UTM jadi tuan rumah Forum Iklim Kebangsaan 2026, perkukuh kesiapsiagaan bencana

SDGSDG4SDG11SDG13

📝 Ringkasan

UTM menjadi tuan rumah Forum Iklim Kebangsaan 2026 yang bertemakan “Kesiapsiagaan Hari Ini, Ketahanan Masa Hadapan” untuk memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana dan cabaran perubahan iklim. Forum itu menekankan pentingnya kerjasama antara universiti, agensi kerajaan, industri dan masyarakat untuk menterjemahkan kepakaran akademik dan penyelidikan saintifik kepada langkah praktikal dalam pengurusan risiko bencana.

JOHOR BAHRU, 13 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi tuan rumah Forum Iklim Kebangsaan (FIK) 2026 anjuran Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dengan kerjasama Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA), UTM bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana dan cabaran perubahan iklim menerusi kerjasama antara universiti, agensi kerajaan, industri dan masyarakat.

Forum bertemakan “Kesiapsiagaan Hari Ini, Ketahanan Masa Hadapan” itu berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru, dengan penekanan terhadap usaha menterjemahkan kepakaran akademik dan penyelidikan saintifik kepada langkah praktikal dalam pengurusan risiko bencana serta agenda kelestarian negara.

Penolong Naib Canselor (Pejabat Strategi dan Kesohoran Global) UTM, Prof. Dr. Abdul Rashid Husain, berkata isu perubahan iklim dan kesiapsiagaan bencana memerlukan pendekatan multidisiplin yang menggabungkan kepakaran pelbagai pihak.

“Peranan universiti bukan sekadar menghasilkan penyelidikan dan penerbitan, tetapi juga memastikan ilmu dan inovasi yang dibangunkan dapat menyumbang kepada penyelesaian terhadap cabaran sebenar negara,” katanya.

Beliau berkata, maklumat saintifik yang tepat perlu disokong oleh tahap kesiapsiagaan yang tinggi serta keupayaan menterjemahkan pengetahuan akademik kepada tindakan praktikal di lapangan.

Prof. Dr. Abdul Rashid Husain menyampaikan ucapan pada Forum Iklim Kebangsaan 2026

Sementara itu, Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, berkata pemilihan UTM dan Johor sebagai lokasi penganjuran forum berkenaan bertepatan dengan usaha memperluas liputan maklumat serta meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan risiko bencana di zon selatan Semenanjung Malaysia.

Beliau turut menyentuh perkembangan fenomena El Niño yang menurutnya dijangka berterusan sehingga awal tahun hadapan, dengan kemungkinan memberi kesan terhadap taburan hujan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 serta meningkatkan risiko cuaca panas melampau antara Februari hingga Mei tahun depan.

Dr. Mohd Hisham berkata, forum itu turut diadakan bersempena dengan sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) yang bertemakan “MADANI Siaga, Tanggungjawab Bersama” bagi memastikan agensi tindak balas dan orang awam sentiasa peka terhadap risiko bencana serta langkah persediaan yang diperlukan.

Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berucap pada forum berkenaan

Mewakili Kerajaan Negeri Johor untuk merasmikan forum itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Ling Tian Soon, berkata kesan perubahan iklim tidak boleh dipandang ringan, terutama apabila banjir mengakibatkan kerugian ekonomi dan kerosakan sektor pertanian di negeri itu sehingga mencecah jutaan ringgit.

“Perubahan iklim adalah isu global yang tidak boleh diabaikan. Kita mungkin tidak mampu menghentikan bencana sepenuhnya, namun kita boleh mengurangkan impak negatifnya jika semua pihak berganding bahu dan mengamalkan norma baharu dalam pengurusan risiko bencana,” katanya.

Beliau turut menyeru semua agensi dan komuniti supaya tidak meletakkan tanggungjawab pengurusan bencana kepada satu agensi sahaja, sebaliknya memperkukuh kerjasama rentas sektor bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan mengurangkan kesan bencana terhadap masyarakat.

YB Tuan Ling Tian Soon menyampaikan ucapan perasmian

Forum itu turut menampilkan dua pembentangan ucaptama oleh pakar dalam bidang iklim dan pengurusan bencana negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MET Malaysia, Ambun Dindang, menerusi ucaptama bertajuk “Tinjauan Monsun Timur Laut 2026/2027 dan Cabaran Iklim Negara dalam Persekitaran El Niño”, membentangkan unjuran saintifik berkaitan MTL 2026/2027 yang dijangka menyaksikan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan.

Pembentangan itu turut menyentuh kemungkinan pengurangan purata taburan hujan sebanyak 30 peratus di Semenanjung Malaysia dan 40 peratus di Sabah susulan fenomena El Niño, selain peningkatan risiko gelombang haba dan jerebu setempat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Saiful Yazan Alwi, menerusi ucaptama bertajuk “Memperkukuh Kesiapsiagaan dan Ketahanan Negara: Pendekatan Bersepadu Pengurusan Risiko Bencana”, menekankan kepentingan mengutamakan penyelamatan nyawa, memperkasakan pengetahuan tempatan, memperkemas sistem amaran awal pelbagai bahaya serta memantapkan koordinasi dan komunikasi antara agensi bagi melindungi nyawa dan harta benda rakyat.

Tetamu dan peserta mengunjungi reruai pameran sempena Forum Iklim Kebangsaan 2026

Kemuncak forum menyaksikan YB Tuan Ling Tian Soon menyempurnakan pelancaran aplikasi myCuaca 3.0, iaitu versi naik taraf aplikasi cuaca rasmi Malaysia yang dibangunkan oleh MET Malaysia. Aplikasi generasi ketiga itu ditambah baik bagi menyampaikan maklumat cuaca semasa, ramalan dan amaran bencana kepada orang awam.

Antara ciri yang disediakan termasuk paparan keadaan cuaca semasa, ramalan setiap jam dan harian, amaran cuaca buruk, maklumat gempa bumi dan tsunami serta peta cuaca interaktif dengan fungsi geolokasi dan pemberitahuan langsung. Aplikasi itu turut menyediakan maklumat ramalan dan amaran serta panduan keselamatan bagi membantu pengguna membuat persediaan ketika berdepan keadaan cuaca yang berisiko.

Pelancaran aplikasi myCuaca 3.0 MET Malaysia

Penganjuran FIK 2026 di UTM melalui kerjasama MET Malaysia dan IPASA memperlihatkan kepentingan kerjasama antara kepakaran saintifik, dasar kerajaan dan institusi pendidikan tinggi dalam memperkukuh ketahanan negara menghadapi perubahan iklim. Melalui kesiapsiagaan yang berterusan, penyelarasan antara agensi dan penyampaian maklumat amaran awal yang berkesan, usaha mengurangkan risiko bencana dapat dipertingkat demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Explore More

UTM Open Day