October 6, 2025

Mahasiswa kejuruteraan UTM jadi finalis Pertandingan Hafazan al-Quran di Arab Saudi

MAKKAH, 21 Ogos – Sejarah manis kembali tercipta apabila mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohamad Daniel Haziq bin Haswadi, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, berjaya mara sebagai finalis dalam Pertandingan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa sempena 45th King Abdul Aziz International Quran Competition for Memorization and Recitation yang berlangsung di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah dari 7 hingga 21 Ogos 2025.

Daniel Haziq ketika berada di Makkah bagi menyertai pertandingan kategori Hafazan 30 Juzuk dalam Pertandingan Hafazan al-Quran Antarabangsa Ke-45 di Makkah

Anak muda yang mewakili Malaysia bagi kategori Hafazan 30 Juzuk al-Quran ini tampil cemerlang sepanjang peringkat saringan dengan hafazan yang lancar, tepat dan penuh penghayatan. Persembahan tersebut melayakkan beliau ke peringkat akhir, sekali gus mengangkat martabat Malaysia di pentas dunia.

Sebagai wakil tunggal Malaysia, Daniel Haziq menerima hadiah finalis berupa wang tunai 5,000 Riyal Arab Saudi, sebuah beg bagasi, sepasang jubah, serta mushaf al-Quran. Pertandingan edisi tahun ini menghimpunkan 189 huffaz terbaik dunia, dengan kejuaraan dimenangi peserta dari Yaman, diikuti Chad, Senegal, Amerika Syarikat, dan Palestin.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang membawa nama Malaysia ke Makkah. Walaupun tidak meraih kemenangan, pengalaman menjadi finalis di pentas antarabangsa ini adalah nikmat besar yang menambah semangat saya untuk terus memperjuangkan kalamullah,” ujar beliau.

Pelantikan rasmi beliau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuktikan kepercayaan negara terhadap kredibiliti serta potensi luar biasa yang dimiliki oleh mahasiswa ini dalam bidang hafazan.

Mohamad Daniel Haziq bin Haswadi ketika sedang dinilai hafazannya

Pencapaian ini melengkapkan rekod konsisten Daniel Haziq di peringkat antarabangsa selepas meraih tempat ketiga dunia dalam pertandingan hafazan di Türkiye (Oktober 2024) dan tempat keenam dunia di Mesir (Disember 2024).

Daniel Haziq mengharumkan nama Malaysia apabila meraih tempat ketiga dunia dalam The 9th International Quran Memorization and Recitation Competition di Sanliurfa, Türkiye
Daniel Haziq di podium anugerah selepas menduduki tempat keenam dunia dalam Pertandingan Hafazan al-Quran Antarabangsa Kali Ke-31 anjuran Republik Arab Mesir

Penyelaras program Tekno Hafiz, Ustaz Panji Alam Mazhisham, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian membanggakan ini yang disifatkan sebagai lambang mahasiswa holistik yang menjadi teras UTM dalam membina generasi ilmuwan berakhlak dan berdaya saing global.

“Daniel Haziq membuktikan bahawa kecemerlangan bukan hanya pada gred akademik semata-mata, tetapi juga pada nilai diri, keperibadian dan sumbangan kepada masyarakat. Kejayaan beliau adalah kejayaan seluruh warga UTM dan negara,” ujar beliau.

Bersama Penyelaras Program Tekno Hafiz UTM, Ustaz Panji Alam Mazhisham – antara tenaga penggerak utama dalam membimbing pelajar cemerlang seperti Daniel Haziq

Menurut beliau lagi, kejayaan ini selari dengan komitmen universiti untuk membangunkan bakat pelajar secara menyeluruh, menyemai nilai adab dan integriti dalam kalangan mahasiswa, serta memperkukuh penghayatan ilmu berteraskan nilai sejagat, bertepatan dengan kerangka Malaysia MADANI.

Seluruh warga UTM dan rakyat Malaysia menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Daniel Haziq atas kejayaan ini, yang bukan sahaja mengharumkan nama universiti, bahkan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mendalami al-Quran di samping mencapai kejayaan akademik yang gemilang.

Semoga pencapaian ini menjadi pembuka jalan kepada lebih ramai mahasiswa Malaysia untuk memartabatkan al-Quran di persada dunia, dan terus menyumbang ke arah pembangunan ummah dengan ilmu, nilai dan integriti.

Explore More