JOHOR BAHRU, 11 Mei – Bagi menyahut seruan kerajaan Malaysia dalam membantu pertumbuhan teknologi dan inovasi di peringkat nasional, Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej 9&10 UTM Johor Bahru telah menganjurkan RoboXperience Carnival 2.0 yang bertemakan Autonomous Intelligence: The Future of Robotics yang bertempat di Dewan Astana, Kolej Tuanku Canselor dan UTMXCite Makerspace. Program ini merupakan kesinambungan daripada Siri 1 yang telah dianjurkan pada 31 Mei 2024 – 1 Jun 2024 yang lalu.
Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mengembangkan kemahiran praktikal dalam bidang robotik, termasuk penyelesaian masalah, pengaturcaraan dan pemahaman konsep asas robotik dalam kalangan pelajar sekolah. Selain itu, melalui penganjuran program ini, ianya merupakan platform bagi peserta untuk merancang dan melaksanakan projek robotik yang inovatif, memperkukuh kemampuan berfikiran kreatif mereka dalam mempersiapkan mereka bagi menghadapi tuntutan industri yang dinamik dan juga yang kian mencabar.


Seramai 268 orang peserta telah mendaftarkan diri bagi menyertai 2 kategori yang utama iaitu Robot Workshop dan Robot Competition. Bagi kategori Robot Competition, terdapat 3 sub-kategori yang terdiri daripada Time-Race, Mission-Race dan Sumo Competition. Setiap pasukan pelajar yang mendaftarkan diri telah dibimbingi oleh seorang guru pembimbing. Ibu bapa para peserta juga turut hadir untuk memberikan sokongan kepada anak-anak mereka.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Kiran Raj Sathivel yang merupakan Pegawai Khas kepada ADUN Bukit Batu. Sewaktu ucapannya, beliau menyatakan melalui penganjuran program seperti ini, ianya dapat membentuk generasi yang lebih bersedia dalam bidang teknologi, kejuruteraan, dan inovasi dan ianya selaras dengan usaha kerajaan dalam memperkukuhkan penguasaan bidang STEM (Science, Technology, Engineering & Mathematics) khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.

Sewaktu majlis penutupan berlangsung, pemenang bagi setiap pertandingan yang telah diadakan telah diumumkan. Bagi kategori Robot Workshop, pemenang tempat pertama dianugerahkan kepada Pasukan T’Deja Techstrike dari SMK Taman Desa Jaya, tempat kedua dirangkul oleh Pasukan Tun Gamma dari SMK Taman Universiti dan tempat ketiga diberikan kepada Pasukan Tech Rush dari SMK Sultanah Engku Tun Aminah. Bagi kategori Sumo-Competition, pemenang tempat pertama jatuh dimenangi oleh Pasukan IVX Ruby dari SMK Bandar Baru Uda, tempat kedua pula kepada Pasukan Muzaffar Syah Delta dari SK Muzaffar Syah dan tempat ketiga diberikan oleh Pasukan Teruntum Warriors A dari SK Teruntum.

Melalui penganjuran program ini, pihak penganjur berharap ianya dapat memberikan manfaat kepada semua pihak khususnya kepada para peserta dan guru pembimbing dan berharap agar dengan menyertai program ini, ianya dapat memberikan pengalaman yang berharga kepada para peserta.