May 22, 2025

Naib Canselor semarakkan kelestarian kampus dan gaya hidup sihat

JOHOR BAHRU, 18 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus melangkah ke hadapan dalam usaha memupuk budaya hidup sihat dan lestari menerusi penganjuran Program Walk & Talk Bersama Naib Canselor, yang berlangsung di sekitar kawasan Masjid Sultan Ismail (MSI) dan Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), UTM Johor Bahru.

Program yang menghimpunkan pelajar, pentadbir universiti dan ahli komuniti kampus ini dimulakan dengan solat Subuh berjemaah di Masjid Sultan Ismail – melambangkan permulaan hari yang penuh keberkatan dan pengukuhan nilai spiritual dalam kehidupan warga kampus.

Sesi fotografi selepas Program Semarak Subuh bersama Naib Canselor

Majlis diteruskan dengan penyampaian amanat oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim, yang menekankan pentingnya budaya kelestarian, keseimbangan rohani dan jasmani, serta pembudayaan rasa kebersamaan dalam komuniti universiti.

“Saya berharap budaya gaya hidup sihat dan harmoni seperti ini dapat diteruskan sebagai sebahagian daripada ekosistem kampus lestari UTM,” ujar beliau dalam ucapannya.

Selepas sesi amanat, para peserta menyertai aktiviti senamrobik yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) KTHO. Aktiviti ini bukan sahaja mencergaskan badan, malah berjaya membangkitkan semangat komuniti dan kerjasama antara pelajar dan staf.

Aktiviti senamrobik NC bersama pelajar-pelajar dan staf UTM

Acara diteruskan dengan Sukan Rakyat Mahasiswa, yang menyaksikan pelbagai aktiviti santai dijalankan dalam suasana penuh kemeriahan dan mesra. Ia turut menjadi platform interaksi positif dalam kalangan warga kampus yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang dan peranan.

NC bersama ahli-ahli Pengakap UTM. NC merupakan ahli aktif Pengakap Malaysia

Kemuncak program adalah sesi jogging sejauh 5 kilometer yang disertai sendiri oleh Naib Canselor bersama pelajar dan staf. Laluan jogging merangkumi beberapa lokasi utama kampus termasuk KTHO, Kolej Tun Razak, Kolej Datin Seri Endon, Pusat Kesihatan Universiti, Arked Cengal dan kembali ke KTHO.

Program ini menjadi simbol kepada komitmen berterusan universiti dalam menjayakan agenda Kelestarian Kampus selaras dengan nilai teras UTM – Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian (ISES).

Momen fotografi NC bagi acara larian bersama pelajar dan staf UTM

Pejabat Naib Canselor UTM menyambut baik penglibatan aktif semua peserta dan menyeru agar inisiatif serupa terus diperkasa dalam usaha menjadikan UTM kampus yang sihat, harmoni dan berdaya tahan untuk masa depan yang mampan.

Explore More