu untuk terus mengangkat nama UTM dalam industri petroleum global.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Alumni Terbilang kepada enam alumni berprestij termasuk Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, mantan Naib Canselor UTM. Anugerah ini mengiktiraf sumbangan besar mereka kepada organisasi, masyarakat serta pembangunan industri petroleum di peringkat nasional dan antarabangsa.

Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail menerima Anugerah Alumni Terbilang

Selain itu, buku cenderamata bertajuk “Bersama-sama Alumni Menggapai Kegemilangan” turut diterima oleh setiap yang hadir, yang mana buku tersebut menghimpunkan perjalanan, pencapaian serta sumbangan program sepanjang 50 tahun. Penerbitan ini menjadi bukti komitmen UTM untuk terus mengangkat warisan keilmuan yang telah dibina sejak 1975.

Menurut tinjauan umum, penganjuran JEPETROL50 disifatkan berjaya mencapai objektifnya sebagai jambatan penghubung antara universiti, industri dan alumni. Kejayaan ini diyakini menjadi batu loncatan baharu bagi Program Kejuruteraan Petroleum UTM untuk terus melonjak ke tahap lebih gemilang dalam mendepani cabaran industri petroleum yang dinamik di peringkat Malaysia mahupun global.

Explore More