JOHOR BAHRU, 15 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini menganjurkan program kitar semula sisa elektronik iaitu ‘E-Waste Program’ bagi menggalakkan warga kampus melupuskan sisa elektronik terpakai secara bertanggungjawab. Program anjuran Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling (PPPK) UTM ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula sisa elektronik serta mempromosikan amalan mesra alam.

Pengarah Program, Dr. Nik Rafidah Nik Yusoff menyatakan bahawa inisiatif ini merupakan langkah proaktif dalam menangani masalah pencemaran akibat pembuangan sisa elektronik yang tidak terkawal. Kaunter serahan barangan elektrik dan elektronik terpakai telah dibuka di bahagian belakang pejabat PPPK UTM.
“Kami ingin menggalakkan semua pihak mengambil bahagian dalam usaha pemeliharaan alam sekitar dengan cara yang mudah dan selamat. Program ini juga memberi peluang kepada penyumbang untuk mendapatkan ganjaran secara digital.
“Hanya barangan elektrik serta elektronik sahaja diterima buat masa ini. Penyumbang dikehendaki membawa barangan mereka ke kaunter tersebut untuk dikumpulkan dan seterusnya dihantar untuk proses kitar semula di tempat yang telah ditetapkan,” katanya.
Dr. Nik Rafidah berkata, sejumlah 1542-kilogram barangan elektrik dan elektronik telah berjaya dikumpulkan sepanjang program ini berlangsung. Barangan yang disumbangkan termasuk peralatan rumah seperti televisyen, komputer dan pelbagai lagi peranti elektronik yang sudah tidak digunakan lagi.

“Lebih menarik, pembayaran kepada penyumbang dilakukan secara terus melalui transaksi dalam talian menggunakan kod QR tanpa melibatkan sebarang wang tunai. Pendekatan ini dilihat mampu meningkatkan lagi kecekapan dan keselamatan dalam urusan pembayaran serta menggalakkan penggunaan teknologi digital,” katanya.
Menurut Dr. Nik Rafidah lagi, program ini akan diteruskan secara berkala dan berharap ia akan mendapat sambutan yang lebih luas di masa hadapan.
“Kami menggalakkan warga kampus dan komuniti setempat untuk mengambil bahagian dalam usaha ini demi menjaga alam sekitar dan mengurangkan sisa elektronik yang berlebihan,” tambahnya.

Selain mengumpul sisa elektronik, program ini juga bertujuan mendidik orang ramai tentang pentingnya pengurusan sisa elektrik secara berkesan dan bertanggungjawab.
“Sebagai pihak yang bertanggungjawap menganjurkan program ini, kami berharap agar inisiatif ini menjadi pemangkin kepada usaha-usaha kitar semula yang lebih meluas di dalam dan luar kampus. Dengan kerjasama semua pihak, kami yakin dapat menjadi contoh dan tauladan yang baik dalam memelihara alam sekitar dan memupuk budaya kitar semula yang berterusan,” katanya.
Penganjuran program kutipan sisa elektronik adalah berkait dengan terutamanya tertakluk di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab. Matlamat ini menggalakkan pengurusan mampan sisa elektronik (e-waste) dan menggalakkan kitar semula dan amalan pelupusan yang betul untuk meminimumkan kesan alam sekitar. Selain itu, ia juga boleh dikaitkan dengan SDG 13: Tindakan Iklim, kerana pengurusan sisa elektronik yang betul membantu mengurangkan pelepasan berbahaya dan kemerosotan alam sekitar.
