JOHOR BAHRU, 14 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Kursus Pengurusan Masjid dan Pembangunan Komuniti telah menganjurkan Program Care and Cheers Mission (CCM) di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 14 Jun lalu, dengan objektif menyemai nilai-nilai murni seperti empati, kasih sayang dan keprihatinan dalam kalangan mahasiswa universiti.
Program anjuran Kursus Pengurusan Masjid dan Pembangunan Komuniti ini merupakan sebahagian daripada penilaian Kursus Kokurikulum Kluster Kesukarelawanan di bawah Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) UTM, dan diselia oleh Dr. Lukman Hakim Ismail, serta dibimbing oleh pensyarah kursus, Encik Muhammad Ridwanto Syaful Anwar.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran dan perasmian oleh Tuan Haji Zakaria Mohamad, Pengerusi Gerak Ehsan Maghfirah Amal Johor Bahru (GEMA). Turut hadir sama barisan tetamu kehormat, termasuk Wakil Jabatan Pediatrik Hospital Sultanah Aminah, Wakil Persatuan Alumni UTM Negeri Johor, serta NGO tempatan seperti Persatuan Kebajikan Ikhtiar Kebangsaan.

Menurut pengarah program, Mohamad Aiman Mustaqim Rosman, program ini bukan sekadar simbolik kunjungan mesra, tetapi membawa harapan besar dalam memberi dorongan moral kepada pesakit.
“Proses penyembuhan bukan hanya melalui rawatan fizikal semata-mata. Sokongan emosi dan sentuhan kemanusiaan yang ikhlas juga memainkan peranan penting dalam membantu pesakit untuk pulih dengan lebih baik,” katanya dalam ucapan alu-aluan.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah penyampaian sumbangan kepada pesakit, pengedaran brosur Adab Ziarah Pesakit kepada pengunjung hospital, serta sesi beramah mesra yang disambut dengan senyuman mesra daripada pesakit dan petugas kesihatan.



Program ini juga menyediakan taklimat keselamatan dan etika ziarah oleh pihak hospital bagi memastikan aktiviti dijalankan dengan mematuhi garis panduan kesihatan. Majlis turut disempurnakan dengan sesi penyampaian cenderahati dan bergambar kenangan bersama wakil pelbagai agensi yang terlibat. Mustaqim turut merakamkan penghargaan kepada pihak universiti, pihak hospital, alumni, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta barisan jawatankuasa pelaksana atas dedikasi dalam menjayakan program ini.
“Semoga usaha ini menjadi satu langkah kecil yang memberi impak besar kepada insan-insan yang memerlukan, dan dikira sebagai amal soleh oleh Allah SWT,” tambahnya lagi.
Care and Cheer Mission membuktikan bahawa inisiatif mahasiswa bukan sahaja tertumpu kepada akademik, tetapi juga menyumbang secara aktif dalam membentuk masyarakat penyayang dan prihatin melalui tindakan yang bermakna. UTM komited untuk terus melaksanakan program berimpak tinggi seperti ini dalam usaha melahirkan graduan yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah dan keprihatinan terhadap masyarakat.