Search
Close this search box.

Oleh HANIZA HASSAN

Sumber: Utusan Malaysia

 

JOHOR BAHRU 15 Nov. – Pelbagai program yang dianjurkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kemboja baru-baru ini menjadi wadah penyatuan dua negara terutamanya mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan penyebaran maklumat.

Timbalan Menteri Kebajikan Masyarakat, Veteran dan Pemulihan Belia Kemboja, Ismail Osman berkata, kerjasama yang sedia terjalin antara UTM dan negara ini sejak 2009 diharap berterusan pada masa akan datang.

Beliau berkata, dengan kedatangan rombongan UTM ke Kemboja khususnya di Kampung Chnnang memberi banyak manfaat terutamanya kepada penduduk setempat khusus dari segi penjagaan kesihatan dan kemudahan tandas.

“Pada 2009, UTM telah menyalurkan bantuan berupa pembinaan tandas curah dan pam air bagi kegunaan penduduk setempat selain program korban serta berkhatan.

“Malah, tahun ini juga, UTM masih memilih Kampung Chnnang sebagai lokasi aktiviti dan turut menyediakan program kajian air untuk mengenal pasti lokasi mengandungi arsenik yang tinggi. Kami berbesar hati dengan kunjungan UTM dan jasa yang ditaburkan kepada kami,” katanya.

Beliau berkat demikian pada majlis perasmian Program Korban, Aqiqah dan Khidmat Masyarakat Bersamamu Kemboja 2011 di Kampung Chnnang, baru-baru ini.

Program enam hari anjuran mahasiswa Kolej Rahman Putra itu disertai 22 kakitangan UTM dan orang perseorangan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kesihatan UTM, Dr. Ismail Ahmad berkata, program tersebut bertujuan membantu umat Islam di negara ini memenuhi tuntutan agama dan membantu fakir miskin di Kemboja.

“Di samping itu, UTM menerusi Institut Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Air (IPASA) turut mengadakan program merawat air tercemar untuk membekalkan air bersih kepada penduduk kampung berkenaan,” katanya.

Ini kerana katanya, hasil kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati beberapa tempat di Kemboja dicemari dengan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan kerosakan pada sistem saraf.

“Kawasan Kampung Chnnang mempunyai kandungan arsenik kira-kira lima hingga 15 peratus berbanding di Kandal iaitu 55 peratus,” katanya.

Explore More