July 16, 2025

Kerjasama UTM CRC dan UMSB kukuhkan inovasi dan kelestarian dalam dunia pembinaan

BUKITTINGGI, 25 Jun – Pusat Penyelidikan Pembinaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM CRC) meneruskan inisiatif jaringan antarabangsa melalui lawatan akademik ke Universitas Muhammadiyah Sumatera Barat (UMSB) pada 25 Jun 2025. Lawatan ini diketuai oleh Pengarah UTM CRC, Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Rahman Mohd. Sam, melibatkan seramai 13 orang delegasi yang terdiri daripada staf penyelidik dan pelajar pascasiswazah.

Antara pengisian utama lawatan ini ialah Syarahan Umum yang telah diadakan di Convention Hall Yunahar Ilyas, Kampus III UMSB Bukittinggi, bertemakan “Innovation and Sustainability in Academic and Construction World”. Syarahan tersebut disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Rahman di hadapan hampir 50 orang pelajar dan staf Fakulti Teknik. Program ini dianjurkan oleh Fakulti Teknik Universitas Muhammadiyah Sumatera Barat (FT UMSB) dengan objektif untuk memperkaya pemahaman pelajar terhadap inovasi serta kelestarian dalam dunia akademik dan pembinaan.

Dekan Fakulti Teknik, Helga Yermadona, S.Pd., M.T., dalam ucapan alu-aluan menyatakan bahawa penganjuran syarahan umum yang menampilkan penceramah antarabangsa ini bertujuan memberi pendedahan global kepada para pelajar dan memacu pembangunan inovasi dalam bidang kejuruteraan. Beliau turut menyuarakan harapan agar program ini menjadi titik tolak kepada jalinan kerjasama yang lebih luas antara UMSB dan UTM.

Ucapan alu-aluan oleh Dekan Fakulti Teknik, Helga Yermadona, S.Pd., M.T.

Dalam syarahannya, Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Rahman menggariskan bagaimana inovasi yang lahir daripada ilmu dan penyelidikan mampu menyelesaikan isu-isu dalam masyarakat. Beliau menekankan bahawa pelajar dan penyelidik harus berani menggunakan platform digital dan media sosial sebagai alat untuk terus berinovasi, selaras dengan perkembangan dunia tanpa sempadan. Syarahan menyentuh secara mendalam tentang bagaimana prinsip kelestarian diaplikasikan dalam industri pembinaan melalui teknologi moden seperti bahan binaan mesra alam, penggunaan sisa industri untuk produk pembinaan, serta penerapan konsep smart infrastructure. Antara contoh inovasi yang diketengahkan ialah penggunaan bahan berasaskan abu terbang dalam pembuatan konkrit mampan.

Sesi Syarahan Umum yang berlangsung di Convention Hall Yunahar Ilyas
Sesi syarahan yang disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Rahman

Selain daripada program syarahan, delegasi UTM CRC turut menghadiri sesi libat urus bersama pengurusan Fakulti Teknik Sipil UMSB yang turut diketuai oleh Dekan, Helga Yermadona. Perbincangan tertumpu kepada peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan bahan binaan mampan, mobiliti pelajar, serta pembangunan profesional staf akademik.

Lawatan ini merupakan satu lagi langkah strategik UTM CRC dalam memperkukuh jaringan akademik serantau serta memposisikan Universiti Teknologi Malaysia sebagai institusi rujukan dalam bidang penyelidikan dan inovasi berkaitan teknologi pembinaan dan kejuruteraan awam di peringkat antarabangsa. UTM CRC merupakan pusat penyelidikan pembinaan di bawah Universiti Teknologi Malaysia yang memfokuskan kepada inovasi bahan berasaskan simen, teknologi pembinaan mampan serta pembangunan sistem struktur dan infrastruktur pintar. Pusat ini juga aktif dalam penerokaan bahan alternatif rendah karbon dan penyelidikan berkaitan prestasi jangka panjang struktur binaan. Lawatan ini sekali gus menzahirkan komitmen UTM CRC dalam memperkukuh kerjasama serantau dan menerajui penyelidikan pembinaan berimpak tinggi di peringkat Asia Tenggara.

Sesi serahan cenderahati antara UTM CRC dan UMSB
Delegasi UTM CRC dan pengurusan UMSB bergambar kenangan selepas sesi libat urus

Explore More