May 25, 2025

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Hampir 100 orang peserta terdiri daripada Pengurusan Tertinggi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKP) UTM Kuala Lumpur serta Mahasiswa UTMKL telah menjayakan Program Semarak Subuh dan Walk & Talk Bersama Naib Canselor yang berlangsung di Kolej Siswa Jaya, UTM Kuala Lumpur.

Program ini merupakan anjuran Pejabat Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UTM Kuala Lumpur sinergi bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang diketuai oleh Naib Yang Di-Pertua,  Saudara Ahmad Adam Ismail bin Abd Hafi. Program dimulakan dengan solat Subuh berjemaah di Surau Kolej Siswa Jaya, diikuti tazkirah dan sesi Semarak Subuh yang disampaikan oleh Naib Canselor UTM, Yang Berusaha Profesor Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.

Dalam perkongsiannya, beliau menekankan kepentingan pengurusan masa, adab dalam setiap urusan harian, serta penghayatan terhadap rukun iman sebagai asas pembentukan sahsiah diri. Beliau turut mengingatkan mahasiswa tentang peranan mereka sebagai warga universiti yang bertanggungjawab dalam membina jati diri unggul dan berdaya saing.

Program diteruskan dengan sesi senamrobik yang dikendalikan oleh mahasiswa, disusuli aktiviti Walk & Talk bersama Naib Canselor di sekitar kawasan kolej. Sepanjang sesi tersebut, beberapa isu berkaitan kebajikan dan fasiliti pelajar telah dibincangkan secara santai bagi memastikan persekitaran kolej lebih kondusif dan selamat.

Satu acara khas juga telah diadakan iaitu sesi penyampaian sumbangan berjumlah kepada mahasiswa yang merupakan mangsa kejadian kebakaran di Putra Heights. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Naib Canselor UTM melalui inisiatif Pusat Islam UTM Kuala Lumpur sebagai simbol solidariti dan keprihatinan warga universiti terhadap mahasiswa yang terkesan.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Yang Berusaha Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Menjalankan Fungsi Ketua Kampus UTM (Cawangan Kuala Lumpur, Yang Berusaha Profesor Dr. Shamsul Sahibuddin, Pendaftar UTM, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah serta Pengurusan Tertinggi UTM dan UTMKL.

Program ini dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pembentukan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah tinggi nilai insaniah serta mempunyai pegangan spiritual yang kukuh dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Explore More