UTM bawa kepakaran Simenfero ke Zoo Melaka, perkasa kemahiran dan inovasi peserta

SDGSDG4SDG8SDG9SDG12

📝 Ringkasan

Program Pemindahan Ilmu Pembinaan Landskap Kejur Buatan Simenfero di Zoo Melaka telah berjaya dilaksanakan selama dua hari. Program ini melibatkan 30 peserta dari pelbagai agensi dan 13 fasilitator UTM. Mereka belajar tentang pembinaan landskap kejur buatan berasaskan simenfero secara teori dan praktikal. Hasilnya, 11 unit landskap kejur buatan telah dihasilkan, termasuk binaan pokok, sarang burung dan gua. Hasil binaan tersebut akan digunakan oleh Zoo Melaka.

AYER KEROH, 8 Sept – Program Pemindahan Ilmu Pembinaan Landskap Kejur Buatan (Artificial Hardscape) Simenfero di Zoo Melaka berjaya dilaksanakan selama dua hari pada 7 dan 8 September 2026 menerusi kerjasama strategik antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Zoo Melaka. Program yang diketuai oleh Pengarah Program, Ts. Wan Abdul Fattah Wan Abdullah, melibatkan seramai 30 peserta daripada pelbagai agensi serta 13 fasilitator UTM.

Program ini menjadi platform pemindahan kepakaran dan perkongsian ilmu UTM dalam bidang pembinaan landskap kejur buatan berasaskan simenfero secara teori dan praktikal, khususnya kepada kakitangan Zoo Melaka serta wakil daripada Taman Burung Pulau Pinang, Zoo Johor, Sarang Buaya Pasir Gudang, Taman Tumbina Bintulu, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin.

Inisiatif ini turut bertujuan memperkasa kemahiran peserta dalam menghasilkan binaan yang kreatif, berkualiti, mampan dan bersesuaian dengan keperluan persekitaran zoo serta habitat hidupan liar.

Pada hari pertama, peserta diberikan pendedahan kepada asas pembinaan simenfero menerusi sesi taklimat dan perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Ketua Fasilitator, Mohd Nor Azsuan Mohd Yaacob. Sesi praktikal kemudiannya melibatkan kerja merangka menggunakan besi, pemasangan jaring wiremesh, proses melepa menggunakan bancuhan mortar serta aktiviti melorek bagi menghasilkan tekstur dan bentuk binaan yang bersesuaian.

Peserta menjalankan kerja melepa mortar pada rangka binaan sebagai sebahagian daripada proses pembentukan struktur artificial hardscape simenfero

Hari kedua pula memberi tumpuan kepada kerja-kerja kemasan, termasuk pengukiran tekstur kulit kayu, pewarnaan menggunakan warna yang selamat dan aplikasi lapisan pelindung (top coat) bagi meningkatkan daya ketahanan produk. Setiap kumpulan turut membentangkan hasil dan pendekatan yang digunakan dalam penghasilan binaan masing-masing.

Aktiviti melorek oleh peserta bagi mengukir dan membentuk tekstur pada binaan pokok sebagai sebahagian daripada latihan praktikal
Peserta melaksanakan aktiviti mengecat dan memberikan kemasan akhir pada struktur simenfero bagi menghasilkan elemen landskap yang lebih menarik dan menyerupai tekstur semula jadi

Hasil program menyaksikan peserta berjaya menghasilkan sebelas unit landskap kejur buatan, terdiri daripada enam unit binaan pokok, tiga unit sarang burung dan dua unit binaan gua. Kesemua hasil binaan tersebut ditinggalkan di Zoo Melaka untuk kegunaan pihak zoo, sekali gus memberikan nilai tambah yang berterusan kepada institusi berkenaan.

Hasil akhir artificial hardscape simenfero yang dihasilkan oleh peserta program untuk kegunaan Zoo Melaka

Turut hadir dalam majlis penutupan ialah Pengurus Zoo Melaka, Dr. Zahidah Izzati Zeid, dan Pengurus Strategi & Hubungan Luar, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM Kuala Lumpur, Ts. Mohd Hazri Ishak. Majlis turut disusuli dengan penyampaian sijil kepada peserta serta cenderahati dan hadiah sebagai penghargaan atas komitmen dan penglibatan sepanjang program.

Penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada fasilitator sebagai tanda penghargaan atas perkongsian kepakaran dan sumbangan dalam menjayakan program ini

Pengarah Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM Kuala Lumpur, Prof. Ir. Dr. Muhamad Ali Muhammad Yuzir, menzahirkan sokongan terhadap pelaksanaan program tersebut sebagai wadah berkesan dalam menterjemahkan kepakaran dan inovasi UTM kepada penyelesaian praktikal di lapangan.

Beliau turut berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan bagi memperkukuh jaringan strategik serta memperluas impak pemindahan ilmu kepada komuniti dan agensi berkaitan.

Program ini turut menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4, Pendidikan Berkualiti, SDG 8, Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi, SDG 9, Industri, Inovasi dan Infrastruktur, serta SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, menerusi perkongsian ilmu, pembangunan kemahiran, penerapan inovasi dan penghasilan binaan yang lebih kreatif serta mampan. Penganjur berharap ilmu yang diperoleh dapat dipraktikkan dan dikongsi semula oleh peserta bersama rakan sekerja di organisasi masing-masing.

Explore More

UTM Open Day