JOHOR BAHRU, 19 Jun – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim mengadakan kunjungan kerja ke dua fakulti kejuruteraan di kampus Johor Bahru, iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrikal (FKE) dan Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) baru-baru ini dalam usaha memperkukuh halatuju strategik dan menyantuni aspirasi masa hadapan fakulti.
Kunjungan ke FKE yang berlangsung di Blok P19a, disambut oleh Dekan FKE, YBrs. Prof. Dr. Jafri Din. Sesi pembentangan meliputi struktur organisasi fakulti, pencapaian utama sepanjang tahun 2024, pelan strategik 2025 serta kedudukan semasa kewangan dan bajet.
Naib Canselor turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen seluruh warga fakulti dalam memacu kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pembangunan bakat kejuruteraan negara.
Turut hadir dalam sesi ini ialah Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), YBrs. Prof. Ts. Dr. Ali Selamat Pengerusi Sekolah Pengajian Ijazah Sarjana Muda (UGS), YBrs. Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, serta Menjalankan Tugas Penolong Naib Canselor (Strategi & Kesohoran Global), YBrs. Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain.
Sementara itu, dalam kunjungan ke FKA, Naib Canselor menerima taklimat oleh Dekan, YBrs. Prof. Madya Dr. Suhaimi bin Abu Bakar @ Mohd Ramli yang membentangkan pencapaian fakulti, perancangan strategik tahun 2025, serta kedudukan semasa kewangan. Lawatan ini turut menjadi medan apresiasi terhadap kepimpinan beliau yang akan diserahkan kepada pengganti baharu.
Naib Canselor turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin atas pelantikan sebagai Dekan FKA yang baharu berkuat kuasa 21 Jun 2025. Beliau menyatakan keyakinan bahawa pelantikan ini akan terus memperkukuh kepimpinan FKA dalam meneraju agenda kejuruteraan awam yang progresif dan lestari.

“UTM komited mendukung aspirasi setiap fakulti dalam memperkasa budaya akademik dan penyelidikan yang memberi manfaat kepada manusia dan kemanusiaan. Saya amat menghargai sambutan mesra dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh warga FKE dan FKA,” ujar Naib Canselor dalam penutup lawatan.
Lawatan ini mencerminkan tekad berterusan UTM dalam menyantuni ekosistem dalaman universiti.