📝 Ringkasan
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar menekankan mahasiswa baharu UTM untuk seimbangkan ilmu dan ADAB. Beliau mengingatkan bahawa kejayaan melangkah ke universiti bukan hanya hasil usaha sendiri, malah turut didukung doa dan pengorbanan ibu bapa serta keluarga. Beliau juga menekankan kepentingan mengamalkan nilai ADAB dalam kehidupan seharian, termasuk menghormati orang lain, menjaga kebersihan dan kemudahan universiti, berdisiplin, menepati masa serta menggunakan AI secara beretika dan berintegriti.
JOHOR BAHRU, 5 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bukan sekadar tempat memperoleh segulung ijazah, sebaliknya menjadi medan pembentukan diri yang menggabungkan kecemerlangan ilmu, kekuatan karakter, nilai ADAB dan keberanian meneroka potensi diri.
Perkara itu ditekankan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, dalam sesi libat urus bersama 4,506 pelajar baharu program Sarjana Muda sepenuh masa sempena Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) Sesi 2026/2027 yang bertemakan “ADAB Terpuji, Bakat Berkualiti”.
Beliau mengingatkan pelajar bahawa kejayaan melangkah ke universiti bukan hanya hasil usaha sendiri, malah turut didukung doa dan pengorbanan ibu bapa serta keluarga, selain jasa guru yang mendidik dan mempercayai potensi mereka.

Dalam sesi tersebut, pelajar turut diajak memahami identiti dan falsafah UTM, “Kerana Tuhan Untuk Manusia”, termasuk menghayati doa daripada Surah Taha, ayat 114 yang terpahat pada pintu gerbang universiti:
وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
“Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu.”
“Setiap kali anda masuk melalui pintu gerbang UTM, jangan hanya nampak sebuah struktur. Masuklah dengan ilmu yang ada, dan keluarlah dengan ilmu yang lebih tinggi,” pesannya.

Aspirasi tersebut selari dengan kedudukan UTM sebagai universiti bertaraf dunia yang berada di kedudukan ke-158 dunia dalam QS World University Rankings 2027 dan ke-25 Asia dalam QS Asia University Rankings 2026, selain mencatat kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 100 peratus selama tiga tahun berturut-turut.
Bagaimanapun, Prof. Dr. Mohd Shahrizal menegaskan bahawa aspirasi UTM tidak terhad kepada melahirkan graduan yang mendapat pekerjaan, sebaliknya turut memberi penekanan kepada pembentukan karakter dan bakat yang mampu bersaing pada peringkat global.
“UTM berada dalam kelompok universiti terkemuka dunia. Maka kita juga mahu pelajar UTM membawa karakter pelajar bertaraf dunia. Sasaran kita bukan sekadar supaya anda mendapat pekerjaan, tetapi supaya anda menjadi bakat yang dicari dunia,” ujarnya pada sesi libat urus.
Sehubungan itu, menerusi aspirasi ASCEND 2030, pelajar dipersiapkan sebagai global talent yang mempunyai kekuatan dalam ilmu, komunikasi, kepimpinan, teknologi dan kecerdasan buatan (AI), kolaborasi global serta daya saing antarabangsa.
Pada masa sama, pelajar diingatkan bahawa kehidupan universiti tidak perlu ditempuhi secara bersendirian kerana ekosistem UTM menyediakan pelbagai bentuk sokongan bagi membantu pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan mereka.

“Anda mungkin jauh daripada keluarga, tetapi anda tidak bersendirian. Ada Dekan dan pensyarah di fakulti, ada Pengetua dan Felo di kolej, ada JTNC(HEPA), ada pegawai dan ada rakan-rakan yang akan bersama anda,” katanya.
Selain kecemerlangan akademik, Prof. Dr. Mohd Shahrizal turut menekankan kepentingan mengamalkan nilai ADAB dalam kehidupan seharian, termasuk menghormati orang lain, menjaga kebersihan dan kemudahan universiti, berdisiplin, menepati masa serta menggunakan AI secara beretika dan berintegriti.
Pelajar juga disarankan supaya tidak mengehadkan pengalaman universiti kepada rutin “kelas, katil dan kafe”. Dengan 127 kelab dan persatuan aktif, mereka digalakkan menyertai pelbagai kegiatan termasuk persatuan, sukan, kesukarelawanan, inovasi, keusahawanan, mobiliti antarabangsa dan kepimpinan bagi membina pengalaman, jaringan serta potensi diri.

Mengakhiri sesi, Prof. Dr. Mohd Shahrizal berpesan supaya pelajar menjadikan tempoh pengajian di UTM sebagai ruang membentuk diri secara menyeluruh, bukan sekadar mengejar kelayakan akademik.
“Jangan keluar dari UTM nanti hanya dengan segulung ijazah. Keluarlah sebagai manusia yang lebih berilmu, lebih matang, lebih berani, lebih beradab dan lebih bersedia untuk memberi manfaat kepada dunia,” tegasnya.
Pesanan itu kembali menegaskan falsafah yang menjadi tunjang perjalanan UTM, iaitu “Kerana Tuhan Untuk Manusia”, sebagai panduan kepada pelajar dalam membina ilmu, karakter dan sumbangan mereka kepada masyarakat.
Secara keseluruhannya, mahasiswa baharu UTM diingatkan agar memanfaatkan sepanjang tempoh pengajian untuk membina ilmu, kemahiran dan sahsiah secara seimbang. Perjalanan di UTM diharapkan juga dapat membentuk graduan yang bukan sahaja berpengetahuan dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan, malah matang, beradab serta mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan dunia.
Oleh Muhamad Syafik Rahmat