Kopi-Kopi Bersama Profesor bimbing pensyarah muda UTM hadapi cabaran akademik

SDGSDG4

📝 Ringkasan

Program Kopi-Kopi Bersama Profesor diadakan di UTM Johor Bahru bagi membantu pensyarah muda menghadapi cabaran akademik. Dua profesor, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir, berkongsi pengalaman peribadi dan cabaran yang dihadapi dalam perjalanan kerjaya akademik mereka. Mereka menekankan bahawa pengalaman sedemikian tidak seharusnya dianggap sebagai pengakhiran perjalanan kerjaya, tetapi boleh dijadikan peluang untuk menilai semula pendekatan dan meningkatkan mutu penyelidikan dan kesarjanaan.

JOHOR BAHRU, 9 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh budaya bimbingan dan kesarjanaan dalam kalangan staf akademik menerusi program Kopi-Kopi Bersama Profesor yang berlangsung di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), UTM Johor Bahru, bersempena Sambutan Bulan Akademia UTM 2026.

Program bertemakan “Kopi, Kerjaya & Kesarjanaan” itu dianjurkan oleh Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) dengan kerjasama Majlis Profesor UTM dan Perpustakaan UTM. Inisiatif berkenaan menyediakan ruang perkongsian pengalaman serta bimbingan kerjaya secara santai, khususnya untuk pensyarah muda yang sedang membina laluan kerjaya akademik.

Sesi bicara itu menampilkan dua tokoh akademik UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir, sebagai ahli panel, manakala Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Fadhil Md Din bertindak sebagai moderator.

Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir bersama moderator, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Fadhil Md Din, dalam sesi Kopi-Kopi Bersama Profesor di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru

Perbincangan bertajuk “PROFESOR PUN PERNAH GAGAL – Daripada Rejection kepada Direction” mengetengahkan pengalaman peribadi dan cabaran yang dihadapi kedua-dua ahli panel sepanjang perjalanan kerjaya akademik mereka. Perkongsian tersebut memberi gambaran realistik tentang cabaran yang perlu ditempuhi dalam membina kerjaya serta mengembangkan kepakaran dalam bidang akademik.

Antara perkara yang dibincangkan ialah penolakan manuskrip penyelidikan untuk penerbitan, permohonan geran yang tidak diluluskan dan cabaran dalam penyeliaan. Kedua-dua ahli panel menekankan bahawa pengalaman sedemikian tidak seharusnya dianggap sebagai pengakhiran perjalanan kerjaya, sebaliknya boleh dijadikan peluang untuk menilai semula pendekatan, memperbaiki kelemahan dan menetapkan hala tuju yang lebih jelas.

Mesej itu turut mengingatkan pensyarah muda tentang pentingnya ketahanan diri, sikap terbuka terhadap teguran dan kesediaan untuk terus belajar bagi meningkatkan mutu penyelidikan serta kesarjanaan. Perkongsian pengalaman secara terus daripada profesor berpengalaman juga memberi ruang kepada peserta untuk melihat cabaran akademik daripada perspektif yang lebih luas.

Staf akademik UTM mengikuti program Kopi-Kopi Bersama Profesor di PRZS

Sebelum sesi bicara bermula, staf akademik muda daripada pelbagai fakulti turut berpeluang berinteraksi secara santai dengan profesor yang hadir menerusi sesi Coffee & Chill. Sambil menikmati kopi, peserta dapat bertukar pandangan, mendapatkan nasihat berkaitan kerjaya dan membina jaringan kerjasama merentas disiplin.Interaksi tidak formal itu melengkapi sesi perkongsian utama dengan membuka peluang kepada peserta untuk mengemukakan persoalan dan mendapatkan pandangan berdasarkan pengalaman ahli akademik yang lebih berpengalaman.

Sesi Coffee & Chill membuka ruang interaksi dan perkongsian nasihat kerjaya antara pensyarah muda dengan profesor UTM

Penganjuran program ini mencerminkan usaha UTM untuk memperkukuh ekosistem akademik melalui perkongsian ilmu, bimbingan kerjaya dan pembinaan hubungan profesional dalam kalangan warga universiti. Pendekatan sedemikian berpotensi membantu pensyarah muda menghadapi cabaran kerjaya dengan lebih bersedia, di samping memupuk budaya kesarjanaan yang berterusan.

Melalui inisiatif seumpama ini, UTM terus berusaha menyokong pembangunan modal insan akademik dan memelihara kecemerlangan pendidikan tinggi menerusi perkongsian pengalaman serta kerjasama antara generasi ahli akademik.

Explore More

UTM Open Day