KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Prof. Madya EUR. ING. Ts. Ir. Dr. Syuhaida Ismail dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menerima pengiktirafan berprestij apabila dinobatkan sebagai penerima BEM Special Mention International Engineering Award 2025.
Anugerah berkenaan disampaikan Oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof pada Malam Anugerah dan Penghargaan BEM 2025 di The Vertical, Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South City.
Majlis anjuran Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) itu meraikan tokoh yang memperlihatkan kecemerlangan dalam profesion kejuruteraan selaras dengan standard etika, kecekapan dan integriti tertinggi.
Pemilihan Dr. Syuhaida berasaskan rekod pencapaian cemerlang beliau di peringkat antarabangsa, khususnya selepas dinobatkan sebagai WFEO–GREE Women in Engineering Laureate 2024 di UNESCO, Paris. Pencapaian tersebut menjadi pemacu utama di samping sumbangan beliau dalam penyelidikan berimpak tinggi, penerbitan ilmiah, kepimpinan projek strategik, serta penglibatan aktif dalam advokasi jurutera wanita di peringkat ASEAN dan global.
Beliau kini memegang jawatan Pengerusi Women Engineers, ASEAN Federation of Engineering Organisations (AFEO) 2024–2025, selain dilantik sebagai mentor wakil Malaysia oleh International Maritime Organization (IMO), London bagi program Women on Board.
Beliau juga sering berkongsi pandangan di Mesyuarat IMO dan Kumpulan Kerja Pengangkutan Maritim ASEAN dalam menyuarakan pendirian Malaysia dalam isu maritim dan pengangkutan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan imej negara sebagai kuasa maritim berwibawa.
Dr. Syuhaida turut memiliki kelayakan profesional antarabangsa termasuk European Engineer (EUR ING), ASEAN Chartered Professional Engineer (ACPE), UK Chartered Engineer (CEng) serta Jurutera Profesional berdaftar dengan BEM. Antara pengiktirafan lain yang pernah diterima ialah IEM Woman Engineer Award 2024, MBOT Woman Leadership Award 2024, dan APEC–Australia Women in Research Fellowship 2022.
Beliau kini dipinjamkan sebagai Pengarah Penyelidikan di Institut Maritim Malaysia (MIMA), sebuah badan pemikir polisi maritim di bawah Kementerian Pengangkutan, sebelum bakal kembali menyambung khidmat di MJIIT, UTM pada 1 Disember ini.
Pengiktirafan ini bukan sahaja mengharumkan nama Dr. Syuhaida, tetapi turut memperkukuh kedudukan UTM dan MJIIT sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan kejuruteraan bertaraf dunia.