📝 Ringkasan
UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan program STEM Foundation Bootcamp & University Lab Experience bagi 22 pelajar sekolah menengah dari seluruh Malaysia. Program ini bertujuan untuk memperkukuh asas Matematik, Kimia dan Biologi serta memberi pendedahan kepada aplikasi teknologi dalam persekitaran universiti. Peserta telah mengikuti sesi pengukuhan akademik dan lawatan ke Makmal CAIRO, dan analisis menunjukkan peningkatan positif dalam tahap pengetahuan, kefahaman dan keyakinan mereka.
KUALA LUMPUR, 1 Sept – Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur menganjurkan STEM Foundation Bootcamp & University Lab Experience yang memberi peluang kepada 22 orang pelajar sekolah menengah dari seluruh Malaysia untuk memperkukuh asas Matematik, Kimia dan Biologi, di samping merasai sendiri aplikasi teknologi dalam persekitaran universiti.

Program yang berlangsung di Pusat Kecerdasan Buatan dan Robotik (CAIRO), UTM Kuala Lumpur itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Jurutera Kawalan Automatik Malaysia (MACE) dan menyasarkan pelajar Tingkatan 4 dan 5 daripada pelbagai sekolah. Penganjuran program ini menggabungkan pendekatan ulang kaji akademik yang berfokus dengan pendedahan kepada aplikasi sebenar bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sepanjang program, peserta mengikuti tiga sesi utama, iaitu ulang kaji Matematik, Kimia dan Biologi. Sesi Matematik memberi penekanan kepada pengukuhan konsep asas serta kemahiran penyelesaian masalah, manakala sesi Kimia merangkumi topik berkaitan struktur, ikatan, persamaan dan pengiraan asas. Sesi Biologi pula memberi fokus kepada konsep sel, proses hidup serta aplikasi dan kefahaman terhadap konsep asas Biologi.

Selain pengukuhan akademik, peserta turut mengikuti University Lab Experience menerusi lawatan ke Makmal CAIRO. Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar melihat dengan lebih dekat persekitaran penyelidikan universiti, teknologi robotik serta peralatan berkaitan, sekali gus membantu mereka memahami bagaimana ilmu STEM diaplikasikan dalam penyelidikan dan situasi dunia sebenar.

Bagi menilai keberkesanan program, soal selidik pra dan pasca dijalankan melibatkan kesemua 22 peserta. Secara keseluruhan, analisis deskriptif menunjukkan corak peningkatan positif dalam tahap pengetahuan, kefahaman dan keyakinan yang dilaporkan oleh peserta selepas mengikuti program, dengan kebanyakan penilaian menunjukkan peralihan daripada tahap rendah atau sederhana kepada tahap baik dan sangat baik, khususnya dalam aspek kefahaman konsep asas, keyakinan menyelesaikan masalah serta keupayaan menghubungkan pembelajaran STEM dengan kehidupan sebenar.
Maklum balas peserta turut menunjukkan penerimaan yang positif terhadap sesi pengukuhan akademik dan lawatan ke Makmal CAIRO. Antara aspek yang dianggap bermanfaat ialah pengukuhan asas Matematik, Kimia dan Biologi, pendedahan kepada penyelidikan, serta pengalaman melihat aplikasi robotik dan teknologi secara lebih dekat. Peserta turut mencadangkan agar program akan datang memperbanyak aktiviti interaktif seperti kuiz, permainan STEM, elemen gamifikasi dan aktiviti secara langsung.

Penganjuran program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) ini menerusi kerjasama CAIRO di bawah TNCPI UTM Kuala Lumpur dan MACE memperkukuh usaha UTM memperluas pemindahan pengetahuan serta perkongsian kepakaran kepada komuniti sekolah. Gabungan pengukuhan akademik dan pengalaman makmal universiti ini diharap dapat meningkatkan minat, keyakinan dan pendedahan awal generasi muda terhadap bidang STEM serta laluan pendidikan dan kerjaya berkaitan.